Welcome To My Life...

Sunday, October 26, 2014

King of Classico

Assalamualaikum.

Pertemuan El Classico pertama musim ini berpihak kepada pasukan tuan rumah di gelanggang Santiago Bernabeu. Walaupun Barca tidak asing dengan kemenangan di padang musuh ketat mereka, malam tadi mereka tiada jawapan kepada permainan cemerlang anak-anak buah Carlo Ancelotti.

Menuju perlawanan, perhatian peminat bola sepak seluruh dunia tertumpu kepada pertembungan dua jaguh bola sepak Eropah. Real Madrid sedang berada di puncak prestasi, menjaringkan gol demi gol. Gandingan Toni Kroos dan Luka Modric mengawal jentera tengah ketika Cristiano Ronaldo, Gareth Bale, James Rodriguez, dan Karim Benzema, mencipta huru-hara di bahagian serangan. Malangnya Bale tidak dapat beraksi kerana kecederaan.

Barcelona pula sudah melepasi lapan perlawanan liga tanpa dibolosi sebarang gol. Kemantapan serangan Barca juga tidak boleh dipertikaikan. Lionel Messi dan Neymar membentuk gandingan penggempur yang menggerunkan mana-mana pasukan. Aksi malam tadi juga menyaksikan penyerang baru yang dibeli dari Liverpool, Luis Suarez, beraksi buat kali pertama selepas digantung empat bulan kerana menggigit bahu Giorgio Chiellini dalam Piala Dunia.

Mampukah trio Suarez - Neymar  - Messi (Show No Mercy) membenam ego Real?

Jawapannya, TIDAK.

Walaupun mendahului menerusi gol awal Neymar, tiga gol balas jaringan Cristiano Ronaldo (penalti), Pepe, dan Karim Benzema memaksa defisit antara Barca dan Real yang sebelum perlawanan berjumlah empat mata merosot kepada hanya satu.

Tak dapat dinafikan, pertahanan Barca sebenarnya belum teruji dalam liga domestik menentang pasukan yang benar-benar mencabar. Real Madrid adalah ujian besar pertama. Kerapuhan benteng mereka terserlah dalam aksi Liga Juara-Juara.

Menentang Cristiano Ronaldo dan rakan-rakan yang melancarkan serangan kilat ketika menyerang balas membuatkan kelemahan Barca didedahkan dan tiga gol menjadi bukti Barca perlu memperbaiki kubu untuk menentang pasukan gergasi yang memiliki pemain pantas seperti Ronaldo. Barca boleh menarik nafas lega kerana Bale tidak beraksi. Jika Bale beraksi, kemusnahan yang berlaku mungkin lebih teruk.

Aku peminat Real Madrid dan aku sangat gembira dengan kemenangan ini. Messi-who?




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif