Welcome To My Life...

Monday, March 13, 2017

All England 2017 - Juara Lima Negara

Assalamualaikum.

Terlalu hampir tapi terlalu jauh (so close yet so far).

Itulah gambaran untuk aksi final beregu campuran kejohanan Yonex All England 2017 di Birmingham, England. Beregu campuran kebanggaan negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 menjadi wakil pertama negara yang melangkah ke perlawanan akhir dalam acara itu dalam sejarah penyertaan All England. 

Keputusan kontroversi dari service judge ketika kedudukan 10-9 dalam set pertama. Servis Liu Ying dikatakan 'pendek' tetapi dicabar. Teknologi hawk eye memberikan mata kepada pasangan negara. Aksi cemerlang Peng Soon yang tajam membawa kemenangan akhirnya membawa kemenangan set pertama. Beregu China mendahului semasa rehat di kedudukan 8-11. Namun pasangan Malaysia bangkit gagah untuk mendahului 16-13. Ketika kedudukan 17-15, satu mata penting di'hadiah''kan kepada Lu/Huang apabila umpire memutuskan smash Peng Soon di jaring sebagai foul sedangkan ulang tayang menunjukkan ia jelas pukulan yang bersih. 

Tekanan itu gagal dibendung dan Chan/Goh kehilangan set kedua. Keadaan bertambah buruk memulakan set ketiga, Peng Soon/Liu Ying ketinggalan 0-6. Bukan saja hilang rentak, malah moral mereka sangat terjejas. Sekali lagi ketinggalan semasa bertukar gelanggang, secara tiba-tiba kad kuning diberikan kepada Peng Soon kerana dituduh cuba melambatkan permainan. Umpire sangat berat sebelah.

Menuju penghujung permainan, sangat jelas kelihatan Peng Soon/Liu Ying amat kepenatan dari mata ke mata. Akhirnya kemenangan menjadi milik beregu China yang boleh dikatakan 'hadiah' dari umpire yang tidak profesional. Peng Soon/Liu Ying tidak memiliki kekuatan mental seperti pasangan China yang kukuh di bawah tekanan.

Perlawanan berikutnya antara wakil Malaysia dan wakil China sekali lagi, kali ini dalam acara perseorangan lelaki. Pertembungan dua generasi. Lee Chong Wei berusia 34 tahun dengan tiga kejuaraan All England sebelumnya dan Shi Yuqi berusia 21 tahun. Pemain legenda dan pemain muda yang masih mentah. Misi balas dendam Dato' Lee untuk menebus kekecewaan Peng Soon/Liu Ying. 

Kemenangan mudah dalam kedua-dua set, straight game 21-12 dan 21-10. Pertahanannya ampuh dan variasi pukulan Dato' Lee sangat memukau. Mungkin Lin Dan adalah badi  bagi beliau tapi bukan Shi Yuqi. Baru saja pulih dari kecederaan, Lee Chong Wei membuktikan statusnya sebagai legenda badminton Malaysia dengan satu lagi kejayaan manis.

Kini misi bersambung di Glasgow.

--------------------

Lima acara, lima juara, dari lima negara berbeza. Sepatutnya dua milik wakil Malaysia jika umpire lebih profesional. Keputusan akhir yang lengkap:

MS: Lee Chong Wei (Malaysia) v Shi Yuqi (China) 21-12 21-10
MD: Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) v Li Junhui/Liu Yuchen (China) 21-19 21-14
WS: Tai Tzu Ying (Taiwan) v Ratchanok Intanon (Thailand) 21-16 22-20
WD: Chang Ye Na/Lee So Hee (Korea Selatan) v Kamilla Rytter/Christinna Pedersen (Denmark) 21-18 21-13
XD: Lu Kai/Huang Yaqiong (China) v Chan Peng Soon/Goh Liu Ying (Malaysia) 18-21 21-19 21-16

--------------------

Kini kejuaraan besar seterusnya menanti dalam acara berpasukan Piala Sudirman di Australia pada bulan Mei. Sementara Kejuaraan Dunia di Scotland pula pada akhir bulan Ogos. Sinar juara dunia dari Malaysia kelihatan cerah. 

Dato' Lee Chong Wei yang baru merangkul kejuaraan All England keempat dalam karier akan memburu gelaran juara dunia pertamanya. Hanya Kejuaraan Dunia, pingat emas Sukan Olimpik, dan pingat emas Sukan Asia yang masih belum dimenangi. Lee Chong Wei tiada cabaran dari wakil negara lain tapi perlu memberi perhatian kepada tiga pemain armada China - Chen Long, Tian Houwei, dan Shi Yuqi - selain Viktor Axelsen yang mungkin menjadi penghalang.

Dua lagi harapan besar negara dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran. Pasangan ranking nombor satu dunia, Goh V Shem/Tan Wee Kiong kini setanding beregu-beregu handalan di hari terbaik mereka. Prestasi perlu dipertingkatkan kerana beregu-beregu lain dari China, Indonesia, dan Denmark sama kuat.

Harapan dalam beregu campuran pula digalas Chan Peng Soon/Goh Liu Ying. Selepas mencipta kejutan memenangi pingat perak Olimpik Rio, ditambah dengan naib juara All England, tiada beregu campuran di lima terbaik ranking dunia akan memandang rendah pasangan Malaysia ini. Chan/Goh diharap dapat mengatasi lagi beregu China, Indonesia, dan Denmark.

Semoga pasukan badminton Malaysia terus maju jaya.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif