Welcome To My Life...

Thursday, February 25, 2021

Peluang Cerah

Assalamualaikum.

Awal pagi Jumaat ini, pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Europa akan bersaing dalam perlawanan kedua (format timbal balas) untuk pusingan 32 terbaik.

Ini adalah entri yang tertangguh. Entri ini sepatutnya saya tulis minggu lepas.

Pasukan kegemaran saya, Manchester United mencatat kemenangan selesa 4-0 menumbangkan Real Sociedad di gelanggang lawan di Sepanyol. Dalam perlawanan yang sangat berat sebelah itu, Manchester United merekodkan 13 percubaan ke arah gol berbalas lapan, dengan 10 daripadanya tepat ke sasaran. Bak kata pengulas televisyen, Manchester United seharusnya menang dengan margin yang lebih besar! 

Sayangnya, penyudah barisan depan Manchester United tidak setajam yang diharapkan dan mensia-siakan beberapa peluang yang selayaknya berada dalam jumlah jaringan. Bukanlah tamak, tetapi 4-0 tidak menggambarkan situasi di padang.

Manchester United melancarkan serangan bertali arus ke gawang Real Sociedad dan mereka tidak berhenti walaupun sudah mendahului dengan dua dan tiga gol. Mereka begitu lapar! Satu ciri yang begitu sinonim dengan pasukan Manchester United ketika di bawah bimbingan pengurus lagenda, Alex Ferguson.

Saya boleh katakan, itu adalah perlawanan terbaik Manchester United yang saya tonton untuk satu tempoh yang lama. Dan saya sangat-sangat berpuas hati dapat menonton perlawanan tersebut.

Dua jaringan Bruno 'Magnifico' Fernandes dan masing-masing satu daripada Marcus Rashford dan Daniel James memastikan Manchester United membawa bekalan selesa untuk perlawanan kedua di kubu sendiri.

Dan satu hal yang sangat menyenangkan saya: pemain muda Amad Diallo diberikan minit permainan oleh pengurus Ole Gunnar Solksjaer. Cuma Ole tidak memberikan peluang kepada Diallo lebih awal ketika permainan sudah pun selamat.

Diharapkan Ole akan memberikan ruang dan peluang kepada pemain muda dengan kedudukan agregat sudah pun selesa. Dijangka Manchester United tidak akan menghadapi masalah untuk menewaskan Sociedad buat kali kedua berturut-turut. 

Ciao!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif