Welcome To My Life...

Wednesday, February 24, 2021

Kelebihan

Assalamualaikum.

Dua lagi perlawanan pertama bagi pusingan kedua (enam belas terbaik) bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Dan dua lagi pasukan yang bertandang sebagai pasukan pelawat mencatat kemenangan dalam pusingan dengan format timbal balas ini. Untuk rekod, pasukan pelawat dalam perlawanan pertama adalah pasukan-pasukan yang menjadi lapan pemenang setiap kumpulan. Manakala pasukan tuan rumah pula merupakan pasukan di tempat kedua setiap kumpulan.

Di ibu kota Sepanyol, pendahulu La Liga, Atletico Madrid tumbang kepada pasukan Chelsea yang kini berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris. Jaringan tunggal menarik daripada Olivier Giroud di babak kedua memberi kelebihan tipis untuk Chelsea menanti kunjungan Atletico nanti. Satu gol di tempat lawan yang berharga.

Lazio pula kecundang di Itali. Layu berdepan dengan juara bertahan yang baru ditabalkan menjadi juara dunia. Empat gol yang dijaringkan oleh Robert Lewandowski, Jamal Musiala, Leroy Sane dan gol sendiri Francesco Acerbi menjadi bekalan selesa untuk Bayern Munich dalam perlawanan kedua. 

Saya tertarik dengan keputusan berani jurulatih Bayern iaitu Hans Flick untuk meletakkan Musiala yang baru berusia 18 tahun dalam kesebelasan utama bersama deretan bintang lain. Ternyata Musiala membalas kepercayaan itu dengan satu gol. Empat gol di tempat lawan. Defisit tiga gol. Hanya keajaiban yang dapat membantu Lazio untuk mengatasi Bayern dan mara ke pusingan suku akhir.

-------

Dua perlawanan terakhir bagi pusingan kedua akan berlansung awal pagi esok (waktu Malaysia) untuk melengkapkan lapan perlawanan.

Atalanta vs Real Madrid
Borussia Monchengladbach vs Manchester City

Saya menjangkakan kedua-dua pemenang kumpulan yang bermain sebagai pelawat akan menang juga malam ini. Sukar untuk Monchengladbach mengatasi Manchester City yang berada dalam prestasi dominan dalam saingan liga domestik pada ketika ini.

Ciao!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif