Welcome To My Life...

Wednesday, September 3, 2014

Formasi

Assalamualaikum.

Dengan pertambahan enam pemain baru, Louis Van Gaal kini pening kepala memikirkan formasi terbaik untuk menggunakan nama-nama baru dengan sebaiknya. Van Gaal juga perlu membuat keputusan besar untuk menyingkirkan pemain dari skuad utama bagi memberi laluan kepada pemain barunya.

Apakah formasi yang mungkin digunakan dan pemain yang akan beraksi (jika semua pemain cergas dan tiada kecederaan)?

----------------

4-4-2 (impian)


Ini hanya barisan bayangan. Hakikatnya, Van Gaal masih berdegil untuk terus menggunakan formasi 3-5-2 yang digunakan semasa membimbing Belanda ke separuh akhir Piala Dunia.

Dalam formasi 4-4-2 ini, semua pemain baru boleh digunakan (jika tiada sesiapa cedera). Rojo boleh beraksi selaku bek tengah dan tak perlu merampas tempat Shaw yang akan beraksi di posisi bek kiri. Blind dan Herrera akan bergandingan di tengah padang. Di Maria dan Januzaj di bahagian sayap akan memberi sumber gol kepada Falcao ketika Rooney menyokong sedikit di belakang. Formasi ini juga boleh menjadi 4-5-1 (4-2-3-1).

Ini satu-satunya formasi yang memungkinkan Januzaj dalam skuad utama.

Bagi alternatif, Blind atau Rojo boleh menggantikan tempat Shaw. Mata boleh menggantikan tugas Rooney dan Rooney mengambil tempat Januzaj. Robin Van Persie cukup berkaliber untuk berada di tempat Falcao.

--------------------

4-3-3


Dalam formasi 4-3-3, semua penyerang berkelas dunia United dapat beraksi dalam satu pasukan. Tiada perubahan untuk pertahanan dari formasi 4-4-2.

Herrera akan menjadi pemain tengah diapit Blind di kiri dan Di Maria di sebelah kanan. RVP tiada masalah beraksi di sayap kanan untuk membenarkan Falcao menjadi penggempur. Rooney akan menjadi sayap kiri. Pasukan ini juga cukup berbahaya jika serasi bersama dan mendapat persefahaman.

Malangnya, sekali lagi Mata tidak dapat beraksi dalam skuad utama. Sebagai alternatif, Mata boleh beraksi di sayap kiri menggantikan Rooney walaupun peluangnya sangat tipis. Wilson boleh beraksi di tempat Falcao. Dan Januzaj lebih dari mampu jika Blind tidak cergas.

--------------------

3-5-2


Inilah formasi pilihan Van Gaal. Dan jika semua pemain cergas, mungkin ini barisan terbaik yang mampu diletakkan Van Gaal. Tiga pertahanan yang rapuh tetapi akan disokong dua wing-back yang kedua-duanya masih cedera ketika ini. Shaw dan Rafael jauh lebih baik dari Young dan Valencia untuk melindungi benteng.

Blind dan Herrera akan melindungi kubu ketika Di Maria mengambil tempat Mata. Rooney dan Falcao akan menjadi gandingan serangan yang digeruni.

Sebagai alternatif, RVP boleh menggantikan mana-mana penyerang. Mata boleh mengambil tempat Di Maria dan Di Maria menggantikan Blind. Januzaj juga boleh beraksi sebagai alternatif kepada Blind.

---------------------

Apa pun formasi, tiada strategi yang dapat meletakkan Januzaj, Rooney, RVP, Mata, Di Maria, dan Falcao beraksi dalam satu pasukan. Antara mereka perlu ada yang menjadi korban. Memandangkan Rooney adalah kapten United dan Falcao semestinya masuk untuk menjadi penyerang utama, RVP nampaknya perlu memberikan laluan walaupun mempunyai hubungan baik dengan Van Gaal selaku kapten pasukan kebangsaan Belanda.

Begitu juga Mata dan Januzaj yang perlu memberikan laluan kepada Di Maria. Berbanding Mata yang masih belum mencapai tahap prestasi yang diharapkan setimpal nilai perpindahannya dari Chelsea, Januzaj merupakan pemain muda berpotensi yang sewajarnya diberikan pendedahan mencukupi untuk berkembang menjadi Cristiano Ronaldo yang baru.

Permulaan musim baru cukup buruk untuk United dengan hanya dua seri dan satu kekalahan dari tiga perlawanan pertama. Tapi itu hanya menggunakan skuad yang diwarisi dari Moyes. Para pemain baru masih belum beraksi. Shaw dan Herrera cedera. Di Maria hanya beraksi dalam debut menentang Burnley dan mempamer aksi meyakinkan. Rojo masih dalam proses mendapatkan permit bekerja.

Aksi liga berhenti dua minggu untuk memberi laluan kepada aksi antarabangsa dan hanya disambung hujung minggu depan. Satu rahmat bagi United yang senarai kecederaan melebihi 10 orang pemain termasuk Rafael dan para pemain baru. Dengan Blind dan Falcao kini dalam senarai untuk dipilih oleh Van Gaal, dan apabila semua para pemain yang cedera kembali cergas, dan Rojo telah mendapat permit, United pasti kembali mencabar.

United  boleh menang kesemua lima perlawanan sebelum bertemu Chelsea dan Manchester City dalam dua perlawanan berturut-turut pada hujung bulan Oktober. Apabila semua pemain cergas selepas rehat dua minggu, United mempunyai skuad yang cukup mantap untuk memenangi 15 mata untuk memulihkan moral dan semangat mereka. Jika menang mengatasi Chelsea dan City, United akan kembali dalam perebutan kejuaraan liga.

Dan apabila bertemu Liverpool pada bulan Disember nanti, para pemain baru United pasti sudah menemui persefahaman dan keserasian untuk mengatasi musuh tradisi.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif