Welcome To My Life...

Wednesday, September 3, 2014

Syaitan Merah Baru

Assalamualaikum.

Kelab bola sepak Manchester United berbelanja besar dalam jendela perpindahan kali ini untuk mengukuhkan skuad yang rapuh dan tak cukup bagus untuk mencabar kejuaraan liga selepas hanya mendapat tempat ketujuh musim lepas. Dengan faktor Louis Van Gaal, United berjaya mendapatkan enam pemain baru (hanya seorang pinjaman) termasuk dua orang bintang bertaraf dunia yang terbukti antara pemain elit generasi ini. 

Siapakah mereka dan apakah kualiti yang dibawa? Senarai nama di bawah mengikut turutan mereka dibeli.

---------------------------------------

1. ANDER HERRERA
 Posisi: Pemain tengah
Nombor jersi: 21
Umur: 25 tahun
Kelab lama: Athletic Bilbao (Sepanyol)
Tarikh menyertai: 26 Jun

Herrera akan mengemudi jentera tengah United dan menunjukkan potensi dalam perlawanan pra-musim. Herrera kali pertama mencuri tumpuan United apabila mengawal bahagian tengah ketika Bilbao bertemu United. Walaupun mungkin tak setaraf Toni Kroos yang ke Real Madrid dari Bayern Munich, Herrera jauh lebih bagus dari Michael Carrick, Marouane Fellaini, Darren Fletcher, dan Anderson. Prestasi buruk United musim lepas adalah kerana ketiadaan pemain tengah yang berkaliber dan Herrera ialah pemain yang sesuai untuk memperbetul masalah itu.

---------------------------------

2. LUKE SHAW
Posisi: Bek kiri
Nombor jersi: 3
Umur: 19 tahun
Kelab lama: Southampton
Tarikh menyertai:  27 Jun

Shaw adalah masa depan England dan United. Pada usia 18 tahun, Shaw telah menjadi pemain utama Southampton musim lepas. Keupayaan Shaw terbukti dengan mengunci pergerakan Adnan Januzaj ketika bertemu United hujung musim lepas. Belum pun mencecah usia 20 tahun, Shaw berpotensi untuk menjadi bek kiri terhebat dunia jika perkembangannya di bawah bimbingan Van Gaal tidak diganggu kecederaan. Jika bebas kecederaan, Shaw akan menjadi watak utama dalam kejayaan United membina semula empayar.

----------------------------------------

3. MARCOS ROJO
  Posisi: Pertahanan
Nombor jersi: 5
Umur: 24 tahun
Kelab lama: Sporting Lisbon
Tarikh menyertai: 20 Ogos

Nama Rojo tiba-tiba menjadi sebutan apabila beraksi cemerlang dalam kempen Piala Dunia 2014 di Brazil ketika membantu Argentina mara ke final. Lebih hebat dari itu, Rojo juga tersenarai dalam kesebelasan terbaik Piala Dunia. Selepas kehilangan Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, dan Patrice Evra, Rojo akan membantu menguatkan semula benteng yang sangat rapuh. Walaupun tidak sehebat Mats Hummels yang gagal dibeli dari Borussia Dortmund, Rojo boleh beraksi sebagai bek tengah dalam sistem empat pertahanan atau bek kiri dalam sistem tiga pertahanan.

-------------------------------------

4. ANGEL DI MARIA 
 Posisi: Pemain tengah
Nombor jersi: 7
Umur: 26 tahun
Kelab lama: Real Madrid
Tarikh menyertai: 26 Ogos

Di Maria adalah nama besar dalam bola sepak generasi ini. Kehadiran Gareth Bale dan James Rodriguez memaksa Di Maria meninggalkan Real Madrid untuk rasa dihargai. Di Maria mencipta gol paling banyak musim lepas di benua Eropah. United sangat memerlukan pemain berkarisma seperti Di Maria yang boleh beraksi di pelbagai posisi dalam jentera tengah. Di Maria boleh bergandingan dengan Herrera di tengah padang. Atau dia juga boleh beraksi sebagai sayap kanan. Van Gaal boleh menukar sistem ketika dalam permainan kerana Di Maria juga boleh menjadi wing-back dan pemain tengah menyerang. Kualiti Di Maria akan membantu mencipta gol untuk jentera serangan United.
-----------------------------------------

5. DALEY BLIND
  Posisi: Pertahanan/pemain tengah
Nombor jersi: 17
Umur: 24 tahun
Kelab lama: Ajax Amsterdam
Tarikh menyertai: 1 September

Seperti Rojo, Blind juga beraksi cemerlang dalam Piala Dunia 2014 ketika membantu Belanda mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada Argentina dalam penentuan sepakan penalti. Blind seorang pemain yang versatil dan mampu beraksi di beberapa posisi. Blind boleh beraksi sebagai pertahanan dalam sistem 3-5-2, bek kiri, atau pemain tengah bertahan. Van Gaal dijangka akan menggunakan Blind sebagai pemain tengah untuk bergandingan dengan Herrera. Blind membantu Ajax menjuarai Eredivisie musim lepas dan merupakan pemain terbaik bola sepak Belanda yang baru ditabalkan. Kelebihan Blind adalah dia pernah beraksi di bawah bimbingan Van Gaal di Ajax dan juga pasukan kebangsaan Belanda dalam Piala Dunia. Blind sangat memahami permainan taktikal Van Gaal.
--------------------------------------

6. RADAMEL FALCAO
  Posisi: Penyerang
Nombor jersi: 9
Umur: 28 tahun
Kelab: AS Monaco (pinjaman)
Tarikh menyertai: 2 September

Penyerang berkualiti dan antara peledak terbaik dalam generasi ini. Tidak seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi yang turut mencipta gol, Falcao hanya tahu melaksanakan tugas utamanya selaku penggempur: menjaringkan gol. Rekod jaringannya sangat hebat selepas beraksi dalam liga-liga utama Eropah dan tetap hebat. Penyerang prolifik ini sebelum ini beraksi untuk Porto (Portugal), Atletico Madrid (Sepanyol), dan Monaco (Perancis). Falcao ialah peledak yang sudah terbukti dan akan meneruskan statusnya selaku salah seorang penyerang terbaik dunia.

-------------------------------

Keseluruhannya, ranking perpindahan United musim ini:

1. Falcao
2. Di Maria
3. Blind
4. Rojo
5. Shaw
6. Herrera


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif