Saturday, October 7, 2017

Orang Asing

Assalamualaikum.

Filem: The Foreigner
Rating IMDb: 7.6
Rating peribadi: 8.5
*Strictly no kids allowed. Rated 18

**spoiler alert**



Filem yang sederhana: tidak terlalu ringan dan tak pula terlalu berat. Sedang-sedang saja. Plot yang kompleks tapi disusun dengan baik. Garapan yang kemas dan mudah difahami. Setiap situasi diterangkan dengan jelas. Penonton tidak perlu memerah otak seperti menonton filem Blade Runner. Durasi filem ini 111 minit.

Ringkasnya, filem ini secara linear berkisar tentang perjalanan seorang ayah yang mahu menebus kematian anak perempuannya di awal cerita. Anak Quan Ngoc Minh terbunuh kerana letupan bom di tempat awam. Quan melakukan segala yang termampu olehnya dengan kudrat lelaki tua berusia 61 tahun. Filem ini penuh aksi seperti filem-filem Jackie Chan yang tipikal.

LIAM HENNESSY (Pierce Brosnan)
Watak Timbalan Menteri di Ireland Utara yang mempunyai sejarah silam yang hitam kelam membuatkan dia terlibat dalam masalah besar di garis masa sekarang. Semasa mudanya, Liam pernah melakukan kesilapan termasuklah membiarkan kematian adik iparnya (adik isterinya, Mary) tidak terbalas. Liam juga curang apabila melakukan hubungan sulit dengan Maggie a.k.a Sara McKay. Liam diburu oleh Quan yang mahukan nama pengebom anaknya.

QUAN NGOC MINH (Jackie Chan)
Veteran perang yang terlatih. Quan hanya ada seorang saja anak yang tinggal selepas dua orang anaknya mati dibunuh lanun Thailand. Isterinya pula mati semasa melahirkan anak bongsunya, Fan. Quan bagaikan hilang segala-galanya selepas kematian Fan dalam pengeboman oleh pengganas dari Ireland Utara yang menuntut pembersihan penempatan haram di negara mereka. 

Quan meninggalkan perniagaan restorannya kepada rakan niaganya, Lam, yang sangat prihatin dan mengambil berat akan Quan. Namun kesungguhan Quan untuk membalas dendam kematian anaknya tidak mampu disekat apa pun. Quan secara solo memburu Liam yang cuba melarikan diri. Quan mendesak Liam memberikan nama pengebom yang membunuh anaknya.

SEAN 
Liam memanggil anak saudaranya ini untuk membantunya. Liam sangat percaya dengan Sean untuk membawa mesej kepada Komander Bromley dari pasukan khas SO15. Sean terlatih sebagai seorang renjer. Selepas pengeboman di London, pasukan pengganas itu memberikan kod rahsia dari parti politik Liam di Ireland Utara. Liam menukar kod tersebut untuk memerangkap pasukan pengganas.

Malangnya, rancangan Liam ini terbongkar apabila Sean rupanya mengadakan hubungan sulit dengan Mary (isteri Liam). Liam tahu penglibatan Sean kerana hanya dia dan Sean yang tahu rancangan ini. Sean tidak berniat untuk mengkhianati Liam tetapi dia tidak tahu dendam Mary terhadap Liam.

------------------------------

Persoalan:
1. Kasih sayang ayah kepada anaknya sehingga menjadikan dia hilang kewarasan.
2. Akibat dendam yang menghancurkan.

Bagi peminat filem aksi, filem 'The Foreigner' ini penuh aksi letupan. Juga padat dengan aksi pertarungan yang dimenangi Jackie Chan. Sangat Chan-esque. Siri letupan dilakukan oleh Quan yang mahir selok-belok hutan untuk memberi amaran kepada Liam. Quan menyangka Liam tahu siapa yang terlibat sedangkan hakikatnya Liam benar-benar tidak tahu dalang pengeboman tersebut.

Filem ini berakhir dengan kemenangan buat Quan yang membunuh pengebom anaknya dengan tangan sendiri. Walaupun pasukan SO15 yang dikerah oleh Komander Bromley berada di kawasan penjenayah, Quan bertindak lebih pantas. Misi balas dendam Quan selesai dan dia kembali kepada Lam yang sangat menyayangi Quan.

Pengakhiran yang indah untuk kisah yang tragis.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif