Welcome To My Life...

Thursday, March 2, 2017

Juara Lagi





Gambar kemenangan piala yang membuatkan para pembenci (haters) Manchester United menggelar piala ini 'sampah' dan 'Mickey Mouse' hanya kerana pasukan mereka tersungkur awal. Juara lagi! Tahniah pasukan kegemaranku yang kini menjadi pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak Inggeris dengan 42 kejuaraan, satu mengatasi Liverpool. 



Aksi di Wembley mempertemukan United dan pencabar kejuaraan, Southampton. Tanpa Henrikh Mkhitaryan yang cedera, trio Jesse Lingard-Juan Mata-Anthony Martial menyokong penyerang tunggal, Zlatan Ibrahimovic, dengan double pivot Ander Herrera dan Paul Pogba menyambung barisan pertahanan dan jentera tengah.

Seperti dijangka, Manchester United mendahului menerusi sepakan percuma cantik dari kuda tua Sweden, Ibrahimovic, yang telah berusia 35 tahun. Lingard mengukuhkan kedudukan apabila menyempurnakan satu siri hantaran cemerlang para pemain United dengan satu penyudah kemas. Lingard kini telah menjaringkan beberapa gol dalam perlawanan penting di stadium keramat ini sehingga mendapat gelaran 'Mr Wembley'.

Southampton merapatkan jurang menerusi penyudah bijak Manolo Gabbiadini yang menyambung hantaran silang rakan sepasukan. Awal babak kedua, Gabbiadini menyalakan harapan Southampton apabila sekali lagi menjaringkan gol, kali ini beraksi cemerlang melakukan rembatan voli sambil memusingkan badannya. 

Southampton semakin yakin dan terus memberi tekanan kepada pemain United. Masa semakin suntuk dan detik masa tambahan kian hampir ketika Ibrahimovic menerima hantaran lintang Herrera. Terkenal dengan ketajamannya di setiap kelab yang pernah disertai, Ibra sekali lagi menjadi wira dengan tandukan padu untuk memastikan kemenangan Piala Liga keempat buat Manchester United.



Seorang pemain legenda hidup (living legend) yang terus tajam di depan gawang. Ajax Amsterdam, Barcelona, Inter Milan, AC Milan, dan Paris Saint-Germain adalah antara nama-nama kelab besar yang pernah mendapat khidmat penggempur ulung berasal dari Sweden ini. Ramai yang mengatakan zaman emasnya telah berakhir selepas menamatkan kontrak yang tidak disambung di PSG (Perancis-Ligue 1). Namun Ibra terus menutup mulut pengkritiknya dengan 26 gol yang diledakkan sepanjang berada di bawah pengurusan Jose Mourinho. 

Walaupun carta liga menunjukkan United masih di tangga keenam ketika ini, kedudukan itu pasti berubah selepas Leicester menewaskan Liverpool yang berada di atas United hujung minggu lepas ketika United beraksi di Wembley. United mempunyai kelebihan satu perlawanan yang jika dimenangi, akan memintas Liverpool. Kedudukan itu akan berubah lagi kerana hujung minggu ini, Liverpool akan bertembung dengan satu lagi pasukan top four, Arsenal. 

Piala Liga sudah dimiliki. United masih bersaing dalam dua pertandingan selain aksi liga. United kini di pusingan 16 terbaik Liga Europa (divisyen kedua Eropah). United akan menentang Rostov di Rusia. United juga dalam senarai 16 pasukan terakhir yang masih bertanding merebut kejuaraan Piala FA dan akan bertemu Chelsea di tempat lawan sebaik pulang dari Rusia.

Glory glory Manchester United!








No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif