Welcome To My Life...

Monday, July 2, 2012

Lebih Berhak

Assalamualaikum.

Tiki-taka menang bergaya. Defensif hebat sudah berusaha.



Sepanyol menggunakan formasi yang langsung tak berubah daripada pertemuan awal peringkat kumpulan antara kedua-dua pasukan. Vicente Del Bosque  memilih formasi 4-3-3 sekali lagi tanpa penyerang tulen a.k.a 4-6-0. Kembalinya Ignazio Abate di bek kanan membuatkan Cesare Prandelli mengubah taktik mengimbangi bahagian tengah 3-5-2 dalam pertemuan terdahulu kepada 4-4-2 dengan Andrea Pirlo menjadi penghubung antara pertahanan dan bahagian tengah.

 Sepanyol menguasai bola seperti dijangka tetapi Itali berjaya mengasak kubu Sepanyol dan Pirlo berjaya mencuba dari jarak jauh ketika perlawanan baru berusia lebih 60 saat.  Selepas lima minit perlawanan, Sepanyol mendapat sepakan percuma dari jarak 40 meter tetapi dipersiakan Sergio Ramos. Jentera tengah Sepanyol terus beraksi dengan gaya permainan tiki-taka. Sepanyol mula mengasak kubu Itali.

Ketika perlawanan mengampiri detik sepuluh minit pertama, Xavi Hernandez dan Cesc Fabregas bertukar hantaran yang meletakkan Xavi memiliki ruang dan masa betul-betul di luar kotak penalti. Percubaan Xavi meliar. Itali terpaksa bertahan dengan arus serangan Sepanyol yang mendominasi permainan. Akhirnya gawang Itali bocor pada minit ke-13. Xavi melakukan hantaran kepada Andres Iniesta jauh dari kotak penalti Itali. Kelihatan seperti tiada bahaya mengancam.

Seperti biasa dilakukannya ketika bersama Barcelona untuk melepaskan larian Lionel Messi, Iniesta melakukan hantaran-pemecah-benteng selepas melihat larian Fabregas. Larian kencang Fabregas disusuli dengan satu hantaran lintang yang deras tetapi berjaya ditanduk cantik oleh David Silva. Satu hantaran kemas daripada Fabregas. Satu tandukan tajam dengan teknik yang sangat baik oleh Silva. Satu gol yang menarik dan sesuai dengan status perlawanan ini sebagai final Euro 2012.

Itali mendapat sepakan percuma di luar kotak penalti beberapa minit berselang. Tetapi sepakan Pirlo terbias untuk sepakan sudut buat Itali. Sepakan sudut itu berjaya ditepis Casillas. Seminit berlalu, Itali mendapat satu lagi sepakan penjuru. Bersungguh-sungguh Itali cuba membalas jaringan Sepanyol. Sepakan sudut ketiga berjaya ditepis keluar oleh Casillas untuk menyelamatkan gawangnya. Pada minit ke-20, Itali terpaksa melakukan pertukaran pertama kerana Giorgio Chiellini tercedera. Tempatnya di posisi pertahanan digantikan oleh Federico Balzaretti.

Empat minit kemudian, Gerard Pique menerima kad kuning pertama perlawanan selepas mengasari Antonio Cassano. Ketika ini, Sepanyol kelihatan hanya mahu mempertahankan gol tunggal diorang dan mengharapkan serangan balas. Itali mengambil giliran menguasai bola dan cuba meruntuhkan kubu Sepanyol. Pencarian gol penyamaan yang menyeksakan. Sesekali Sepanyol mara melancarkan serangan dan kelihatan lebih mengancam. Dua minit selepas Cassano diterjah, Balzaretti melakukan hantaran silang dari sayap kiri yang cuba mencari Mario Balotelli. Hantarannya tepat tetapi Casillas menyelamatkan bola di udara.

28 minit berlalu. Satu serangan kilat Itali hampir mendapatkan gol yang dicari. Cassano memperdaya pertahanan dalam kotak penalti di sebelah kiri tetapi rembatannya tepat ke arah Casillas. Seminit kemudian, Pirlo mencuba sekali lagi daripada sepakan percuma 45 meter dari pintu gol. Dan sekali lagi Pirlo gagal menemui sasaran. Permainan berterusan dengan penguasaan seimbang. Itali mengatur serangan demi serangan kerana lebih terdesak. Sepanyol lebih selesa mengukuhkan bahagian pertahanan. 

Dua minit selepas detik setengah jam pertama, satu ledakan padu dilepaskan oleh Cassano dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Pirlo. Mujur Casillas rebah untuk menepis. Kemudian, Sepanyol merampas semula penguasaan bola daripada Itali. Selepas membenarkan Itali mendapat ruang bernafas, Sepanyol mula melancarkan serangan demi serangan untuk menggoncang kubu Itali. Dua minit sebelum minit ke-40, Balotelli mendapat ruang di luar kotak penalti Sepanyol dan merembat. Liar ke tempat duduk penonton. Beberapa saat selepas minit ke-40, peluang Itali semakin tipis. 

Sepakan Casillas dari kotak penaltinya ditanduk ke arah laluan Xavi yang memecah pertahanan dengan lariannya dari tengah padang. Xavi berjaya menghidu larian pintar bek kiri, Jordi Alba, dan melakukan hantaran seperti Iniesta yang memang menjadi kepakarannya. Sentuhan pertama Alba sempurna dan penyudah Alba seperti seorang penyerang prolifik. Sebagai rekod, itu adalah gol pertama Alba untuk pasukan negara dan Alba memilih Euro 2012 untuk mencipta sejarah hidupnya.

Tiga minit kemudian Itali menggempur lagi. Riccardo Montolivo meledak dari luar kotak penalti dan Casillas menumbuk bola itu keluar. Seminit kemudian, Andrea Barzagli menjatuhkan Iniesta di kawasan Itali dan akur menerima layangan kad kuning. Sepakan percuma untuk Sepanyol. Berpunca daripada sepakan itu, Silva memiliki ruang selesa di luar kotak penalti. Namun rembatan kencangnya tepat ke dakapan Buffon. Wisel penamat babak pertama melegakan Itali.

Itali berjaya mengimbangi penguasaan bola Sepanyol. Bezanya Sepanyol memanfaatkan peluang yang dimiliki ketika Itali mempersiakan peluang diorang. Mungkinkah malam ini milik Sepanyol? Pendahuluan dua gol boleh dikira selesa. Apakah keajaiban yang masih tersisa dalam tutur bicara pembakar semangat Cesare Prandelli dalam bilik persalinan Itali? Semakin banyak persoalan tentang keajaiban. Mission impossible. Misi mustahil untuk bangkit. Unit defensif Itali yang utuh dirobohkan oleh dua perancang kreatif terbaik dunia. Haruskah Itali akur dan tunduk menyerah?

Casillas beraksi cemerlang sepanjang babak pertama mengawal gawang Sepanyol. Pemain Itali melancarkan beberapa serangan dan Casillas berjaya menyelamatkan Sepanyol beberapa kali. Buffon pula tak bernasib baik kerana kualiti serangan Sepanyol terlalu tinggi untuk disekat. Buffon mencuba sedaya upaya dan tidak boleh dipersalahkan untuk kedua-dua gol. Penjaga gol terbaik dunia bukannya kebal. Apabila serangan bermutu menggugat, gawangnya tetap bocor.

Prandelli menggantikan Cassano dengan Antonio Di Natale sebelum separuh masa kedua bermula. Seminit saja selepas wisel permulaan dibunyikan, Di Natale menanduk untuk menguji Casillas selepas menerima hantaran silang Abate. Sedikit saja tinggi melepasi palang gol. Dua minit berselang, berpunca daripada sepakan percuma di sayap kanan, Sepanyol menuntut sepakan penalti selepas tandukan Ramos dikatakan terkena tangan Leonardo Bonucci. Dua minit menyusul dan Balotelli pula meminta sepakan penalti selepas dijatuhkan ketika berlari masuk dari sayap kiri.

Serangan Itali menyusul dan Di Natale terlepas peluang keemasan ketika melepasi perangkap ofsaid dan hanya berdepan Casillas. Dia gagal, mungkin terkejut kerna berada dalam posisi onsaid. Sekali lagi Casillas menjadi penyelamat Sepanyol. Kapten yang menunjukkan teladan. Lima minit kemudian, Pirlo melakukan hantaran lambung cantik melepasi benteng pertahanan Sepanyol. Di Natale gagal menyambut dengan kemas. Thiago Motta menggantikan Montolivo untuk pertukaran terakhir Itali.

Selepas siri serangan Itali, Sepanyol melakukan pertukaran pemain. David Silva keluar dan digantikan oleh Pedro Rodriguez. Thiago Motta hanya sempat beraksi beberapa minit sebelum terjatuh ketika mengejar bola dan memegang pahanya. Motta mengalami kecederaaan hamstring. Prandelli sudah melakukan pertukaran pemain maksimum. Jika Motta gagal meneruskan permainan, Itali terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain. Semakin sukar untuk melakukan kebangkitan dramatik. Hanya keajaiban mampu merampas trofi daripada Sepanyol. Ya, hanya keajaiban.

Selepas Motta terpaksa dikeluarkan, Sepanyol kembali mendominasi perlawanan. Itali terpaksa lebih bertahan ketika diorang terdesak mencari gol untuk melakukan kebangkitan. Pertukaran kedua Sepanyol dilakukan 15 minit sebelum masa sebenar permainan tamat. Vicente Del Bosque mengeluarkan Fabregas dan menggantikannya dengan Fernando Torres. Tujuh minit sebelum masa permainan sebenar tamat, pertukaran itu membuahkan hasil. Pemain Itali cuai melepaskan bola kepada Iniesta dalam kawasan sendiri. Hantaran Iniesta tepat kepada Torres yang tenang mengatasi Buffon untuk Sepanyol selesa mendahului 3-0. Game over!

Dua minit kemudian, Juan Mata diberikan peluang untuk menikmati saat-saat akhir permainan. Iniesta dikeluarkan selepas dua assists berkualiti daripada sorang perancang yang kreatif. Hantarannya begitu tenang dan tepat untuk Torres memusnahkan harapan kebangkitan Itali. Dan Mata tidak perlu menanti lama. Kurang 60 saat, Mata meledak. Kali ni Torres berlari dalam posisi onsaid dan menolak bola ke tengah kotak penalti dari sebelah kiri, melepasi Buffon yang cuba menghalangnya. Hantaran licik yang mudah disudahkan Mata ke gawang ternganga luas. Gandingan dua orang pemain gantian. Pertukaran bijak daripada genius taktikal, Del Bosque. Kedua-duanya pemain Chelsea. Kombinasi yang begitu mantap.

Pada minit terakhir masa kecederaan, Torres menyerang dari sebelah kiri dan menolak bola ke tengah untuk Ramos melakukan back-heel. Perlahan dan mudah dibaca oleh Buffon. Hampir-hampir 5-0. Sebaik wisel penamat dibunyikan, Sepanyol memahat nama dalam lembaran sejarah. Dua hatrik. Hatrik pertama adalah hatrik Euro selepas 1968, 2008 dan 2012. Hatrik kedua adalah hatrik kejuaraan utama dunia selepas Euro 2008 dan Piala Dunia 2012. Hatrik kedua merupakan rekod dunia. Sepanyol merupakan pasukan pertama memenangi tiga kejohanan utama dunia berturut-turut. Generasi terhebat bola sepak Sepanyol bertakhta lagi.

Pasukan ini boleh dikatakan yang terbaik dalam sejarah dunia. Penguasaan bola yang menjadi falsafah sehingga menyukarkan lawan untuk menyerang. Itali berjaya mengimbangi permainan Sepanyol dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya. Hanya Casillas menyebabkan keputusan 4-0 seperti Sepanyol terlalu hebat. Sepanyol mendominasi 52% permainan. Sepanyol melakukan 14 percubaan berbalas 11. Sepanyol juga menang dengan 9 percubaan tepat berbalas 6. Perlawanan nyata seimbang. Tetapi hantaran-pemecah-benteng berkelas dunia daripada Xavi dan Iniesta, dua perancang terbaik generasi ini melenyapkan harapan Itali.

Sejarah demi sejarah dicipta generasi emas Sepanyol ini. Persoalan yang terus berputar di minda, rekod mana lagi yang akan dipecahkan? Berapa lama diorang akan terus bertahan? Dan pasukan manakah yang akan menamatkan zaman kegemilangan diorang? Semuanya terus menjadi tanda tanya ketika Sepanyol meraikan malam bersejarah.












p palang s : Benci...


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif