Welcome To My Life...

Sunday, October 15, 2017

Tombiruo Pahlawan Rimba

!!Assalamualaikum.

Dia bukan legenda, dia wujud di alam nyata.

Tombiruo bermakna roh/hantu dalam bahasa Kadazan-Dusun. Memetik pengenalan dari novel Tombiruo (karya Ramlee Awang Murshid), "Suku kaum Murut memanggilnya Alingu, kaum Bajau memanggilnya Mangat, suku kaum Brunai memanggilnya Ranggau, manakalah orang-orang Cina memanggilnya Kui"

TOMBIRUO
Rating penulis: 9/10

AMARAN!!
Spoiler
Spoiler
Spoiler






---------------------------------

Ini adalah plot filem.

KELAHIRAN 'TOMBIRUO'
Permulaan cerita, seorang 'bobolian' (wanita) menyampaikan kisah bagaimana pada satu masa yang lampau, dia telah menyambut kelahiran raja rimba (bukan singa). Sangat dramatik teknik penyampaian dari pengarah dan pasukan produksi filem dengan kelahiran Tombiruo digambarkan di dalam hujan di satu pondok jauh di dalam hutan. 

Wanita muda yang melahirkan Tombiruo sebenarnya menjadi mangsa rogol bapanya sendiri. Lelaki durjana itu mahu membunuh anaknya dan bayi dalam kandungan itu untuk menghapuskan bukti kejahatannya. Namun, 'Tombiruo' diselamatkan oleh 'bobolian' yang membunuh lelaki durjana itu. 

'Bobolian' telah menghanyutkan Tombiruo di dalam perahu untuk mengelakkan kekejaman dunia luar dari menghukum Tombiruo yang lahirnya tak berwajah manusia!

TOMBIRUO MENJADI DEWASA
Ala Tarzan, Tombiruo/Ejim dibesarkan di dalam hutan oleh seorang bekas askar (lakonan Faizal Hussein). Tombiruo dipersiapkan untuk menjadi penunggu rimba. Hutan belantara adalah padang permainannya. Tombiruo bukan roh/hantu tapi dialah 'semangat' hutan. Ayah angkatnya melatih Tombiruo dengan kemahiran berlawan untuk menghadapi musuh dalam mempertahankan hutan belantara dari pemusnah.

KEMATIAN TUAN BERHAM
Kisah selari dalam novel RAM. Tuan Berham selaku pemilik syarikat Anak Bumi menolak projek pembinaan empangan di Sabah yang sepatutnya boleh menguntungkan syarikatnya. Tuan Berham simpati dengan nasib penduduk kampung yang perlu dipindahkan jika projek itu diteruskan. Wartawan, Wan Suraya, turut terlibat dalam kisah ketiga yang juga selari.

Sewaktu mengejar para penjahat yang membakar kampung sehingga menyebabkan kematian ayah angkatnya (Faizal Hussein), Tombiruo telah menyebabkan berlaku kemalangan kepada kenderaan yang dinaiki oleh Tuan Berham. Dalam kejadian ini, Tuan Berham telah meninggal dunia bersama anak perempuannya, Salina. Suami Salina, Amiruddin (Farid Kamil) yang tiba di tempat kejadian ternampak makhluk bertopeng (Tombiruo) sedang menyepak Juslan (lakonan Hasnol Rahmat). Amiruddin menyangka Tombiruo seekor makhluk yang jahat.

PEMBURUAN
Bermulalah kisah pemburuan dalam filem adaptasi ini. Wong, ketua sekuriti syarikat Alam Bumi yang cedera semasa menyerang penduduk kampung kerana diserang Tombiruo, kini memburu makhluk mistik itu. Sesiapa yang mengganggu kerja jahatnya mesti dicantas dan hati Wong cukup 'kering' untuk melakukan itu. Amiruddin pula memburu Tombiruo kerana menyangka Tombiruo telah menyebabkan kematian isteri dan ayah mertuanya.

WAN SURAYA MERUNGKAI MISTERI
Wan Suraya meragui Wong dan meminta rakannya untuk menyiasat latar belakang ketua sekuriti tersebut. Maklumat yang diterimanya: Wong mendapat bayaran komisyen yang sangat banyak, selain gaji biasanya. Semasa majlis di rumah arwah Tuan Berham, Wan Suraya mengugut untuk membocorkan rahsia Wong dan mengekori Wong ke belakang rumah. Wong menemui 'seseorang'.

Kehadiran Wan Suraya berjaya dikesan dan Wong mengejar. Amiruddin terlihat kelibat Wan Suraya sedang berlari dan dia bergegas mencari. Tombiruo menyelamatkan Wan Suraya dari dibunuh dan membawa Wan Suraya ke pondoknya. Ketika ini, Wan Suraya ingin melihat wajah Tombiruo di sebalik topeng tetapi dia terkejut melihat Tombiruo tidak berwajah manusia.

PERTEMPURAN KEMBAR (babak terbaik)
Ketika Amiruddin menjejak tempat tinggal Tombiruo, hutan telah berbahasa dan Monsiroi (bobolian) yang menyambut kelahiran Tombiruo menyatakan dia telah tahu 'hari ini akan tiba'. Hari dua beradik kembar yang pernah berkongsi rahim, akan beradu kekuatan tanpa mereka tahu mereka bersaudara.

Inilah babak terbaik kegemaran penulis! Masih terbayang saat Monsiroi mengeluarkan uri Tombiruo dari simpanannya. Ketika ini, Amiruddin sudah sampai di pondok Ejim/Tombiruo dan mula bertarung dengan penjaga rimba itu. Monsiroi di pondoknya dengan penuh syahdu dan berharap telah menyeru 'semangat cinta' Tobugi (ibu Ejim) yang mati semasa melahirkan. Monsiroi menyeru Tobugi dari alam kematian untuk menghentikan persengketaan Amiruddin dan Ejim yang sebenarnya ialah kembar yang berkongsi uri yang sama!

Babak kelahiran di awal filem tadi diulang semula. Satu lagi bayi (Amiruddin) yang berwajah manusia telah dihantar ke rumah anak yatim, dan Ejim dihanyutkan. Hutan menyampaikan khabar ini kepada Amiruddin dan Ejim yang sedang bertempur. Amiruddin juga menyedari Ejim mempunyai tanda lahir yang sama dengannya di lengan. Amiruddin masih menyalahkan Ejim yang menghalau Amiruddin dari tempat tinggalnya.

PENUTUP
Wong tiba bersama Juslan yang sebenarnya antagonis dan mengkhianati Tuan Berham (abangnya sendiri). Mereka telah mendapat koordinat pondok Ejim yang dikirim oleh Amiruddin sebelum dia diserang Ejim. Wong dan kuncu-kuncunya cuba membakar pondok Ejim dan memaksa Ejim menyerang mereka. Kemudian, mereka cuba mengejar Ejim tetapi Ejim dibantu oleh Amiruddin.

Amiruddin menyerang Juslan selepas mengetahui Juslan yang membunuh ayah mertuanya kerana tamakkan harta. Juslan berang dengan sikap Tuan Berham yang menyebelahi penduduk pedalaman dan menolak projek pembinaan empangan yang akan menguntungkan syarikat Anak Bumi.

Kemenangan akhirnya memihak Ejim. Happy ending. Amiruddin mengajak Ejim untuk keluar tetapi Ejim menolak kerana dunia luar bukan untuknya. Amiruddin membawa Wan Suraya pulang. Di akhir cerita, Amiruddin memberitahu anak lelakinya (Amirul) bahawa Amirul mempunyai seorang pak cik di dalam hutan. Siapa?

Dialah TOMBIRUO.

---------------------------

Penutup filem ini adalah segala-galanya yang cuba disampaikan. Cinta menyatukan kita sesama insan. Dendam, dengki, dan tamak hanya memusnahkan. Babak Ejim dan ayah angkatnya berbicara tentang cinta menutup filem ini dengan begitu indah.

Oh, jangan lupa ada 'teaser' filem seterusnya adaptasi dari novel RAM. Tiba-tiba Tombiruo di pondoknya mendapat tinta 'Catatan Laksamana Sunan'.

Filem seterusnya yang nampak menarik:
Thor: Ragnarok (26 Oktober)
Coco (animasi)
Ferdinand (animasi)
Murder on the Orient Express (jenayah)



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif