Tuesday, May 17, 2016

Piala Thomas/Uber 2016: Hari Ketiga

Assalamualaikum.

17 Mei 2016, hari ketiga, peringkat kumpulan.

Dua belas lagi perlawanan berlangsung. Masih enam untuk Piala Thomas, dan enam untuk Piala Uber. Skuad lelaki dan wanita negara turun beraksi. Skuad lelaki bermain perlawanan ketiga, dan skuad wanita membuat penampilan kedua. Perlawanan ketiga peringkat kumpulan juga bermakna dua pasukan terkuat dalam setiap kumpulan berentap untuk menjadi pemenang.

Berikut adalah senarai lengkap keputusan.

----------------------------------------

PIALA THOMAS

Kumpulan B
INDIA 2-3 HONG KONG
INDONESIA 4-1 THAILAND

Kumpulan C
KOREA 2-3 MALAYSIA
Son Wan-Ho vs Lee Chong Wei [18-21, 15-21] (49 minit)
Lee Yong-Dae/Yoo Yeon-Seong vs Goh V Shem/Koo Kien Keat [21-16, 21-11] (40 minit)
Lee Dong-Keun vs Iskandar Zulkarnain [17-21, 15-21] (48 minit)
Kim Gi-Jung/Kim Sa-Rang vs Tan Boon Heong/Tan Wee Kiong [21-14, 24-22] (38 minit)
Jeon Hyeok-Jin vs Chong Wei Feng [16-21, 16-21] (48 minit)
ENGLAND 4-1 JERMAN

Kumpulan D
DENMARK 5-0 NEW ZEALAND
TAIWAN 5-0 AFRIKA SELATAN

--------------------------------

PIALA UBER

Kumpulan A
DENMARK 3-2 MALAYSIA
Line Kjaersfeldt vs Tee Jing Yi [21-11, 21-11] (33 minit)
Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl vs Amelia Anscelly/Woon Khe Wei [21-16, 21-17] (47 minit)
Mette Poulsen vs Goh Jin Wei [18-21, 13-21] (47 minit)
Maiken Fruergaard/Sara Thygesen vs Goh Liu Ying/Vivian Hoo [18-21, 24-22, 12-21] (1 jam 14 minit)
Anna Thea Madsen vs Ho Yen Mei [22-24, 21-13, 21-13] (57 minit)
CHINA 5-0 SEPANYOL

Kumpulan C
BULGARIA 2-3 HONG KONG
THAILAND 3-2 INDONESIA

Kumpulan D
INDIA 5-0 JERMAN
JEPUN 5-0 AUSTRALIA

------------------------------------------------

Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara memasuki perlawanan kelima menentang lawan masing-masing dengan kedudukan terikat, tetapi nasib mereka berbeza. Kekalahan pasukan wanita bermakna mereka tidak layak ke pusingan suku akhir Piala Uber, dan kemenangan pasukan lelaki menjadikan mereka pemenang kumpulan dan mengelak bertemu China di pusingan suku akhir.

Skuad lelaki mendahului 1-0 dan kemudian 2-1, tetapi Korea menyamakan kedudukan dua kali. Akhirnya, ketiga-tiga perseorangan negara mencatat kemenangan dan kedua-dua beregu tumbang. Chong Wei tenang menghadiahkan mata pertama seperti yang diharapkan. Pasangan bidan terjun, V Shem dan Kien Keat gagal menangani ketangkasan pasangan Korea. Iskandar Zulkarnain kembali meletakkan Malaysia di depan dengan menewaskan Lee Dong-Keun yang telah mengalahkannya dalam dua perlawanan terakhir, sebelum kekalahan Boon Heong dan Wee Kiong mengikat kedudukan sekali lagi. Wei Feng memastikan Malaysia menjuarai Kumpulan C apabila dia memenangi perlawanan terakhir. Strategi memecahkan gandingan beregu hampir memakan diri.

Skuad wanita pula ketinggalan 2-0, dan bangkit mengikat keputusan 2-2. Tee Jing Yi tewas mudah dalam perlawanan pembukaan. Beregu pertama memberi tentangan tetapi kalah juga. Pemain remaja, Jin Wei, mengurangkan defisit sebelum kemenangan beregu kedua, Liu Ying dan Vivian Hoo, menjadikan  keputusan terikat. Bebanan harapan yang diletakkan di bahu Ho Yen Mei untuk memberikan mata kemenangan terlalu berat untuk ditanggung. Walaupun memenangi set pertama, Yen Mei keletihan dan tewas dua set berikutnya. Skuad Piala Uber begitu hampir mengalahkan Denmark dan melangkah ke suku akhir.

Skuad lelaki negara akan berdepan naib juara kumpulan lain. Kemungkinan Jepun, Thailand, atau Taiwan. Peluang untuk layak ke separuh akhir semakin cerah. Lupakan seketika cabaran yang menanti. Nikmatilah kejayaan hari ini. Malaysia boleh!




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif