Welcome To My Life...

Tuesday, October 10, 2017

Futsal Oh Futsal

Assalamualaikum.

Semalam penulis berhujung minggu hari Ahad menonton pertandingan futsal untuk Piala IMU 2017 yang bertempat di Ferro Futsal di Subang Jaya. Memang venue yang sudah menjadi kelaziman dari tahun ke tahun.

Hanya enam rumah sukan bertanding, jadi dibahagikan kepada dua kumpulan yang mengandungi tiga pasukan. Pemenang dan tempat kedua kumpulan akan berentap di separuh akhir, manakala pasukan tercorot kedua-dua kumpulan akan menentukan tempat kelima dan keenam.

Penulis datang kerana minat dan kebetulan rakan serumah penulis juga turut bersaing untuk rumah sukannya. Jika tidak, lebih baik penulis baring di rumah daripada menghadapi perjalanan Seremban-Subang Jaya. Penulis dan rakan serumah sampai pada jam 10 pagi. 

--------------------------------

Kumpulan A
Pegasus 3-2 Griffin
Griffin 2-1 Taurus
Pegasus 1-0 Taurus

1. Pegasus, 2. Griffin, 3. Taurus

Juara bertahan tahun lalu, Pegasus, turun menentang pasukan Griffin yang biasanya sebelum ini tidak mempunyai pasukan yang kuat (sepanjang pengalaman penulis dalam Piala IMU -- 2017 adalah tahun kelima). Kali ini mereka berjaya memberi saingan kepada Pegasus. Pasukan futsal Pegasus masih melibatkan ayam tambatan mereka tahun lepas ditambah dua orang pemain baru yang sangat berkualiti pada pandangan penulis.

Malang bagi rumah sukan penulis, Taurus, kerana berada sekumpulan dengan bakal juara dan naib juara. Taurus hanya tewas tipis dalam kedua-dua perlawanan tetapi tersingkir dari pusingan kalah mati.

---------------------------------

Kumpulan B
Draco 0-0 Phoenix
Phoenix 4-1 Hydra
Hydra 2-1 Draco

1. Phoenix, 2. Hydra, 3. Draco

Agak mengejutkan apabila melihat saingan dalam kumpulan ini. Draco dan Phoenix pernah mempunyai pasukan yang kuat dalam tahun-tahun yang lalu. Hydra seperti tidak mempunyai pemain baru yang kuat. Namun, Hydra tetap layak ke peringkat separuh akhir.

Draco dengan pasukan yang agak lemah kali ini adalah pasukan yang bernasib malang pada pandangan penulis. Mereka mencipta beberapa peluang tetapi ketumpulan penyudah menghancurkan harapan mereka untuk melangkah jauh. 

-----------------------------

Semi Final
Phoenix 1-2 Griffin
Pegasus 4-1 Hydra

Kemenangan Griffin mengatasi Phoenix untuk mara ke perlawanan akhir agak mengejutkan kerana pasukan Phoenix masih kuat seperti biasa. Cuma kekuatan Griffin meningkat secara mendadak tahun ini dengan beberapa orang pemain yang baik.

Pegasus tidak menghadapi masalah untuk membenam cabaran Hydra. Kelemahan Hydra sangat terdedah apabila menghadapi pasukan yang tersusun seperti Pegasus. Kemenangan Pegasus bermakna dua pasukan dari kumpulan yang sama akan berentap sekali lagi.

---------------------------

Tempat ke-5/6
Taurus 2-1 Draco

Tempat ke-3/4
Phoenix 6-0 Hydra

Final 
Griffin 2-2 Pegasus 
*Pegasus menang penentuan penalti 2-1

Penamat yang menarik untuk pertandingan futsal tahun ini. Taurus selayaknya mengalahkan Draco kerana mereka berada dalam kumpulan yang sama dengan dua pasukan di final (pada awalnya). Kejayaan Phoenix membelasah Hydra sebenarnya dibantu hakikat Hydra tidak mempunyai pemain yang cukup.

Kecederaan yang dialami dua orang pemain Hydra ditambah pula kenyataan mereka tidak ada pemain simpanan menyaksikan Hydra beraksi kurang seorang pemain untuk sebahagian besar permainan. Phoenix pula tiada belas kasihan.

Perlawanan akhir sangat epik dan menyajikan aksi terbaik dalam pertandingan kali ini. Pegasus sepertinya akan menang mudah apabila mendahului 2-0 di separuh masa kedua. Namun, Griffin memastikan penyudah mencemaskan dengan dua jaringan lewat untuk mengikat kedudukan. Tuah Griffin berakhir di situ apabila tewas penentuan penalti 2-1.

Keseluruhannya, pertandingan futsal 2017 tidak meriah seperti sebelum ini. Tiada insiden pergaduhan atau momen-momen panas antara pemain. Hakikat ini dipersetujui rakan penulis yang beraksi untuk pasukan futsal Griffin (kami veteran Piala IMU). Buat pertama kalinya juga, penulis dapat memuji kualiti pengadilan yang langsung tidak menimbulkan rasa tidak puas hati.

Biasanya, pemain akan bertegang urat dengan pengadil kerana sikap berat sebelah, tetapi tidak berlaku kali ini. Salut dari penulis untuk pengadil yang cemerlang, sama seperti pemain di atas padang. Tahniah Pegasus kerana mempertahankan pingat emas yang dimenangi tahun lalu. Kita jumpa di padang bola sepak.

Keyboard off.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif