Welcome To My Life...

Sunday, April 29, 2018

Mendung

Assalamualaikum.

Sabtu, 28 April 2018.
Cuaca sukan Malaysia: mendung.

Kecewa rasanya melihat wakil Malaysia tumbang dalam dua jenis sukan, namun itulah realiti. Hakikat kadang pahit untuk ditelan. 

------

LEGENDA TUMBANG DI WUHAN

Dato' Lee Chong Wei sudah menjadi kebanggaan Malaysia sejak sekian lama. Dia ialah legenda sukan badminton negara. Semalam kudrat Dato' Lee tidak mampu menandingi pemain muda berpotensi besar. Berusia 35 tahun, Dato' Lee turun menentang jaguh muda Jepun berusia 23 tahun. Untuk rekod, Kento Momota sudah ada Piala Thomas dalam koleksi peribadinya. Bukan calang-calang pemain muda ini, berada di ranking kedua dunia ketika dia 'dipaksa' untuk 'berehat'. Momota digantung oleh persatuan badminton Jepun kerana terlibat dengan perjudian pada tahun 2016.

Set pertama berlangsung begitu panjang. Kedua-dua pemain saling berbalas pukulan. Boleh dikatakan Momota lawan yang setanding dengan Dato' Lee. Pada satu ketika, kemenangan set pertama sudah sangat hampir. Mendahului 19-16, tiba-tiba Momota mengejar dan seterusnya memintas untuk menang 21-19. Bagi penulis yang menonton secara langsung, kekalahan set pertama bermakna peluang Dato' Lee tipis kerana Momota akan meningkatkan permainan dalam set kedua. 

Dato' Lee tewas juga set kedua 14-21 dan terpaksa akur dengan ketangkasan bintang muda dari Jepun yang kini di ranking ke-17 dunia dan akan bergelar raja badminton dunia tak lama lagi.

------

DIAJAR DI BUKIT JALIL

Besar sungguh impian rakyat Malaysia untuk menyaksikan pasukan rugby 15's negara bertanding di Piala Dunia. Nampak mustahil tapi siapa sangka Malaysia akan beraksi di pertandingan tri-nation Kejuaraan Ragbi Asia (ARC). Jepun di ranking ke-11 dunia sudah layak ke Piala Dunia 2019 selaku tuan rumah. Tiga negara akan berentap untuk merebut satu slot dalam perjalanan berliku yang seterusnya. Hong Kong (ranking ke-22 dunia), Korea Selatan (31) dan Malaysia (45).

Ternyata, kelas permainan Korea Selatan masih jauh untuk digapai Malaysia. Korea Selatan menamatkan babak pertama mendahului 21-0 dan hakikatnya, para pemain Malaysia begitu sukar untuk menembusi kawasan Korea Selatan. Umpama berdepan dinding yang kebal. Namun hanya mata mudah yang dilepaskan. Tiga sepakan penalti menghadiahkan 9 mata mudah, dan penalty try menghadiahkan tujuh mata percuma. 

Korea Selatan memulakan babak kedua dengan satu lagi try bersama conversion. Maruah Malaysia terselamat di Bukit Jalil apabila mendapat 10 mata menerusi try bersama conversion, dan satu sepakan penalti. Namun, Korea Selatan menamatkan permainan dengan satu lagi try bersama conversion di minit terakhir untuk menang 35-10. 

Hujung minggu depan, Malaysia akan menyambut kehadiran Hong Kong pula. Berada di ranking yang lebih tinggi bermakna tahap permainan Hong Kong lebih baik dari Korea Selatan. Mampu atau tidak, skuad Malaysia mesti percaya. Seterusnya, dua perlawanan di tempat lawan. Bermakna ada tiga perlawanan lagi dalam ARC. Peluang Malaysia belum tertutup.

Perjalanan panjang dan getir menanti. Pemenang ARC akan menentang pasukan dari Oceania dalam play-off. Pemenang play-off ini akan mara pula ke pertandingan World Repechage yang melibatkan empat pasukan. Jalan ke Piala Dunia masih jauh. Semalam kita diajar. Jika kita belajar, esok lusa kita akan mengatasi mereka.

Semalam kita kecundang. Hari ini kita bermimpi lagi.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif