Welcome To My Life...

Friday, May 13, 2016

Dua Belas Lelaki Marah

Assalamualaikum.

Tajuk sedikit panjang. Terjemahan secara terus dari tajuk sebuah filem yang dah lama aku tahu tapi tak pernah sempat nak tengok. Baru-baru ni aku sempatkan jua tonton filem tersebut kerana ada diskusi tentang etika dalam posting Family Medicine nanti. Filem bertajuk '12 Angry Men' (1957). Aku dah pernah maklum tentang filem ni kerana rating IMDB yang tinggi (8.9) dari lebih 400,000 undi. 

Selepas menonton, aku kira filem ini sangat hebat dan aku bagi rating 9.5/10. Filem hitam putih berdurasi satu jam tiga puluh minit. Apa yang menarik tentang filem ini adalah kisahnya hanya berkisar di sebuah bilik. Secara ringkas, filem ini mengisahkan 12 orang juri awam yang perlu membuat keputusan sama ada tertuduh dalam kes jenayah bersalah atau tidak. 

Selain berpusat di satu bilik, filem ini juga hebat kerana perkembangan plotnya sangat kemas dan bergerak cantik. Bermula dari seorang juri yang mahu berbincang lebih lanjut tentang kes jenayah yang sudah dibicarakan, akhirnya membawa kepada keputusan sebulat suara. Bukan mudah untuk meyakinkan 11 orang lain secara solo, tapi itulah yang berjaya dilakukan watak utama.

Berikut adalah plot filem 'Dua Belas Lelaki Marah'. Aku sertakan posisi setiap watak di meja diskusi.

-------------------------------


Kisah bermula dengan dua belas orang juri awam memasuki sebuah bilik untuk bermesyuarat memutuskan sama ada mereka ingin menyabitkan tertuduh dalam kes jenayah yang dibicarakan di mahkamah itu bersalah atau tidak. Jika dihukum bersalah, tertuduh akan menerima hukuman mati di kerusi elektrik. Bukan peraturan majoriti digunakan, sebaliknya keputusan mereka perlu sebulat suara (atau undian 12-0). Juri A menjadi ketua dan melakukan undian untuk melihat pandangan semua juri. Sangkaan mereka bahawa mereka semua sependapat meleset apabila juri H mengundi tertuduh 'tidak bersalah'. Alasannya, kerna tak mudah untuk menghukum mati seorang remaja (tertuduh) di kerusi elektrik. Dia merasakan perlunya perbincangan yang lebih dalam. Ini menimbulkan rasa tidak senang beberapa orang lelaki lain.

Juri H membawa persoalan senjata pembunuhan (pisau) yang dikatakan 'jarang dilihat' oleh juri lain, tetapi berjaya dibeli oleh juri H berdekatan dengan kawasan kejadian. Selepas gagal meyakinkan majoriti yang lain, juri H meminta undian rahsia bertulis tanpa melibatkan dirinya. Jika ada antara 11 orang yang lain mengundi 'tidak bersalah', mereka akan berbincang lebih lanjut. Andai kata semua 11 juri sebulat suara mengundi tertuduh 'bersalah', dia tak mahu memanjangkan perkara dan bersetuju dengan keputusan mereka. Juri I mengubah undian yang menjadikan keputusan 10-2 memihak keputusan 'bersalah'.

Persoalan berikutnya diutarakan juri H mengenai dakwaan saksi (seorang wanita tua) yang tinggal di seberang jalan dari rumah kejadian bunuh tersebut. Saksi mendakwa dia melihat dengan jelas tertuduh menikam bapanya. Juri H cuba meyakinkan juri lain bahawa perkara itu tak masuk akal dengan kereta api bergerak melintasi jalan antara rumah saksi dengan rumah tertuduh. Tempoh masa dalam keterangan saksi boleh diragui. Juri H menambah lagi, frasa 'aku akan bunuh kau' mungkin tidak membawa maksud kerana ianya biasa disebut apabila marah. Selepas dua persoalan ini, satu lagi undian dilakukan dan keputusan menjadi 9-3 dengan juri E pula mengundi 'tidak bersalah'.

Juri K bangkit dan membaca notanya tentang satu perkara yang menghairankan. Keterangan kes menyatakan tertuduh kembali semula ke rumah pada pukul tiga pagi selepas membunuh bapanya jam 12 tengah malam. Walaupun juri lain mengatakan tertuduh mungkin cuba menghapuskan bukti senjata pembunuhan, juri K yakin ada keraguan dalam perbicaraan tersebut dan undian seterusnya menyaksikan keputusan berubah menjadi 8-4. Persoalan berikutnya mengenai tempoh masa dalam keterangan saksi lain (lelaki tua di tingkat bawah rumah tertuduh). Saksi menyatakan dia bergerak pantas ke pintu depan selepas mendengar pergelutan di tingkat atas, untuk sempat melihat tertuduh berlari menuruni tangga ke luar rumah dalam masa 15 saat.

Juri H mempersoalkan keterangan itu kerana lelaki tua tersebut pernah mengalami strok, dan pergerakannya perlahan lagi terbatas. Masa paling pantas dalam 'lakonan semula' kejadian adalah 43 saat. Persoalan ini meyakinkan juri B dan juri F untuk mengubah undian mereka kepada 'tidak bersalah' kerana adanya keraguan munasabah. Kini undian terikat 6-6. Juri H kemudiannya menguji ingatan juri D tentang peristiwa hidupnya beberapa hari lepas kerana juri D mempersoalkan kegagalan tertuduh mengingati nama wayang yang ditontonnya semasa kejadian bunuh berlaku (alibi untuk membuktikan tertuduh tak bersalah). Juri H membuktikan juri D gagal mengingati walaupun tiada tekanan emosi seperti tertuduh yang disoal oleh penyiasat di depan mayat bapanya. Juri D teguh dengan pendiriannya: tertuduh seharusnya ingat walaupun emosi tertekan.

Juri B tiba-tiba membangkitkan persoalan tentang kesan tikaman pisau yang mustahil dilakukan oleh tertuduh yang rendah tujuh inci berbanding bapanya. Juri C menunjukkan demonstrasi bagaimana kesan tikaman itu dapat dilakukan oleh seseorang yang lebih rendah dari mangsa. Namun juri E yang biasa melihat pergaduhan menggunakan pisau menyatakan seseorang yang berpengalaman menggunakan pisau tak akan membuang masa untuk menikam dari sudut atas sebaliknya akan menikam terus dari bawah. Tertuduh dikatakan sangat cekap bermain pisau. Juri G yang bosan dan tak sabar mengubah undiannya tanpa sebab. Ini menimbulkan kemarahan juri C dan juri K. Juri K mahu juri G membuat undian berdasarkan fakta, dan mengatakan tertuduh 'tidak bersalah' hanya jika dia benar-benar yakin. Selepas didesak, juri G mengaku dia mulai ragu bahawa tertuduh benar-benar membunuh bapanya sendiri.

Keraguan yang ditimbulkan sudah cukup munasabah untuk mengubah undian juri L dan juri A kepada 'tidak bersalah'. Kedudukan 9-3 memihak 'tidak bersalah'. Juri J mengamuk kerana baginya, remaja seperti itu sama saja. Remaja yang membesar di rumah anak yatim akan membunuh tanpa ihsan. Nada tinggi yang digunakan juri J sangat tidak menyenangkan, lalu satu demi satu juri bangun dari meja dan membelakangkan juri J. Juri J terasa lalu mengasingkan diri ke satu meja di penjuru bilik. Perbincangan diteruskan. Juri D memberi pandangannya tentang keterangan saksi wanita tua itu masih lagi bukti kukuh untuk menghukum tertuduh. Juri L mengubah semula undian kepada 'bersalah'. Kedudukan tidak rasmi 8-4.

Juri I tiba-tiba menyedari persamaan kesan di hidung juri D dengan saksi wanita tua yang memberi keterangan. Kedua-dua mereka ada tanda lekuk kerana memakai cermin mata. Saksi wanita itu cuba menyembunyikan hakikat dia sebenarnya rabun. Juri H pantas mempersoalkan keterangan saksi kerana penglihatannya meragukan. Keraguan ini sangat munasabah untuk meyakinkan juri D dan juri J serta juri L (yang menukar undi lagi) menyokong tertuduh 'tidak bersalah'. Keputusan 11-1. Juri C mengamuk dan bertegas dengan pendiriannya untuk mengundi 'bersalah'.

Akhirnya, menyedari dia bersendirian dan pendiriannya hanya berpaksikan rasa dendam kepada anaknya yang derhaka, juri C mengundi 'tidak bersalah' dalam tangisan. Keputusan sebulat suara 12-0 dicapai dan para juri mula berlalu keluar meneruskan kehidupan masing-masing yang tidak berkait antara satu sama lain.

--------------------------------------

Satu lagi keunikan filem ini: nama watak tidak disebut sehinggalah detik-detik terakhir apabila juri I (McCardle) menegur juri H (Davis) di luar mahkamah apabila mereka sudah mencapai kata sepakat, dan bertukar nama masing-masing. Nama-nama watak lain tidak pernah diberitahu. Malah nama tertuduh dan saksi juga tak disebut dengan hanya kata ganti nama digunakan.

Satu persoalan pokok filem ini adalah sifat prejudis yang membuatkan juri J menyamakan semua remaja yang membesar di rumah anak yatim sebagai sama liar dan bermasalah. Nilai prejudis ini mengganggu pertimbangan juri J yang menghukum lebih awal walaupun ada keraguan pada fakta kes. Begitu juga persoalan tentang juri C yang dipengaruhi hal peribadi (dendam kepada anak) yang menyebabkan dia cuba memastikan tertuduh dihukum mati. Persoalan pokok tentang juri G pula yang tidak serius dan 'bermain' dengan nyawa tertuduh kerana mementingkan diri sendiri.

Begitu banyak persoalan yang padat dalam filem berdurasi satu jam setengah ini. Susunan plot sangat mantap. Tabik spring kepada penulis skrip, pengarah, dan para pelakon yang hebat.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif