Welcome To My Life...

Sunday, December 2, 2012

Crazy Game

Assalamualaikum.

Maaf, entri bola sepak. Sekali lagi.

Awal pagi tadi (jam 1.30 waktu Malaysia), pasukan kesayangan aku, Manchester United, mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan satu kemenangan yang gila. Aku sendiri tak percaya aku turut menjadi saksi. Babak pertama yang membayangkan pesta gol akan berlaku, dan babak kedua yang senyap sunyi, seperti perlawanan yang berkesudahan 0-0. Hasilnya?

Reading 3-4 Manchester United.

Semua gol dijaringkan dalam separuh masa pertama. Dan kedudukan sudah tentu menjadi 3-5 jika penjaga garisan tidak terlepas pandang sepakan Robin van Persie yang dikeluarkan pertahanan tetapi telah melepasi garisan gol. Bukan sedikit, tetapi bola melintas sepenuhnya. Ulang tayang menunjukkan tiada keraguan itu adalah gol. Tapi perkara ini (kesilapan manusia) memang berlaku, dan United kurang bernasib baik. Mujur masih menang.


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sepertimana aku dan juga jutaan peminat United di seluruh dunia, Alex Ferguson pasti terkejut dengan prestasi barisan pertahanannya. Memang sepanjang musim ini pertahanan United sangat lemah, tapi tidak terdedah seperti separuh masa pertama malam tadi. Setiap situasi bola mati bagaikan akan menghadirkan gol buat lawan. Mengerikan.

Mujurlah jentera serangan United hebat seperti biasa. Perlawanan itu dari hujung ke hujung. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi serangan yang menarik. Mungkin kerana barisan pertahanan United yang goyah. Anders Lindegaard di gawang dan bentengnya, Rafael - Jonny Evans - Rio Ferdinand - Patrice Evra, bagaikan tidak wujud ketika ketiga-tiga gol lawan dijaringkan.

Barisan depan United bukanlah yang terbaik kerana memberikan masa permainan berharga untuk Darren Fletcher dan Michael Carrick untuk bergandingan membentuk bahagian tengah bersama pemain Brazil yang semakin meningkat prestasinya, Anderson. Ashley Young, Robin van Persie, dan Wayne Rooney membina jentera serangan yang mantap.

Tetapi United bermula dengan ketinggalan kepada jaringan Hal Robson-Kanu yang merembat di dalam kotak penalti selepas cubaan Evans mengeluarkan bola hasil hantaran lintang, menuju tepat kepadanya. Sangat mengecewakan apabila melihat tiada pertahanan United cuba menutup ruang. Malang sekali, Reading melakukan kesilapan yang sama dengan kebanyakan kelab lain musim ini.

Diorang cuba untuk mengatasi United dengan bermula pantas dan menjaringkan gol awal. Hanya Norwich dan Galatasaray berjaya menang selepas bertindak seperti itu. Banyak kelab perlu belajar dengan Norwich dan Galatasaray bagaimana untuk menyekat kebangkitan United. Lazimnya, United yang santai apabila kedudukan 0-0, akan bangkit garang selepas ketinggalan. Kesilapan Reading? Diorang mendahului terlalu awal. Jika mahu menang, jaringkan gol kemenangan lewat permainan dan pulang dengan kemenangan 1-0.

 
Dua pemain ini bergandingan untuk gol penyamaan United yang sudah dijangka, pasti akan hadir. Anderson memulakannya dengan hantaran tepat kaki kiri kepada Young di sayap kiri. Dan Young melakukan hantaran satu-sentuhan untuk melepaskan larian Anderson. Pemain Brazil yang sedang memuncak itu merembat kencang, mengenai tiang dan menggegar jaring. Satu gol yang cantik dan memukau. 

Dan jaringan pendahuluan United sememangnya telah pun diramal apabila United ketinggalan. Evans mengawal bola di dalam kotak penalti lawan selepas satu sepakan sudut, dan dilanggar dari belakang oleh pertahanan lawan. Sepakan penalti yang jelas. Tiada masalah untuk Rooney meledak walaupun pernah beberapa kali gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Sangkaan awal bahawa United akan mula untuk berpesta selepas mendahului 2-1 dalam tempoh suku jam pertama meleset. Sebelum masa permainan berusia 20 minit, kedudukan disamakan kembali. Sepakan penjuru mendedahkan hakikat barisan United tidak fokus dan dihukum oleh tandukan Adam Le Fondre yang tidak dikawal.

Empat minit berselang, situasi bola mati sekali lagi mengejutkan United. Reading mendahului United sekali lagi menerusi satu lagi tandukan menyusuli sepakan sudut. Kali ini Sean Morrison memanjat Evans untuk menanduk masuk gol yang menghampakan aku sebagai peminat setia United. Tiga gol bodoh dan tidak masuk akal untuk kelab gergasi yang sedang mendahului liga. Pertahanan bagaikan tidak berfungsi.

 
Rafael, bek kanan yang masih muda, mula dikuasai emosi dan hilang kawalan terhadap permainannya. Kepantasan lawan di bahagian sayap membuatkan Rafael tertekan dan melakukan kekasaran yang memaksa pengadil melayangkan kad kuning apabila dia menghalang larian dengan menarik pemain lawan. Alex Ferguson menggantikannya dengan Chris Smalling. Rafael menyambung kemarahannya di bangku simpanan United sambil ditenangkan Danny Welbeck.

Mujur barisan serangan United menyelamatkan maruah kelab seperti lazimnya musim ini. Sekali lagi Young terlibat di sayap kiri. Evra menolak bola kepadanya, dan flik Young melepaskan larian Evra yang hantaran silangnya memberikan gol mudah untuk Rooney. United menyamakan kedudukan buat kesekian kalinya, dan perlawanan belum berakhir. Perlawanan baru berusia setengah jam.


Dan gol keempat United tiba jua untuk mendahului sekali lagi, sehingga ke wisel penamat. Ketika Carrick melorongkan bola, Van Persie berada di posisi ofsaid. Tetapi sentuhan flik Rooney membenarkan gol itu sah kerana RVP kembali onsaid. RVP meneruskan lariannya ketika pertahanan lawan berhenti kerana menyangkakan ofsaid. Penyudah kaki kanan RVP dikira kerana penjaga garisan tidak mengangkat bendera. Ulang tayang menunjukkan gol itu sah, dan penjaga garisan membuat keputusan tepat.


Keputusan sepatutnya 5-3 apabila separuh masa pertama tamat. United tidak bernasib baik kerana penjaga garisan dan pengadil gagal menganugerahkan gol itu kepada RVP. Ulang tayang jelas menunjukkan seluruh bola telah melepasi garisan gol. Kali ini pegawai perlawanan melakukan keputusan yang salah. Namun, diorang hanya manusia biasa. Inilah yang cuba diperbaiki oleh pengenalan teknologi garisan gol nanti.

Babak pertama berakhir dengan 4-3. Ramalan bahawa pesta gol akan berterusan ternyata silap apabila babak kedua hanya menyaksikan United gemuruh mempertahankan pendahuluan satu gol ketika barisan serangan gagal menambah jaringan. RVP bersalah apabila terlepas gawang terbuka. Penjaga gol lawan yang cuba menggelecek RVP gagal dan RVP merampas bola. Pintu gol terbuka luas, tetapi RVP tidak dapat meletakkan bola di dalam gol, mengulangi kegagalan terkenal Fernando Torres.

Peminat United seperti aku resah setiap kali Reading menyerang, terutama dalam 10 minit terakhir kerana gol penyamaan untuk Reading adalah sangat kejam walaupun layak. Keseluruhannya, pertahanan gagal dan serangan mantap. Benteng pertahanan perlu lebih utuh untuk menghadapi Manchester City dalam derby penting minggu depan. 

Anderson tak bernasib baik kerana tercedera buat kesekian kalinya. Itulah definisi perjalanan karier Anderson selama ini. Sentiasa malas dan dikritik. Apabila prestasinya mula meningkat, Anderson diganggu kecederaan. Sama seperti awal musim lepas, ketika gandingannya dengan Tom Cleverley sungguh menggerunkan.

Pertemuan menentang Cluj dalam Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu ini akan menyaksikan pertahanan tengah, Nemanja Vidic, kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan. Dia akan bergandingan dengan Phil Jones, Smalling, dan Alexander Buttner dalam benteng yang kukuh tetapi hanya pilihan kedua? Unbelievable? Believe it.














p sepak s : Glory glory...



2 comments:

Nik said...

sis tak minat sgt bole luar. cuma kena la sorang dua pemain dia..hehe

M Fizan said...

@nik ros hehe. cristiano ronaldo dengan lionel messi lah tu :D

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif