Welcome To My Life...

Thursday, March 9, 2017

Barcelona Korup

Assalamualaikum.

Kemaraan yang memalukan. Itulah penilaian yang selayaknya diberikan kepada kelab La Liga Sepanyol, FC Barcelona, yang melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2016/2017. Kejayaan Barca dari tahun ke tahun dengan dibantu pengadil sudah sangat memualkan, sehingga mendapat gelaran 'UEFAlona'.

Sebelum perlawanan awal pagi tadi, para pengkritik bola sepak sudah menganggap Barca tersingkir gara-gara kekalahan 4-0 di Paris kepada kelab Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain. Namun 'keajaiban' format timbal balas seakan-akan bakal menghantui PSG buat seribu tahun lagi.

Bertandang ke Nou Camp, PSG hanya perlu bertahan dan mengekalkan kelebihan empat gol. Jika satu gol dijaringkan, PSG akan memiliki kelebihan gol di tempat lawan dan peluang Barca semakin sukar. Tapi segalanya serba tak menjadi untuk kelab Perancis ini. 

Gol awal Luis Suarez seakan mengejutkan PSG. Gol sendiri Kurzawa selepas menolak cubaan kuda tua Andres Iniesta menekan lagi PSG. Gol ketiga Barca hasil sepakan penalti kontroversi Lionel Messi sangat menggugat PSG. Sepakan itu tidak sepatutnya diberikan kerana Neymar melanggar pertahanan PSG yang terjatuh, tapi pengadil sangat berat sebelah.

Bersambung babak kedua, Edinson Cavani menjaringkan gol 'perak' PSG untuk memberikan kelebihan gol di tempat lawan. Agregat 5-3, Barca memerlukan keajaiban kerana perlu meledak tiga gol. Mereka merapatkan agregat kepada 4-5 hasil sepakan percuma cantik Neymar pada minit ke-88.

Lima minit masa kecederaan. Barca menyamakan agregat 5-5 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Neymar. Sekali lagi sepakan penalti ini kontroversi dan tak sepatutnya diberikan. Lakonan Luis Suarez menjadi dengan mengambil kesempatan dengan sentuhan pertahanan untuk merebahkan diri. Selayaknya Suarez menerima kad kuning untuk simulasi. Barcelona dibantu pengadil yang korup!

Akhirnya, kisah dongeng pari-pari akan diingati selamanya. Sepakan percuma disambar oleh Sergi Roberto menewaskan penjaga gawang PSG untuk melengkapkan 'kebangkitan terhebat bola sepak'. Belum pernah ada kelab ketinggalan 4-0 dari perlawanan pertama untuk menang 6-1 dalam perlawanan kedua.

Kemenangan agregat 6-5 yang sangat amat meragukan. DUA penalti yang sangat kontroversi. Para penyokong Barcelona seharusnya malu dengan kemenangan ini. Kemenangan yang dibantu pengadil. 




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif