Welcome To My Life...

Thursday, October 23, 2014

Pesta Gol

Assalamualaikum.

Matchday 3 Part 1

Jika tempoh hari, Kumpulan E-H menyaksikan banyak keputusan seri dan kemenangan dengan beza gol yang sedikit, cerita malam tadi sangat jauh berbeza. Malam tadi sejumlah 40 gol dijaringkan dalam lapan perlawanan. Purata lima jaringan untuk setiap perlawanan. Empat perlawanan berakhir dengan lebih dari lima gol dijaringkan. Tiada perlawanan berkesudahan tanpa jaringan dengan hanya satu perlawanan berakhir dengan gol tunggal yang memisahkan. Malam tadi milik bintan Shakhtar, LUIZ ADRIANO.

Pasukan mana yang dibelasah?
-----------------------------

KUMPULAN E

CSKA Moscow 2-2 Manchester City
 Roma 1-7 Bayern

Di Rusia, pelawat dari England mendahului dua gol tetapi terpaksa berpuas hati dengan seri apabila tuan rumah bangkit untuk mencuri satu mata. Gol Seydou Doumbia dan sepakan penalti Bebras Natcho memadamkan jaringan Sergio Aguero dan James Milner. Di Itali, tuan rumah menjadi mangsa pendahulu kumpulan. Tujuh gol pelawat dari Jerman dijaringkan oleh enam penjaring: Arjen Robben (2), Mario Gotze, Robert Lewandowski, Thomas Muller, Franck Ribery dan Xherdan Shaqiri. Lima daripadanya dijaringkan dalam babak pertama. Gervinho meledak gol tunggal Roma.

Kedudukan: Bayern 9; Roma 4; City 2; CSKA 1

------------------------------------  

KUMPULAN F

Barcelona 3-1 Ajax
APOEL 0-1 PSG

Gandingan Lionel Messi dan Neymar terus menghantui pasukan yang ditemui Barca. Beraksi di laman sendiri, Messi dan Neymar menjaringkan satu gol. Gol terakhir Barca dijaringkan Sandro Ramirez ketika gol Anwar El Ghazi hanya saguhati untuk Ajax. Di Cyprus, gol tunggal Edinson Cavani membantu pelawat dari Perancis mencatat kemenangan penting dalam usaha mara ke pusingan kalah mati.

Kedudukan: PSG 7; Barcelona 6; Ajax 2; APOEL 1

--------------------------------------

KUMPULAN G

Schalke 4-3 Sporting
Chelsea 6-0 Maribor

Perlawanan yo-yo di Jerman berakhir dengan kemenangan tipis buat tuan rumah. Pelawat mendahului menerusi gol Nani tetapi Chinedu Obasi, Klaas-Jan Huntelaar, dan Benedikt Howedes meletakkan Schalke selesa tetapi disamakan oleh dua gol Adrien Silva. Sepakan penalti lewat Eric Maxim Choupo-Moting mengecewakan kelab Portugal. Tuan rumah juga berpesta gol di England. Jaringan Loic Remy, Didier Drogba, John Terry, Eden Hazard (2) dan gol sendiri Mitja Viler memberikan kemenangan mudah buat Chelsea.

Kedudukan: Chelsea 7; Schalke 5; Maribor 2; Sporting 1

--------------------------------------

 KUMPULAN H

BATE 0-7 Shakhtar 
Porto 2-1 Athletic

Luiz Adriano menjadi pemain kedua dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah yang meledak lima gol selepas Lionel Messi. Pelawat juga mencipta rekod pertandingan dengan enam gol dalam separuh masa pertama. Dua lagi gol pelawat dijaringkan Alex Teixeira dan Douglas Costa. Di Portugal pula, tuan rumah menang tipis mengatasi pelawat dari Sepanyol. Gol pendahuluan Hector Herrera dipadamkan jaringan Guillermo Fernandez. Gol kemenangan Ricardo Quaresma menceriakan penyokong tuan rumah.
 
Kedudukan: Porto 7; Shakhtar 5; BATE 3; Athletic 1

--------------------------------------     

Luiz Adriano dan Shakhtar Donetsk menempa nama dalam buku sejarah. Beberapa kemenangan besar dicatatkan. Adakah pesta gol akan berterusan? Adakah lebih drama dapat disaksikan?

Nantikan perlawanan Kumpulan A-D.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif