Welcome To My Life...

Monday, March 6, 2017

JDT 3-2 Pahang: 5 Buah Mulut

Assalamualaikum.

Tahniah buat Harimau Selatan. Pasukan Johor Darul Takzim menumbangkan pendahulu Liga Super Malaysia untuk mengembalikan keyakinan peminat mereka gara-gara permulaan yang perlahan. Berikut adalah lima perkara utama pasca perlawanan.

1. Kemenangan Mora-l
Kejayaan mengatasi pendahulu liga adalah kemenangan yang sangat bermakna bagi pengurus, Benjamin Mora, dan seluruh pemain serta penyokong Johor Darul Takzim. Permulaan musim baru yang buruk kini dapat dilupakan selepas kemenangan menundukkan Pahang pasti meningkatkan moral dalam kem pasukan. 

2. Kubu Larkin
Rekod tanpa kalah JDT di laman sendiri diteruskan. 30 perlawanan berturut-turut tanpa sebarang kekalahan dalam semua pertandingan. Kali terakhir JDT kalah perlawanan liga di Larkin adalah pada tahun 2012, 56 perlawanan liga yang lalu. Simply FORTRESS!

3. Super Safiq dan ledakan Hazwan
Ramai pemerhati bola sepak yang mengkritik Safiq Rahim (Copot) kerana masih dibayangi aksi cemerlang musim lepas. Musim ini, Safiq lebih banyak dikenali kerana aksi kasarnya. Namun, malam tadi, Safiq menutup mulut para pengkritiknya dengan 1 gol dan 2 bantuan gol. Hazwan Bakri pula membuktikan statusnya antara penyerang berbisa tanah air ketika ini dengan dua gol peribadi.

4. Bisa Alves
Sebelum perlawanan lagi, penyerang import Pahang, Matheus Alves, berada di puncak senarai penjaring terbanyak dengan enam gol, berkongsi bersama Mohammed Ghaddar (Kelantan). Malam tadi, Alves menjarakkan diri dari Ghaddar dengan dua lagi jaringan peribadi, salah satunya sepakan percuma yang cantik terkena palang sebelum masuk ke dalam gol.

5. Depan tajam, belakang bocor
Barisan serangan Pahang begitu free-scoring ketika ini. 22 gol dalam tujuh perlawanan, dengan purata 3 gol untuk setiap perlawanan. Satu rekod yang baik. Namun, barisan pertahanan mereka menghampakan, begitu pemurah terutamanya menentang pasukan-pasukan besar. Tewas 1-4 kepada Kedah dan 2-3 kepada JDT, pengurus (Dollah Salleh) perlu memikirkan formula terbaik untuk mengukuhkan benteng pasukannya.

------------------------------------------

JDT kini masih di tangga ketiga liga, namun memiliki satu perlawanan dalam tangan berikutan aksi yang ditangguhkan kerana mereka terlibat dengan pertandingan Piala AFC. Perlawanan menentang Kelantan tidak boleh dipandang mudah kerana reputasi penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar, yang telah meledak dua hatrik dalam masa tiga hari saja.

[kemas kini] Selepas Kedah menewaskan Melaka 4-0 di Stadium Darul Aman hasil dua jaringan masing-masing untuk Sandro dan Ken Ilso, kini Helang Merah kembali di puncak Liga Super dibezakan dua mata dari Pahang. JDT akan memintas Pahang sekiranya berjaya menewaskan Kelantan. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif