Welcome To My Life...

Sunday, October 22, 2017

Kali Pertama

Assalamualaikum.

Sebaik saja tamat suku keempat perlawanan semalam, maka bersyukurlah para peminat yang menonton dengan penuh debaran. Jarang sekali melihat pasukan Malaysia beraksi dalam perlawanan akhir di peringkat yang tinggi.

Malah sebagai fakta, pasukan negara tidak pernah ke final Piala Asia sejak tahun 1982. Selepas 35 tahun, akhirnya tembok tinggi itu runtuh jua.

Perjalanan skuad hoki kebangsaan Malaysia atau dikenali dengan nama jolokan 'Speedy Tigers' tidak semudah yang diharapkan. Malaysia bermula dengan sangat gemilang. Berstatus pasukan kedua terbaik benua Asia pada ketika ini di ranking ke-13 dunia (India di ranking ke-12), Malaysia mengungguli kumpulan B dalam kejohanan lapan pasukan ini.

Malaysia memulakan pertandingan edisi 2017 dengan langkah kanan apabila membelasah skuad China 7-1. Seterusnya, dalam perlawanan kedua yang penting untuk menentukan juara kumpulan, Malaysia menumbangkan Korea Selatan yang juga juara bertahan edisi 2013, dengan keputusan 2-1. Perlawanan terakhir tidak memberi masalah dengan Speedy Tigers menang mudah 7-1.


------------------------------

SUPER 4's

Jika mengikut mana-mana format pertandingan lain, dua pasukan teratas kumpulan akan terus layak ke separuh akhir. Namun format kejohanan ini berbeza. Dua pasukan teratas dalam dua kumpulan yang ada akan bersaing lagi dalam kumpulan yang dipanggil Super 4's dengan format round robin (semua pasukan akan bertemu sekali). India dan Pakistan dari kumpulan A serta Malaysia dan Korea Selatan dari kumpulan B. Juara dan naib juara kumpulan akan ke perlawanan akhir merebut Piala Asia. 

Perlawanan pertama, Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk menang tipis 3-2 ke atas Pakistan. Kemenangan ini sangat penting dengan mengambil kira keputusan perlawanan seterusnya. Perlawanan ini sangat sengit sehingga seorang pemain Malaysia patah empat batang gigi kerana disiku pemain Pakistan. India dan Korea Selatan terikat 1-1 dalam perlawanan lain.

Mungkin kerana terlalu keletihan dengan jadual, pasukan Malaysia dibelasah dalam perlawanan kedua, tewas 2-6 kepada India. Korea Selatan gagal menewaskan Pakistan, dengan kedudukan terikat 1-1. 

Memasuki perlawanan terakhir, India sudah pasti ke final. Malaysia perlu sekurang-kurangnya seri dengan Korea Selatan untuk melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam sejarah. Korea Selatan lebih tertekan. Selain menggalas bebanan harapan selaku juara bertahan Piala Asia, mereka juga masih gagal layak ke Piala Dunia 2018. Satu-satunya cara untuk mereka layak mewakili benua Asia adalah dengan menjadi juara, tiada cara lain. Tekanan besar untuk ditanggung!

Semalam memang penuh getir. Perlawanan yang sepatutnya bermula jam 5 petang waktu Malaysia terpaksa ditangguhkan ke jam 10 malam kerana hujan lebat di Bangladesh. Kemudian, perlawanan ditangguh lagi ke jam 11.30 malam waktu Malaysia. Lebih 6 jam lewat berbanding jadual asal. Tekanan di bahu pemain kedua-dua pasukan tidak tertanggung lagi.

Korea Selatan mendahului Malaysia awal menerusi pukulan sudut penalti tunggal mereka yang disempurnakan dengan cemerlang. Malaysia pula gagal menyudahkan pukulan sudut penalti yang dimiliki. Kedudukan 1-0 memihak Korea Selatan kekal sehingga tamat tiga suku masa, dan juga sehingga hujung masa permainan di suku keempat. 

Jurulatih negara, Stephen Van Huizen membuat keputusan berani dengan mengambil risiko besar untuk mengeluarkan penjaga gol, S. Kumar, kerana Malaysia memerlukan satu gol untuk seri. Pemain Korea Selatan selesa bertahan kerana mereka mesti menang untuk mara ke perlawanan akhir dan menghidupkan peluang ke Piala Dunia. Pada dua minit terakhir, Malaysia bermain 'power play' tanpa penjaga gol. 

Akhirnya, pukulan sudut penalti kedua yang dicari-cari tiba juga. Debaran bagi peminat Malaysia kerana ini satu-satunya peluang untuk menjaringkan gol bagi keputusan seri. Pakar pukulan sudut penalti, Faizal Saari, menjadi wira apabila pukulannya terbias penjaga gol sebelum menyentuh jaring untuk menghantar Malaysia ke final. Hanya dua minit memisahkan Korea Selatan, dan hanya satu gol yang dimahukan Malaysia. Tuah berpihak kepada Malaysia. 

------------------------------

Ketika skuad bola sepak Harimau Malaysia masih belum bangkit dari tidur mereka yang panjang, skuad hoki negara Speedy Tigers terus mengharumkan nama Malaysia di peta dunia. Negara-negara gergasi hoki dunia kini menghantar pemain mereka untuk menimba ilmu di liga hoki Malaysia. 

Malaysia sudah layak secara merit ke Piala Dunia 2018, dan di Bangladesh malam ini, mungkin melakar sejarah menjuarai Piala Asia buat kali pertama sebagai penanda aras baru sukan hoki di Malaysia. Tahniah Stephen Van Huizen dan anak-anak buahnya. Siapa tahu kita bisa? 

Kita masih bermimpi. Dream on!

Keyboard off.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif