Assalamualaikum.
Selepas terlepas aksi kelab feberet aku minggu lepas kerna aku berada di kampung menyambut hari raya, semalam aku tak melepaskan peluang untuk menyaksikan Manchester United menentang Fulham. Situasi pra-perlawanan agak menggusarkan walaupun aku cuba berfikiran positif. Hakikatnya, Red Devils tumbang di tangan Everton 1-0 dalam perlawanan pembukaan ketika Fulham membenam Norwich 5-0. Fulham diperkuatkan penyerang baru, Mladen Petric, yang sememangnya menggegar dalam persediaan pra-musim.
Bermain di gelanggang sendiri (Old Trafford), Sir Alex Ferguson melakukan kejutan dengan tidak menyenaraikan ayam tambatannya, Wayne Rooney, dalam kesebelasan utama. Sebaliknya, penyerang baru, Robin van Persie dan Shinji Kagawa diberikan home debut. Membelakangi formasi 4-4-2 yang lazimnya menjadi pilihan, Fergie mengukuhkan bahagian tengah untuk mendominasi permainan dengan formasi 4-5-1. RVP menjadi penyerang tunggal. Bangku simpanan Manchester United unggul dibarisi Wayne Rooney, Javier Hernandez, Ryan Giggs, Jonny Evans dan Danny Welbeck.
David De Gea berada di antara dua tiang. Penjaga gol yang mantap, sukar ditewaskan percubaan berbahaya tetapi sering melakukan kesilapan mudah. Barisan pertahanan lemah dengan senarai kecederaan masih tidak berpihak kepada skuad Fergie. Rafael mengambil alih posisi bek kanan daripada Antonio Valencia. Michael Carrick sekali lagi terpaksa bermain di luar posisi dan bergandingan dengan kapten, Nemanja Vidic, di posisi bek tengah. Patrice Evra masih beraksi walaupun Fergie telah membeli Alexander Buttner untuk membantunya di posisi bek kiri.
Kecuali posisi pertahanan, semua posisi lain adalah Dream Team bagi aku. De Gea selaku penjaga gol dan barisan serangan yang sangat menarik. Robin van Persie sebagai penyerang tunggal tidak perlu diperkenalkan lagi. Penjaring terbanyak musim lalu, tidak ada sebab untuk berasa hairan apabila Wayne Rooney diketepikan walaupun dia adalah pemain utama Fergie sejak bertahun lamanya. Barisan tengah dalam formasi 4-2-3-1 ini menarik perhatian aku. Inilah yang aku mahukan, bayangkan, impikan dan akhirnya menjadi realiti. Minggu lepas Shinji bermain di sayap kiri, Nani di sayap kanan, manakala Scholes dan Cleverley mengawal bahagian tengah.
Malam tadi Anderson menggantikan Scholes untuk berpasangan dengan Cleverley di posisi central midfield. Tom Cleverley tidak perlu diragui lagi dengan dilabel bakal pengganti Paul Scholes. Anderson pula sering dikritik kerana kemalasannya. Bagi aku, pilihan Fergie tidak perlu dipertikai kerana beliau adalah pengurus legenda. Anderson memiliki deria penglihatan yang menakjubkan dan hantaran kemas. Ashley Young kembali beraksi di sayap kiri untuk memberikan laluan kepada Shinji Kagawa beraksi di posisi kegemarannya, di hole iaitu kawasan di belakang penyerang tunggal selaku pemain tengah menyerang. Antonio Valencia kembali beraksi di posisi utamanya selepas aksi hambar Nani minggu lalu.
United dikejutkan seawal minit ketiga apabila sepakan percuma Bryan Ruiz dari sayap kiri rendah dan menuju ke titik sepakan penalti disambar pantas oleh Damien Duff tepat ke penjuru bawah sebelah kanan gawang De Gea. Namun, pada minit kesepuluh, Fergie boleh berasa lega dengan pembeliannya. Patrice Evra melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri dan Robin van Persie menunjukkan teknik luar biasa untuk mengapungkan bola ke sebelah kiri pintu gol Mark Schwarzer yang melayang tetapi gagal menepis voli cantik itu. RVP kemudiannya melakukan sepakan sudut yang mencipta gol kedua.
Sepakan sudut RVP dikeluarkan oleh pertahanan tetapi menuju ke arah Tom Cleverley. Rembatan Cleverley ditepis Schwarzer. Malangnya, Kagawa telah menanti untuk melakukan sentuhan mudah ke pintu gol yang terbuka. Pemain Fulham meminta gol dibatalkan kerana ofsaid tetapi ulang tayang menunjukkan Kagawa berada dalam posisi onsaid selepas Sascha Riether lambat menyertai perangkap ofsaid. Kebangkitan United dilengkapkan hantaran silang Ashley Young dari sebelah kiri yang ditanduk kemas oleh Rafael di far post.
Babak pertama berakhir dengan jaringan 3-1 berpihak kepada Manchester United. Skrip babak kedua berbeza dengan Fulham mengukuhkan barisan pertahanan. Malah Fulham mencipta penamat mendebarkan apabila hantaran lintang Briggs dari sebelah kiri menyebabkan bola masuk ke gawang De Gea selepas terkena kaki Nemanja Vidic. De Gea menyalahkan Vidic yang hilang keseimbangan dalam perebutan bola di udara dengan Mladen Petric. De Gea sendiri bersalah kerana keluar dari posisinya dan gagal mendapatkan bola. Red Devils terus bertahan untuk mendapatkan tiga mata penuh.
RVP - Kagawa - Rafael
Kagawa membawa sentuhan kreatif
Cleverley penggerak jentera dinamik
Valencia ancaman tiada henti
Wayne Rooney tercedera malam tadi selepas masuk sebagai pemain gantian. Pehanya koyak selepas terkena but Hugo Rodallega. Tiada apa yang perlu aku bimbangkan dengan Barisan Impian ini. Bisa RVP, sentuhan kreatif Kagawa dan Cleverley, serta ancaman Valencia yang menjadi mimpi ngeri. Jika aksi babak pertama semalam dapat diteruskan, kombinasi serangan ini hanya akan bertambah hebat dengan peredaran masa.
p palang s : Glory glory Man United...
No comments:
Post a Comment