Welcome To My Life...

Tuesday, May 24, 2016

Pasca Piala Thomas: Misi 26

Assalamualaikum.

Piala Thomas edisi 2016 baru saja berakhir Ahad lepas. Misi baru untuk edisi 2018 telah bermula. Misi untuk menamatkan kemarau 26 tahun menjulang Piala Thomas.


Ketika kamera close-up ke muka Lee Chong Wei, situasi itu sangat sayu walaupun riak wajahnya nampak tenang cuba menyembunyikan kekecewaan. Sejak menyertai pasukan negara, LCW telah memberikan persembahan cemerlang dan dalam edisi kali ini, menyumbang satu mata yang sangat pasti. Piala Thomas yang sangat dekat di pandangan mata, tetapi sangat jauh untuk digapai. Piala keagungan yang masih belum dimiliki, dan LCW harus terus menanti.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia meminta LCW menunda persaraan kerana mengharapkan kudrat LCW sebagai perseorangan ketiga nanti. LCW memberi keyakinan setiap kali pertandingan Piala Thomas kerana sumbangan mata penting selaku perseorangan utama. Namun, usianya sudah menjangkau 34 tahun dalam Piala Thomas seterusnya. Pemain muda lain perlu menggalas tugas perseorangan pertama dan kedua, membiarkan LCW beraksi sebagai pemain penentu seperti Hans-Kristian Vittinghus menjadi senjata Denmark tahun ini.

Inilah reviu gergasi-gergasi badminton dunia untuk edisi kali ini. Di mana Malaysia?

-----------------------------------------

DENMARK (Final - juara)
Kunci kejayaan Denmark adalah tiga perseorangan utama yang mantap, dan perseorangan simpanan yang boleh diharap. Viktor Axelsen (ranking keempat dunia), Jan O Jorgensen (ranking kelima), dan Hans-Kristian Vittinghus (ranking ke-13) menjadi senjata pemusnah ketika beregu mereka juga menyumbang mata apabila diperlukan. Walaupun tewas kedua-dua beregu dalam aksi final, kemenangan tiga perseorangan membantu Denmark muncul juara. Hanya perseorangan China (ranking 1, 3, dan 6) dapat menewaskan Denmark jika bertemu.

Peluang Denmark untuk mempertahankan kejuaraan dua tahun lagi masih cerah kerana kesemua perseorangan ini mungkin masih beraksi. Axelsen yang baru berusia 22 tahun mungkin akan menjadi pemain yang lebih baik. Denmark boleh mengharapkan pasangan beregu yang sedia ada, atau kemunculan pelapis baru.

INDONESIA (Final - naib juara)
Selain Tommy Sugiarto (perseorangan utama) yang berusia 27 tahun, tiga lagi perseorangan (Jonatan Christie, Anthony Ginting, dan Ihsan Maulana) berusia kurang 20 tahun. Begitu juga pasangan beregu kedua mereka (Angga Pratama dan Ricky Karanda) yang menyumbang mata penting. Pencapaian mereka layak ke perlawanan akhir wajar dipuji kerana menewaskan Korea (yang telah menumbangkan China).

Jika para pemain perseorangan yang muda dan mentah ini dapat digilap menjadi pemain hebat seperti Taufik Hidayat, Indonesia akan mencabar kejuaraan sekali lagi dalam masa dua tahun. Indonesia terkenal dengan pasangan beregu yang handal. Kalau mereka mampu mencari permata dalam acara perseorangan, Indonesia akan terus kekal sebagai pemenang terbanyak dalam sejarah Piala Thomas.

MALAYSIA (semi final)
Sungguh tidak bernasib baik bagi pasukan yang mempunyai Lee Chong Wei selaku kapten dan perseorangan pertama kerana tidak mempunyai barisan yang lebih kemas di belakangnya. Tidak ada satu perlawanan selepas perseorangan pertama yang benar-benar meyakinkan. Iskandar Zulkarnain dan Chong Wei Feng menyumbang mata penting ketika menentang Korea untuk memenangi kumpulan. Iskandar sekali lagi dan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong membantu menewaskan Taiwan. Walaupun Goh V Shem/Tan Wee Kiong memenangi beregu pertama selepas LCW menang, akhirnya Malaysia akur kepada Denmark.

Ini mungkin penampilan terakhir untuk LCW, Chong Wei Feng, Koo Kien Keat, dan Tan Boon Heong. Zaman mereka sudah berakhir. Malaysia memerlukan generasi pelapis yang mampu menggalas misi besar dua tahun lagi. Pembentukan generasi ini perlu bermula sekarang.

KOREA SELATAN (semi final)
Secara tradisi, Korea sangat kuat dalam acara beregu tetapi sedikit kurang dalam acara perseorangan. Tiada beza dalam edisi 2016. Tiga beregu Korea berada di ranking pertama, keempat, dan keenam dunia. Malangnya, hanya ada dua perlawanan beregu dalam format Piala Thomas. Malang juga kedua-dua beregu Korea tewas ketika menentang Indonesia.

Ketiga-tiga beregu ini mungkin masih beraksi dua tahun akan datang. Mungkin juga pemain pelapis akan meneruskan dominasi Korea dalam acara beregu. Persoalannya, mampukah Korea mencari perseorangan yang mampu diharapkan? Barisan yang ada ketika ini tidak cukup kuat untuk memenangi acara berpasukan.

CHINA (suku akhir)
Malang sekali bagi tuan rumah kerana tersungkur awal. China memiliki kekuatan unggul dalam bahagian perseorangan dengan tiga pemain di ranking pertama, ketiga, dan keenam dunia. Jika menentang Indonesia di separuh akhir, dan Denmark di final, sudah tentu China akan muncul juara (menolak kemungkinan satu perseorangan tewas). Tewasnya Chen Long dan dua beregu ketika menentang Korea menguburkan cabaran China untuk edisi kedua berturut-turut.  

China mempunyai barisan pelapis yang cukup mantap untuk edisi 2018, sama ada Lin Dan akan bersama mereka lagi atau tidak. Jika China dapat mencari gandingan beregu yang mampu menandingi Korea Selatan dan Indonesia, peluang mereka tidak dapat disangkal lagi.

----------------------------------------

Korea Selatan mengalahkan China. Indonesia menewaskan Korea Selatan. Inilah rantaian penting yang membolehkan Denmark muncul juara. Jika dibandingkan kekuatan perseorangan China dan Denmark, sudah pasti Tembok Besar China tidak dapat diruntuhkan. Satu-satunya cara Korea dapat mengatasi China adalah dengan memenangi kedua-dua beregu. Begitu juga Indonesia membenam Korea dengan mendominasi kedua-dua beregu.

Denmark tewas kedua-dua beregu ketika menentang Indonesia, tetapi tiga perseorangan yang dimiliki jauh lebih kuat berbanding armada Garuda. Itulah kunci kejayaan Denmark.

Denmark, Korea, China, dan Indonesia akan bersaing sekali lagi merebut kejuaraan edisi 2018. Mampukah Malaysia menyertai persaingan ini? Jawapannya ya, jika dan hanya jika Malaysia mampu mencari barisan pelapis yang dapat menggegar dunia.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif