Welcome To My Life...

Monday, October 30, 2017

Tersalah Diagnosis

Assalamualaikum.

Ada orang yang mempersoalkan tentang konsultasi dengan doktor yang berjalan secepat lima minit dan tidak memakan masa yang lama. Sebenarnya, seorang doktor belajar lima tahun untuk melakukan diagnosis sepantas itu.

Namun, ilmu seorang doktor tetap terbatas. Dia perlu belajar sepanjang hayatnya dari pengalaman. Dan ada juga doktor yang tidak belajar banyak sepanjang lima tahun itu.

-----------------------------

Minggu lepas, penulis telah melihat satu kes yang menarik perhatian di wad pembedahan. Kes yang sangat mengecewakan. Kesilapan yang boleh dielakkan.

Seorang remaja lelaki yang masih bersekolah menengah mengalami sakit di bahagian karung buah zakar (scrotum) pada hari Sabtu. Bahagian itu membengkak. Dia dibawa ibunya ke klinik swasta dan diberikan ubat tahan sakit, dan ubat antibiotik. Diagnosis yang diberi: jangkitan kuman (epididymo-orchitis).

Nasibnya tak bertambah baik. Bengkak dan sakit di bahagian buah zakarnya (sebelah kanan) berterusan. Hanya pada hari keempat (Selasa), dia menyedari bengkak semakin teruk pada sebelah pagi. Sekali lagi dibawa ke klinik swasta (yang lain) dan dirujuk ke hospital besar dengan diagnosis ?hydrocele (doktor tidak pasti).

Ujian air kencing urine for full examination and microscopic examination (UFEME) menunjukkan keputusan negatif. Selepas diterangkan kepentingan ultrasound dalam mencari punca bengkak buah zakar anaknya kepada si ibu, pesakit dihantar untuk menjalani ujian ultrasound scrotum and testes.

Keputusan diberitahu melalui telefon kepada doktor pelatih yang bertugas, yang merujuk kepada pegawai perubatan. Pesakit dihantar serta-merta ke dewan bedah.

------------------------------

Testicular torsion adalah satu kecemasan pembedahan (surgical emergency). Masa maksima dari kehadiran pesakit dengan simptom sakit ke pembedahan adalah tiga jam. Ya, TIGA JAM saja!

Pesakit tadi telah tertangguh pembedahannya kerana kegagalan doktor di klinik swasta untuk mengesan diagnosis testicular torsion. Apa akibatnya kepada remaja lelaki tadi?

Right orchidectomy dan left orchidopexy. Buah zakar kanannya terpaksa dibuang kerana sudah tidak dapat diselamatkan lagi dan untuk mengelakkan jangkitan kuman. Buah zakar kirinya pula disangkut pada tiga titik untuk mengelakkan testicular torsion berulang lagi di sebelah kiri pula. Kini buah zakar yang akan membekalkan sperma bagi meneruskan generasinya hanya tinggal sebelah.

Pilihan yang ada baginya sekarang adalah untuk meletakkan implan buah zakar. Pastinya psikologi remaja ini akan terkesan kerana dia sudah kekurangan sebelah buah zakar. Tersalah diagnosis boleh memberi akibat yang sangat buruk kepada pesakit. Doktor yang tidak kompeten seperti ini tidak selayaknya berada di primary care di mana orang ramai akan mendapatkan pandangan perubatan paling awal sebelum dirujuk ke mana-mana pusat perubatan.

Malang sekali bagi remaja tadi, dia menjadi mangsa.

Keyboard off.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif