Welcome To My Life...

Saturday, May 14, 2016

Selamat Berjuang Malaysia

Assalamualaikum.

Skuad badminton lelaki dan wanita Malaysia akan beraksi di pentas berprestij Piala Thomas dan Piala Uber 2016 di Kunshan (China) bermula esok (15 Mei). Kedua-dua kejohanan ini merupakan piala keagungan bagi pertandingan badminton berpasukan. Piala Thomas 2016 merupakan edisi ke-29, manakala Piala Uber 2016 merupakan edisi ke-26.


Kali terakhir beraksi di New Delhi (India) pada tahun 2014, skuad badminton lelaki negara kecundang di final dalam misi mengulangi kejayaan skuad 1992 selepas menanti 22 tahun. Selepas memenangi kumpulan C yang turut melibatkan Korea Selatan, Malaysia menumbangkan Denmark 3-1 dalam pusingan suku akhir, dan mengatasi Indonesia 3-0 dalam perlawanan separuh akhir.

Membawa selaut harapan rakyat Malaysia dalam perlawanan akhir, skuad Piala Thomas negara tewas 3-2 kepada Jepun yang muncul juara buat kali pertama dalam sejarah badminton mereka dan menjadi hanya juara keempat dalam sejarah pertandingan Piala Thomas. Skuad Piala Uber 2014 Malaysia pula terkandas di peringkat kumpulan Z.

Berikut adalah senarai lengkap barisan pemain skuad Malaysia yang akan mewakili negara dalam Piala Thomas dan Piala Uber tahun ini, serta jadual perlawanan peringkat kumpulan. Aku susun senarai pemain mengikut ranking dunia terkini.

-----------------------------------------

SKUAD PIALA THOMAS

Lee Chong Wei (33 tahun) [single, ranking 2]
Iskandar Zulkarnain (24 tahun) [single, ranking 36]
Goh Soon Huat (25 tahun) [single, ranking 57]
Chong Wei Feng (28 tahun) [single, ranking 67]
Goh V Shem (26 tahun) [double, ranking 14]
Tan Wee Kiong (26 tahun) [double, ranking 14]
Koo Kien Keat (30 tahun) [double, ranking 17]
Tan Boon Heong (28 tahun) [double, ranking 17]
Ong Yew Sin (21 tahun) [double, ranking 101]
Teo Ee Yi (23 tahun) [double, ranking 101]
*purata umur 26.4 tahun

Jadual Kumpulan C:
15 Mei -- Malaysia vs England
16 Mei -- Malaysia vs Jerman
17 Mei -- Malaysia vs Korea Selatan

---------------------------------------------------

SKUAD PIALA UBER

Goh Liu Ying (26 tahun) [tiada ranking]
Tee Jing Yi (25 tahun) [single, ranking 29]
Goh Jin Wei (16 tahun) [single, ranking 55]
Ho Yen Mei (20 tahun) [single, ranking 80]
Sonia Cheah (22 tahun) [single, ranking 415]
Vivian Hoo (26 tahun) [double, ranking 21]
Woon Khe Wei (27 tahun) [double, ranking 21]
Amelia Anscelly (28 tahun) [double, ranking 35]
Lee Meng Yean (22 tahun) [double, ranking 67]
Chow Mei Kuan (21 tahun) [double, ranking 93]
*purata umur 23.3 tahun

Jadual Kumpulan A:
15 Mei --  Malaysia vs China
17 Mei -- Malaysia vs Denmark
18 Mei -- Malaysia vs Sepanyol

-----------------------------------------

Peluang skuad Piala Thomas di atas kertas untuk melepasi peringkat kumpulan adalah sangat cerah. England dan Jerman sepatutnya tidak memberikan masalah kepada skuad negara. Jika berjaya menewaskan Korea Selatan, mereka akan melangkah ke pusingan suku akhir sebagai pemenang kumpulan.

Peluang skuad Piala Uber pula sangat tipis di atas kertas. China adalah gergasi dalam acara berpasukan wanita badminton, selaku penyandang juara dan juga juara 13 kali Piala Uber. Denmark tewas kepada Jepun di pusingan suku akhir edisi 2014. Sepanyol tidak beraksi dalam edisi lepas. Hanya dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan ke pusingan suku akhir dan Malaysia berdepan cabaran sukar.

Apa pun, tiada perkara yang mustahil dengan keazaman dan kesungguhan. Keajaiban adalah sebahagian dari kehidupan. Ramalan di atas kertas tiada makna apabila pertandingan bermula. Aksi pemain di gelanggang menjadi penentu sama ada kisah dongeng akan menjadi nyata. Misi skuad Piala Thomas untuk menamatkan penantian 24 tahun dan misi skuad Piala Uber untuk memenangi pertandingan buat kali pertama kini bermula.

Selamat berjuang skuad badminton Malaysia!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif