Welcome To My Life...

Tuesday, December 4, 2012

My Team

Assalamualaikum.

Maaf, entri bola sepak. ^_^

Ni bukan My Team yang Shebby Singh pernah cuba buat akademi dulu. Aku tak ada lar pasukan sendiri yang cuba mencabar pasukan kebangsaan tapi gagal. Maleh den nak layan. Ni pasal pemilihan satu pasukan daripada bintang-bintang yang telah disenarai pendek untuk posisi masing-masing bagi merebut gelaran yang terbaik di Eropah.

Mungkin ada yang korang kenal dan mungkin ada yang tidak. Aku sebagai peminat setia bola sepak Eropah sudah tentu kenal. Di bawah ni senarai pendek pemain yang bertarung untuk dinobatkan pemain terbaik Eropah di posisi diorang. Kelab dan negara diorang dalam kurungan.

PENJAGA GOL (4)
Gianluigi Buffon (Juventus, Itali)
Iker Casillas (Real Madrid, Sepanyol) 
Petr Cech (Chelsea, Republik Czech)
Manuel Neuer (Bayern Munich, Jerman)

PERTAHANAN (12)
Andrea Barzagli (Juventus, Itali)
Ashley Cole (Chelsea, England)
Mats Hummels (Borussia Dortmund, Jerman)
Branislav Ivanovic (Chelsea, Serbia)
Jordi Alba (Barcelona, Sepanyol)
Vincent Kompany (Manchester City, Belgium)
Philipp Lahm (Bayern Munich, Jerman)
Javier Mascherano (Barcelona, Argentina)
Pepe (Real Madrid, Portugal)
Gerard Pique (Barcelona, Sepanyol)
Sergio Ramos (Real Madrid, Sepanyol)
Thiago Silva (PSG, Brazil)

PEMAIN TENGAH (12)
Xabi Alonso (Real Madrid, Sepanyol)
Jakub Blaszczykowski (Borussia Dortmund, Poland)
Eden Hazard (Chelsea, Belgium)
Andres Iniesta (Barcelona, Sepanyol)
Juan Mata (Chelsea, Sepanyol)
Claudio Marchisio (Juventus, Itali)
Mesut Ozil (Real Madrid, Jerman)
Andrea Pirlo (Juventus, Itali)
Marco Reus (Borussia Dortmund, Jerman)
David Silva (Manchester City, Sepanyol)
Yaya Toure (Manchester City, Ivory Coast)
Xavi Hernandez (Barcelona, Sepanyol)

PENYERANG (12)
Sergio Aguero (Manchester City, Argentina)
Burak Yilmaz (Galatasaray, Turki)
Edinson Cavani (Napoli, Uruguay)
Didier Drogba (Shanghai Shenhua, Ivory Coast)
Falcao (Atletico Madrid, Colombia)
Mario Gomez (Bayern Munich, Jerman)
Klaas-Jan Huntelaar (Schalke 04, Belanda)
Zlatan Ibrahimovic (PSG, Sweden)
Robert Lewandowski (Borussia Dortmund, Poland)
Lionel Messi (Barcelona, Argentina)
Cristiano Ronaldo (Real Madrid, Portugal)
Robin van Persie (Manchester United, Belanda)

Pemain dengan warna biru dan italic tu aku pilih untuk UEFA Team of The Year aku. Pilihan aku bukan kerana populariti semata tapi aku tengok jugak impak diorang terhadap pasukan, gol, assists, dan statistik. Aku mulakan dengan formasi. Aku suka permainan menyerang. Walaupun pasti ramai yang akan gemar dengan 4-4-2 atau 3-5-2. Sebabnya boleh gandingkan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebagai penyerang berkembar, dan padatkan kawasan tengah dengan pemain berkualiti. 

Pasukan aku?

 Klik untuk tumbesaran

Pertama, posisi penjaga gol. Antara empat, sudah tentu saingan sengit. Aku pilih Gianluigi Buffon (Juventus, Itali) kerana dia sememangnya masih penjaga gol terbaik dunia. Sukar untuk membuat pilihan apabila Iker Casillas, Petr Cech, dan Manuel Neuer mencabar tetapi aku rasa Buffon memiliki sedikit faktor X. Buffon kental di gawang ketika membawa Itali mara ke perlawanan akhir EURO 2012, dan membantu Juventus menang Serie A 2011/2012 tanpa sebarang kekalahan.

Buffon hanya menang 56% perlawanan (28/50) berbanding Casillas dengan 76% (48/66), dan Neuer dengan 67% (39/58). Buffon juga hanya memiliki 23 clean sheets (menang tanpa bolos) berbanding Neuer (28) dan Casillas (24). Tetapi jika dilihat bagaimana dia mempengaruhi pasukannya, Buffon lebih menyerlah.

Untuk setiap posisi seterusnya, aku pilih satu pasukan mesin gol tetapi masih kental untuk ditewaskan. Aku suka pasukan menyerang. Jadi aku pilih para pemain yang gemar menyerang dan menjaringkan gol. Sebab? Cara pertahanan terbaik adalah dengan menyerang. Itulah seni bola sepak yang paling indah. Aku kurangkan pemain Barcelona kerana pasukan itu begitu kukuh dengan kemampuan menyimpan bola. 

Untuk membentuk tembok pertahanan yang utuh, aku pilih Branislav Ivanovic - Sergio Ramos - Mats Hummels - Jordi Alba. Bukti statistik? 

Ivanovic mantap di bek kanan untuk Chelsea. Ya, walaupun Ivanovic hanya menang 46% permainan (24/52), tetapi dia menjaringkan 9 gol, terbanyak dalam senarai pendek. Gandingan bek tengah aku pilih Ramos (Real Madrid) dan Hummels (Dortmund) berbanding Vincent Kompany (Manchester City). Kedua-duanya dengan lima gol ketika Ramos menang 73% aksi (45/62) dan Hummels menang 68% (34/50). Bek kiri pilihan aku ialah Alba (Barcelona) berbanding Ashley Cole (Chelsea). Alba sering melakukan larian overlapping untuk menjaringkan 6 gol dan menang 61% perlawananannya (31/51). 

Aku pilih gandingan tengah Eden Hazard - Mesut Ozil - Juan Mata. Ya, kawasan tengah tidak padat dan tiada pemain tengah bertahan. Aku mahukan gol dan permainan menyerang! Inilah kombinasi yang memiliki gol dan assist yang banyak ketika masih memiliki peratus hantaran tepat yang tinggi. Aku tahu kebanyakan 'pengurus' lain akan memilih Andres Iniesta (Barcelona) dan Xavi Hernandez (Barcelona) kerana diorang memiliki hantaran tepat yang luar biasa.

Hazard (Chelsea)? Sejak berpindah dari Lille, dia menyerlah di Chelsea. Sepanjang 2012, Hazard menjaringkan 17 gol, mencipta 16 lagi gol. Itu cukup produktif walaupun Hazard hanya menang 55% aksi (27/49), dan cuma melakukan 83% hantaran tepat berbanding Iniesta (78% menang, 91% hantaran tepat) dan Xavi (77% menang, 94% hantaran tepat). Gol dan assist Iniesta (7, 12) dan Xavi (10, 8) membuktikan diorang cuma pakar menyimpan bola dan bergantung kepada Messi untuk membawa pasukan Barcelona.

Mata (Chelsea)? Berasal dari Sepanyol, tak dapat dinafikan lagi antara pemain terbaik Chelsea ketika ini. 16 gol dan 14 assists membuktikannya. 86% hantaran tepat Mata cukup kompeten untuk aku pandang remeh meskipun Mata hanya menang 58% aksi (35/60). Ozil (Madrid)? Antara pemain tengah menyerang terbaik era ini, kreatif membantu Ronaldo sejak berpindah. 14 gol dan 18 assists cukup untuk menggerunkan mana-mana pertahanan. 86% hantaran tepat Ozil juga kompeten dan menang 68% aksi (41/60) hanya mengukuhkan kewajaran penyenaraian Ozil.

Aku pilih Hazard, Mata, dan Ozil kerana ketiga-tiganya mampu bertukar-tukar posisi. Diorang fleksibel dan kombinasi ini sangat licin. Ketiga-tiganya mampu menyerang dari kiri, kanan, dan tengah. Jika serangan sehebat ini, untuk apa pemain tengah bertahan? Berehat dan bermain hantaran pendek macam Sergio Busquets untuk Barcelona? Tiada fungsi. Macam sampah. Sekadar pelengkap pasukan tak layak bermain untuk aku.

Jentera serangan yang aku pilih pastinya 100% terbaik. Mesin gol dan naluri pembunuh. Tiada keraguan lagi Lionel Messi (Barcelona) dan Cristiano Ronaldo (Real Madrid) menjadi pilihan wajib! Penghibur dan peledak berbisa. Dua pemain yang sering dibicarakan untuk menjadi yang terbaik era ini. Kalau dua penyerang digunakan, sudah tentu diorang tiada saingan. Tapi aku pilih tiga, dan satu lagi menjadi rebutan antara Zlatan Ibrahimovic (PSG), Robin Van Persie (Manchester United) dan Falcao (Atletico Madrid).

Messi menang 77% aksi (48/62) dan Ronaldo menang 66% (42/64). Jaringan dan assists Messi (82, 17) tiada tandingan. Ronaldo pula meledak 58 gol dan mencipta 9 lagi gol. Messi sememangnya terbaik kerana menjadi sumber gol utama dan membawa Barcelona secara berseorangan. Ronaldo pula hebat di dua kelab, Manchester United dan Real Madrid. Dia sememangnya pemain luar biasa.

Sedikit sukar untuk membezakan Ibrahimovic, Van Persie, dan Falcao. Kemenangan ketika beraksi untuk Ibrahimovic adalah 33/54 (61%). RVP menang 66% (35/53) manakala Falcao 34/50 (68%). Dari segi jaringan, Ibrahimovic (45) > Falcao (40) > RVP (35). Dari segi mencipta jaringan rakan sepasukan, Ibrahimovic (14) > RVP (8) > Falcao (5). RVP masih belum cukup mempengaruhi pasukan. Antara Falcao dan Ibrahimovic. Falcao memang penyerang berkaliber dengan hatrik membenam Chelsea dalam Piala Super UEFA.

Akhirnya, aku rasa Ibrahimovic memiliki keistimewaan dengan membawa kelab dan negaranya secara solo. Hatrik Ibrahimovic menghancurkan England 4-2 baru-baru ini, termasuk jaringan akrobatik luar biasa dari luar kotak penalti. Untuk kelab pula, Ibrahimovic yang baru menyertai PSG musim panas lalu, menjadi lambang kelab itu. Ibrahimovic menjaringkan dan mencipta hampir kesemua gol PSG. Ibrahimovic bagaikan keseluruhan pasukan PSG.

Gandingan serangan aku adalah Messi - Ibrahimovic - Ronaldo. Tiga mesin gol. Ronaldo dan Messi boleh bertukar sayap untuk mengapit Ibrahimovic yang menjadi penyerang utama dengan susuk tubuh yang begitu tegap. Walaupun tiada pemain yang boleh menyimpan bola seperti Xavi dan Iniesta dalam pasukan aku, gandingan Hazard - Ozil - Mata, Messi - Ibrahimovic - Ronaldo adalah idaman mana-mana pasukan. Dengan serangan sebegini, aku tidak perlukan pertahanan langsung. Penjaga gol? Pemerhati sepanjang masa. Tiada pasukan lain yang berani menentang barisan serangan ni.

Keseluruhannya, pasukan yang aku pilih menjaringkan 257 gol sepanjang kalendar 2012. Dan ketika entri ini ditulis, masih ada beberapa perlawanan untuk diorang meledak. Messi baru saja menambah satu gol hujung minggu lalu, begitu juga Ronaldo. Bermakna ketika ini, jumlah gol pasukan aku adalah 259+. Messi dengan 83 gol sedang mencabar rekod jaringan satu kalendar Gerd Muller dengan 85. Dia pasti mampu mengatasinya.

This is my Team of The Year? Can you fight this?











 p peluk s : Dream Team..



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif