Welcome To My Life...

Thursday, February 18, 2021

Kejutan

Assalamualaikum.

Dua lagi perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah berlangsung awal pagi tadi. 

Di Portugal, tuan rumah mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan gergasi Serie A Itali, Juventus, yang diketuai oleh pemain handalan dunia, Cristiano Ronaldo. Dua gol dijaringkan di awal kedua-dua babak memberikan kelebihan untuk Porto. Ternyata Juventus tidak bersedia di awal separuh masa.

Apabila Porto meledak gol kedua, Cristiano Ronaldo menunjukkan isyarat 'satu' dengan jari telunjuk kepada rakan-rakan sepasukannya sebagai tanda mereka memerlukan satu gol untuk menghidupkan peluang. Dan 'gol di tempat lawan' emas yang dicari-cari itu berjaya dijaringkan oleh Federico Chiesa di hujung babak kedua.

Satu gol di tempat lawan ini mungkin penting untuk Juventus melangkah ke pusingan seterusnya. 

Sevilla tewas tipis di Sepanyol dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung serentak. Pemenang Kumpulan F, Borussia Dortmund, menjaringkan tiga gol di antara dua gol tuan rumah. Ayam tambatan Dortmund yang juga pemenang anugerah Golden Boy 2020, Erling Haaland yang kini berusia 21 tahun gagal dikekang apabila meledak dua gol dan juga satu bantuan gol. 

Kecemerlangan Haaland ini membantu Dortmund mendapat tiga gol di tempat lawan walaupun hanya membawa perbezaan satu gol untuk beraksi di gelanggang sendiri nanti.

-------

Minggu depan, empat lagi perlawanan pertama bagi pusingan kedua akan dijalankan.

Atletico Madrid vs Chelsea
Lazio vs Bayern Munich
Atalanta vs Real Madrid
Borussia Monchengladbach vs Manchester City

Pertembungan Atletico menentang Chelsea pastinya yang paling mendapat perhatian kerana Atletico merupakan pendahulu La Liga Sepanyol ketika ini. Chelsea pula sedang berada dalam prestasi cemerlang sejak dipimpin oleh pengurus baru, Thomas Tuchel.

Lazio pastinya lawan yang mudah bagi Bayern. Begitu juga Monchengladbach memiliki peluang tipis untuk berdepan Manchester City yang sedang gemilang dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Atalanta mempunyai peluang yang sedikit cerah jika Real Madrid tidak beraksi baik.

Namun, pusingan kedua ini menggunakan format timbal balas. Keputusan perlawanan pertama ini belum menjadi pemutus tetapi kelebihan jaringan di tempat lawan akan menjadi penentu siapa pemenang jika kedua-dua pasukan terikat selepas beraksi dalam dua perlawanan. 

Seperti kata-kata yang terkenal, bola sepak itu bulat dan dalam permainan bola sepak, apa-apa saja boleh berlaku. 

Ciao!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif