Welcome To My Life...

Friday, February 26, 2021

Layak

Assalamualaikum.

Awal pagi tadi (waktu Malaysia), Manchester United seri 0-0 dengan Real Sociedad di Old Trafford. Mikel Oyarzabal gagal menjaringkan sepakan penalti untuk Sociedad dalam separuh masa pertama. Manchester United yang menang perlawanan pertama layak ke pusingan 16 terbaik Liga Europa dengan agregat 4-0.

Dengan kedudukan agregat yang selesa, pengurus Ole Gunnar Solksjaer mengeluarkan pemain-pemain utama di separuh masa kedua untuk persediaan menentang Chelsea dalam saingan liga domestik hujung minggu ini. Pemain muda Amad Diallo dan Shola Shoretire mendapat minit permainan yang berharga.

Sekitar perlawanan lain, jaringan lewat Pierre-Emerick Aubameyang membantu Arsenal mara. Selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama, kedudukan seri 2-2 memihak Benfica kerana peraturan gol di tempat lawan. Arsenal layak dengan agregat 4-3.

Lebih awal, Tottenham membelasah Wolfsberger AC 4-0 di gelanggang sendiri untuk kemenangan agregat 8-1. Ajax membenam Lille 2-1 di kubu mereka untuk mara dengan agregat 4-2. AC Milan juga layak walaupun hanya mampu seri 1-1 di tempat mereka sendiri. Agregat 3-3 memihak AC Milan kerana mereka meledak dua gol di tempat lawan.

AS Roma menyingkirkan Braga dengan agregat 5-1. Malang bagi satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City yang berada di top 3 liga domestik tetapi dikejutkan oleh kelab Republik Czech, Slavia Prague. Leicester kalah di gelanggang mereka 2-0 selepas seri 0-0 di tempat lawan.

Granada mencipta satu lagi kejutan dengan menewaskan kelab Itali, Napoli 3-2 secara agregat.

Semua 16 kelab yang layak akan menanti undian untuk pusingan Liga Europa berikutnya yang akan dilangsungkan serentak dengan majlis undian pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Ciao!


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif