Welcome To My Life...

Saturday, May 14, 2016

Piala Thomas: Misi 24

Assalamualaikum.

Misi menamatkan kemarau 24 tahun bermula esok.
 

Piala Thomas yang akan dilangsungkan di wilayah Kunshan di negara China dari 15 hingga 22 Mei Piala Thomas 2016 adalah edisi ke-29 sejak kali pertama dipertandingkan pada tahun 1949. 16 pasukan akan berentap merebut piala keagungan acara berpasukan dalam sukan badminton. Tahun ini, benua Asia diwakili 9 negara, empat wakil Eropah dan masing-masing satu wakil untuk benua Amerika, Oceania, dan Afrika.

Jepun adalah juara bertahan selepas menewaskan Malaysia 3-2 dalam perlawanan akhir edisi 2014. Berikut adalah senarai pasukan dalam setiap kumpulan (ranking pilihan dalam kurungan), jadual serta analisis ringkas.

-----------------------------------

KUMPULAN A
China (1)
Jepun (5)
Perancis (13)
Mexico (14)

Malang bagi Perancis dan Mexico kerana berdepan dua pasukan Asia dalam kumpulan yang sama. China dan Jepun sudah hampir pasti layak ke pusingan seterusnya berdasarkan kekuatan di atas kertas. China dengan tiga perseorangan utama dalam top 10 ranking dunia dan dua beregu dalam top 5 ranking dunia. Penyandang juara, Jepun, tidak mempunyai kekuatan yang sama seperti dua tahun lalu dengan ketiadaan Kento Momota.

------------------------------------

KUMPULAN B
Indonesia (4)
India (7)
Hong Kong (9)
Thailand (10)

Indonesia mempunyai kekuatan di atas kertas untuk memenangi kumpulan ini. Tiga lagi pasukan akan berebut untuk mengiringi Indonesia. Aku kira Hong Kong mungkin sekadar pelengkap kumpulan untuk memberikan cabaran, kerana India mempunyai peluang lebih cerah untuk mara.

--------------------------------

KUMPULAN C
Korea Selatan (3)
Malaysia (6)
England (11)
Jerman (12)

Korea Selatan dan Malaysia dijangka mudah melangkah ke pusingan suku akhir. England dan Jerman tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk menyaingi dua pasukan gergasi badminton Asia dan dunia. Korea Selatan secara teori boleh memenangi kumpulan dengan kekuatan dalam acara beregu. Ketiga-tiga pasangan beregu mereka dalam top 10 ranking dunia.

-----------------------------

KUMPULAN D
Denmark (2)
Taiwan (8)
Afrika Selatan (15)
New Zealand (16)

Sukar bagi wakil Afrika dan juga wakil Oceania untuk memberikan walau sedikit saingan kepada juara Eropah dan juga wakil Asia. Denmark sudah sekian lama menjadi antara gergasi dalam dunia badminton. Denmark merupakan pilihan untuk memenangi kumpulan. Taiwan pula cukup kuat untuk mengiringi Denmark.

------------------------------

Tuan rumah, China, adalah pilihan utama untuk muncul juara kali ini diikuti Denmark, Korea Selatan, dan Indonesia. Analisis pilihan ini berdasarkan ranking dunia pada 3 Mac 2016. Malaysia merupakan pilihan keenam di atas kertas. 

Peringkat kumpulan akan berlangsung pada 15-18 Mei, dan pusingan suku akhir pada 19 Mei. Peringkat separuh akhir pula pada 20 Mei dan perlawanan akhir Piala Thomas pada 22 Mei (Ahad).

Sama ada pasukan Malaysia mampu menamatkan kemarau Piala Thomas sejak kejayaan di Kuala Lumpur 1992, semuanya akan terjawab apabila pertandingan bermula. Perkembangan pasukan negara akan aku kemas kini.

Malaysia boleh! Majulah badminton untuk negara.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif