Welcome To My Life...

Thursday, February 25, 2021

Seperti Dijangka

Assalamualaikum.

Dua perlawanan terakhir untuk perlawanan pertama timbal balas bagi pusingan kedua (16 terbaik) berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Di Itali, tuan rumah terpaksa akur tewas tipis kepada jaguh dari Sepanyol. Kad merah untuk Remo Freuler seawal minit ke-17 tidak membantu Atalanta. Namun, Real Madrid terpaksa menanti sehingga lewat permainan sebelum menjaringkan gol kemenangan.

Walaupun mencatat 19 percubaan ke arah gol dengan empat daripadanya tepat ke sasaran, hanya gol cantik Ferland Mendy dari luar kotak penalti yang memisahkan kedua-dua pasukan. Real Madrid pasti lega membawa bekalan satu gol di tempat lawan.

Di Jerman pula, Manchester City meneruskan rentak cemerlang mereka dengan satu lagi kemenangan. Joao Cancelo dan Bernardo Silva menjadi nadi kemenangan. Hantaran lambung Cancelo disudahkan oleh Bernardo di far post untuk gol pertama. Hantaran silang Cancelo sekali lagi mencetuskan kekacauan untuk gol kedua. 

Kali ini, Bernardo menghantar bola ke tengah kawasan enam ela dan Gabriel Jesus menyempurnakan dengan baik. Dua gol di tempat lawan pastinya berharga untuk Manchester City ketika prestasi semasa mereka menyukarkan Monchengladbach untuk mencipta kebangkitan.

---------

Selepas lengkap lapan perlawanan pertama, hampir semua pemenang di peringkat kumpulan mencatat kemenangan di tempat lawan. Juventus menjadi satu-satunya pasukan pemenang kumpulan yang tumbang apabila dikalahkan oleh Porto. PSG dan Bayern menjadi dua pasukan dengan bekalan selesa empat gol di tempat lawan dan margin tiga gol.

Masih ada satu lagi perlawanan untuk kita melihat kebangkitan. Adakah kita akan melihat La Remontada kedua daripada Barcelona menetang PSG? Mampukah Cristiano Ronaldo mencetuskan satu lagi kebangkitan yang terkenal?

Semuanya akan terjawab tidak lama lagi.

Ciao!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif