Sunday, August 18, 2013

Moyes Bergaya


Malam tadi, Liga Perdana Inggeris musim 2013/2014 membuka tirainya. Saingan musim baru yang pastinya lebih mencabar. Chelsea dengan kepulangan Jose Mourinho. Manchester United tanpa Alex Ferguson selepas hampir tiga dekad. 

Malam tadi, aku dilema. Antara nak tengok bahagian kedua trilogi Lord of The Rings dan menyaksikan siaran langsung Manchester United vs Swansea. Si jantung hati pun sibuk belajar. Macam ni lah nak isi masa lapang. Huihuihui. Perlawanan ni ada ulangan nanti. Tapi LOTR pun aku ada stok dalam external hard disk

Perlawanan bermula jam 12.30 tengah malam. Maka aku memilih untuk menonton bahagian klimaks The Two Towers. Part peperangan kot, mana boleh lepas. Aku cuma tengok separuh masa kedua. Tahniah kepada pasukan kegemaran aku yang menang besar 4-1 di gelanggang lawan. Bak kata Waris dalam lagu hitsnya, 'ompek sato sonyum lebar'. ^_^


Musim baru, pengurus baru. Bekas pengurus Everton, David Moyes, melangkah penuh gah diiringi bintang veteran, Ryan Giggs yang berstatus pemain-jurulatih. 

Untuk perlawanan liga pertamanya membimbing pasukan Syaitan Merah, Moyes memilih David De Gea untuk menjadi manusia terakhir di belakang kubu pertahanan utuh dibarisi Phil Jones, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, dan Patrice Evra. Moyes membuat percaturan menarik dengan memilih Antonio Valencia untuk beraksi di sayap kanan. Giggs beraksi di sayap kiri dengan Tom Cleverley dan Michael Carrick mengawal bahagian enjin.

Danny Welbeck dipilih untuk menyokong ayam tambatan, Robin van Persie di jentera serangan. Bangku simpanan United tidak kurang hebatnya. Anderson, Wilfried Zaha, Wayne Rooney, dan Shinji Kagawa antara yang memanaskan bangku. Zaha ialah pemain muda berbakat yang aku rasa lebih layak berbanding Valencia. Kagawa menjadi alternatif jika Welbeck gagal menyerlah. 

Aku main tukar-tukar siaran televisyen. Satu ketika aku risau apabila Manchester United hanya mampu bertahan diasak dominasi bola oleh Swansea. Satu detik dalam perlawanan menyaksikan 70% penguasaan bola dimiliki oleh Swansea. United hanya mengharapkan serangan balas?


Penyudah hebat RVP tidak dapat disangkal lagi. RVP mencetak gol pertama United untuk musim baru dengan aksi akrobatik berkelas dunia. Naluri pemusnah RVP terbukti dengan penyudah ala sepak takraw. Gol ini memang menarik untuk jaringan ketiga selepas dua gol dalam perlawanan Perisai Komuniti.


Welbeck mengangkat bebanan yang dipikul RVP sebagai penggempur. Hantaran silang Valencia terlalu cantik untuk disia-siakan. Hanya empat ela di depan garisan gol, Welbeck mudah menolak bola masuk. Assist dari Valencia membuatkan aku terkedu. Aku tak berapa suka Valencia, jika dibandingkan dengan Nani. Kawan aku pulak tak suka Welbeck, yang dipanggilnya 'budak songkok' (tengok rambut). Maaf kawan, aku TeamWelbeck. ^_^

Gol ketiga United dijaringkan oleh RVP dengan satu lagi penyudah menggerunkan dengan kaki kirinya yang terkenal sangat berbisa. Rooney menghantar bola kepada RVP sebelum melakukan larian tanpa bola berkembar dengan Welbeck untuk menarik perhatian pertahanan lawan. RVP menewaskan dua orang pertahanan yang cuba menyekatnya sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti. 

Wilfried Bony membalas satu gol untuk Swansea sebelum budak songkok sekali lagi mengganas dengan jaringan lob menarik dalam masa kecederaan. Orang kata gol Welbeck yang dibantu Rooney tu 'icing on the cake'. Memang terbaik.


Rooney yang beraksi cemerlang walaupun kurang cergas. Rooney kelihatan kurang ceria. Mungkin terganggu dengan khabar anginnya ingin berpindah ke kelab musuh tradisi, Chelsea. Rooney yang jelas berada di belakang RVP dalam pelan Moyes kini boleh kemas baju dengan dua jaringan hebat RVP. Jika dia mahu bersabar, dia boleh menanti peluangnya tiba. Malangnya, Rooney dilahirkan untuk menjadi penyerang utama.


Rooney mungkin sukar berada dalam kesebelasan utama dengan aksi hebat RVP malam tadi. Empat gol dalam dua perlawanan musim baru untuk meneruskan kegemilangannya memenangi Kasut Emas musim lepas. Welbeck pula lebih digemari Moyes untuk menyokong RVP menjadikan perpindahan Rooney ke Chelsea mungkin menjadi kenyataan.


Dua gol untuk RVP, dua gol untuk Welbeck, dan kemenangan kedua berturut-turut untuk Moyes. 2-0 menentang Wigan, dan 4-1 mengatasi Swansea. Walaupun Moyes mengambil alih United yang dibina Ferguson, dia harus mencari ramuannya yang tersendiri. Sepanjang membimbing Everton sebelum ini juga, Moyes mempamerkan kebolehannya yang meyakinkan Ferguson, dialah pewaris takhta yang dicari-cari. 

Kebolehan sebenar Moyes selaku pakar taktikal akan berdepan ujian hebat minggu depan. Moyes akan berdepan skuad hebat Chelsea yang dipimpin oleh musuh tradisi Ferguson, Jose Mourinho, 'Satu-satunya'. Ferguson gagal mengatasi Mourinho sepanjang Mourinho mengendalikan Chelsea. Mampukah Moyes? Semuanya akan terjawab pasca perlawanan pertamanya di gelanggang sendiri.


2 comments:

Syazana Zainn said...

akak tgk lord of the rings mihmih :D

bola tgk kat timeline twitter, ramai betul dok update

hahaha

M Fizan said...

@Syazana Zainn haha. mana sama kak. kepuasan tengok jaringan siaran langsung tu. menjerit-jerit. :D

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif