Welcome To My Life...

Thursday, September 18, 2014

City Menyerah, Brahimi Menyerlah

Assalamualaikum.

Matchday 1 Part 2

Malam tadi berlangsung lapan lagi perlawanan pembukaan, peringkat kumpulan E-G. Persembahan Yacine Brahimi dan Gervinho memukau. Dua lagi kelab England gagal mencatat kemenangan. Dan AS Roma menang selepas kembali beraksi.

Apa nasib pasukan-pasukan lain?

-------------------------

KUMPULAN E

Roma 5-1 CSKA Moscow
Bayern 1-0 Manchester City


AS Roma dibantu aksi hebat Gevinho yang menjaringkan dua gol dan mencipta gol Juan Iturbe. Ledakan kencang Maicon dan gol sendiri Sergei Ignashevich membuatkan gol Ahmed Musa hanya sebagai sagu hati. Jagoan Jerman pula menguasai perlawanan dan hanya aksi cemerlang penjaga gol, Joe Hart, menyelamatkan City dari dimalukan. Namun sepakan lewat Jerome Boateng yang tertampan rakan sepasukan Mario Gotze berjaya melepasi Hart. 

Kedudukan: Roma 3; Bayern 3; City 0; CSKA 0

----------------------------------

KUMPULAN F

Barcelona 1-0 APOEL
Ajax 1-1 PSG

Luis Enrique memulakan kempen Liga Juara-Juara selaku pengurus baru Barca dengan cemerlang untuk meneruskan kempen gemilang La Liga. Jaringan tunggal Gerard Pique hasil sepakan percuma Lionel Messi sudah mencukupi. Lain pula nasib satu lagi pasukan pilihan dalam kumpulan ini. Gergasi Perancis, PSG, diikat tuan rumah, Ajax, dari Belanda. Sepakan percuma Lasse Schone memadamkan jaringan pendahuluan Edinson Cavani.

Kedudukan: Barcelona 3; PSG 1; Ajax 1; APOEL 0

--------------------------------------

KUMPULAN G

Chelsea 1-1 Schalke
Maribor 1-1 Sporting

Jose Mourinho menggunakan kekuatan pemain simpanan yang dimiliki Chelsea dengan merehatkan Diego Costa sebagai persediaan menghadapi Manchester City dalam liga hujung minggu ini. Jaringan Cesc Fabregas tidak mencukupi dan dipadamkan Klaas-Jan Huntelaar. Manakala di Slovenia, tuan rumah berjaya mengikat Sporting Lisbon. Walaupun pasukan pelawat mendominasi permainan dan melakukan 27 percubaan ke arah gol, hanya sepakan Nani dari luar kotak penalti berjaya membolosi gawang Maribor. Dan kesilapan pertahanan lawan lewat permainan dimanfaatkan Luka Zahovic dalam masa kecederaan.

Kedudukan: Schalke 1; Sporting 1; Chelsea 1; Maribor 1

---------------------------------

KUMPULAN H

Porto 6-0 BATE
Athletic 0-0 Shakhtar


Malam tadi milik Yacine Brahimi. Bintang Algeria itu meledak hatrik dalam perlawanan yang didominasi sepenuhnya oleh kelab Portugal. Pelawat dari Belarus hanya mampu mengira gol bolos apabila tiga lagi jaringan oleh Jackson Martinez, Adrian Lopez, dan Vincent Aboubakar menembusi gawang. Sementara itu di Sepanyol, Athletic Bilbao seri tanpa jaringan dengan kelab Ukraine.

Kedudukan: Porto 3; Athletic 1; Shakhtar 1; BATE 0

---------------------------------------- 


Tidak banyak kejutan berlaku kepada pasukan-pasukan besar. Cuma apabila dua pasukan gergasi bertembung, satu mesti tumbang. Dua jaguh England (Arsenal dan City) bukanlah tandingan kelab Jerman (Dortmund dan Bayern). Apa pun, ini baru perlawanan pembukaan. Masih ada lima perlawanan yang perlu diharungi setiap pasukan. Pemenang kumpulan belum ditentukan semalam. Tiada pasukan yang tersingkir lagi.

Perlawanan kedua akan berlangsung pada 30 September dan juga 1 Oktober. Sama-sama kita nantikan.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif