Welcome To My Life...

Thursday, October 2, 2014

Madrid Menang, Juve Kecundang

Assalamualaikum.

Matchday 2 Part 2

Dua pasukan dari bandar Madrid menang perlawanan masing-masing. Berita gembira juga untuk penyokong Arsenal apabila penyerang baru mereka meledak tiga gol. Berita kurang menarik untuk peminat Liverpool yang tumbang. 

Apa sebenarnya berlaku dalam lapan perlawanan?

----------------------------------

KUMPULAN A

Malmo 2-0 Olympiakos
Atletico 1-0 Juventus

Kemenangan dua tuan rumah menyaksikan tiada pasukan yang memiliki kelebihan mata dalam kumpulan ini. Di Sweden, dua jaringan kapten Markus Rosenberg membenam pelawat dari Greece. Sementara itu, pertembungan dua juara bertahan liga menyaksikan kelab La Liga mengatasi gergasi Serie A hasil ledakan Arda Turan. Semua pasukan kini mengutip tiga mata.

Kedudukan: Atletico 3; Juventus 3; Malmo 3; Olympiakos 3

-------------------------------------

KUMPULAN B

Basel 1-0 Liverpool
Ludogorets 1-2 Real Madrid

Di Switzerland, kelab England diajar cara bermain Liga Juara-Juara. Liverpool yang membuat kemunculan semula tewas di tempat lawan hasil jaringan Marco Streller dari jarak dekat. Kelab Bulgaria membuat kejutan apabila mendahului juara bertahan, Real Madrid menerusi tandukan Marcelinho. Cristiano Ronaldo terlepas satu sepakan penalti sebelum menyempurnakan sepakan penalti kedua. Penyudah jarak dekat Karim Benzema membantu Real mengelak dari dimalukan.

Kedudukan: Real 6; Basel 3; Liverpool 3; Ludogorets 0

---------------------------------------

KUMPULAN C

Zenit 0-0 Monaco
Leverkusen 3-1 Benfica

Di Rusia, tuan rumah gagal menewaskan pelawat dari Perancis. Penguasaan bola seimbang dan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. Di Jerman pula, Soh Heung-Min menyinar apabila rembatannya yang ditepis penjaga gol disambar Stefan Kiessling untuk gol pertama tuan rumah. Soh sendiri menjaringkan gol kedua. Gol Eduardo Salvio dibalas serta-merta sepakan penalti Hakan Calhanoglu untuk kemenangan selesa.

Kedudukan: Zenit 4; Monaco 4; Leverkusen 3; Benfica 0

-------------------------------------------

KUMPULAN D

Anderlecht 0-3 Dortmund
Arsenal 4-1 Galatasaray

Di Belgium, satu lagi pasukan Jerman mencatat kemenangan kedua. Ciro Immobile menjaringkan gol awal apabila menyambut hantaran cantik Shinji Kagawa. Dua lagi gol pemain gantian Adrian Ramos membantu Dortmund memusnahkan tuan rumah. Di England pula, hatrik Danny Welbeck membantu tuan rumah membelasah pelawat dari Turki. Satu lagi gol Gunners dijaringkan oleh Alexis Sanchez ketika sepakan penalti Burak Yilmaz mengurangkan defisit. Penjaga gol Arsenal turut dibuang padang.

Kedudukan: Dortmund 6; Arsenal 3; Galatasaray 1; Anderlecht 1

--------------------------------------

Selepas dua perlawanan, Kumpulan A menyaksikan semua pasukan mengutip tiga mata dengan masing-masing mencatat satu kemenangan. Pendahulu kumpulan hanya dipisahkan jaringan gol. Kumpulan lain menyaksikan pasukan-pasukan gergasi mencatat kemenangan.

Perjalanan masih panjang. Masih ada empat perlawanan yang perlu dilalui. Pemenang kumpulan hanya akan diketahu selepas lima atau enam perlawanan. 




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif