Welcome To My Life...

Saturday, May 7, 2016

Gila

Assalamualaikum.

Amaran: entri bola sepak!

Gila. Memang gila. Tak terfikir dek akal. Tapi selalunya perkara yang mustahil itu bisa menjadi nyata. Kerna mustahil itu sifat manusia, bukan sifat Pencipta. Siapa sangka angan-angan bertukar realiti. Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2015/2016 bukan dari kalangan gergasi. Dari musim ke musim sejak EPL diperkenalkan awal era 90-an, hanya lima kelab berjaya memenangi liga iaitu Arsenal, Manchester United, Chelsea, Manchester City, dan Blackburn Rovers. 

Tahun ini, tradisi itu dipecahkan. Kejayaan Leicester City mengejutkan dunia bola sepak. Awal minggu ini, Tottenham Hotspurs di tangga kedua perlu menewaskan Chelsea untuk menghidupkan peluang memaksa perebutan kejuaraan ke dua perlawanan terakhir. Malangnya, Spurs hanya mampu seri 2-2 sekaligus mengesahkan trofi Liga Perdana Inggeris menjadi milik Leicester City yang seri 1-1 dengan Manchester United dalam perlawanan lebih awal. Perbezaan tujuh mata antara Leicester dan Spurs tidak mampu dikejar lagi kerana Spurs hanya mempunyai baki dua perlawanan dengan maksima enam mata sekalipun Leicester tewas atau tidak beraksi dalam dua perlawanan terakhir.


Awal musim ini, nama-nama gergasi disebut-sebut bakal bertakhta di puncak liga. Chelsea selaku penyandang juara, Arsenal dan Manchester City adalah pilihan utama. Tidak ada siapa meramalkan Leicester akan menjadi pencabar kerana mereka hanya berada di kelompok pertengahan liga musim lalu. Kejayaan Leicester musim ini dibantu dengan kegagalan kelab-kelab gergasi untuk menyaingi konsistensi Leicester sepanjang musim. 

Perkara menarik untuk dibincangkan: Leicester City tidak ada bajet seperti kelab-kelab gergasi lain untuk menarik bintang-bintang ternama dan nama-nama besar dalam dunia bola sepak. Kejayaan Leicester dengan bajet yang terhad membuktikan kerja keras dan kesungguhan serta semangat sepasukan akan mengatasi wang dan semua bintang ternama dunia. Manchester City, pasukan yang sarat dengan pemain mahal tak mampu menandingi Leicester, begitu juga Arsenal dan Chelsea. Apakah ramuan Leicester menjadi juara?

--------------------------------------

Claudio Ranieri. Pakar taktikal di sebalik kisah dongeng Leicester. Seorang pengurus berusia 64 tahun yang mengubah pasukan dari berada di kelompok pertengahan kepada pemenang liga dengan pasukan yang tidak ternama. Nama Ranieri akan sentiasa dikenang peminat Leicester dan kekal dalam lembaran sejarah.

Kasper Schmeichel. Penjaga gawang yang boleh diharap. Selama ini, aksinya dibayangi nama besar ayahnya, Peter Schmeichel, legenda penjaga gol Manchester United. Akhirnya, Kasper berjaya mengikut jejak ayahnya selaku pemenang liga. Dalam 15 daripada 36 perlawanan, gawang Kasper tidak dibolosi.

Wes Morgan. Tonggak pertahanan Leicester yang membina kubu kukuh bersama Robert Huth, Danny Simpson dan Christian Fuchs sepanjang musim. Tidak ada antara mereka merupakan pertahanan terkenal sebelum ini. 15 kali tembok Leicester kebal dan gagal ditembusi.

Riyad Mahrez. Arkitek utama kejuaraan liga untuk Leicester. Watak yang sangat penting dengan menjaringkan 17 gol dan 11 bantuan gol, satu persembahan cemerlang untuk pemain tengah. Konsistensi Mahrez sepanjang musim membantu kelab kecil ini menggapai impian mustahil.

Jamie Vardy. Penjaring terbanyak Leicester dengan 22 gol. Selain jaringannya, Vardy membantu 8 lagi gol. Vardy juga telah memecahkan rekod jaringan gol dalam perlawanan berturut-turut. Ayam tambatan ini sentiasa boleh diharap dan menjaringkan gol penting apabila Leicester menang tipis.

---------------------------------

 "Attack wins you game, defense wins you title." Itulah kata-kata keramat Alex Ferguson (bekas pengurus Manchester United). Tepat sekali. Barisan serangan yang efektif dan barisan pertahanan yang utuh merupakan kunci kejayaan Leicester. Gandingan mantap Schmeichel dan kubu pertahanan serta pasangan serangan kembar berbisa Mahrez-Vardy menghadiahkan senyuman termanis di wajah para peminat. 

Satu yang pasti, musim depan Leicester City akan bertanding di pentas berprestij Liga Juara-Juara Eropah selaku juara bertahan Liga Perdana Inggeris dengan slot automatik. Namun, satu perkara yang belum pasti, aku sangat ragu-ragu Leicester akan mengulangi kejayaan musim ini. Kemungkinan Leicester bersaing untuk top three hanyalah 20% dengan kelab-kelab gergasi akan melaburkan wang untuk menguatkan pasukan.

Itu semua tak penting lagi. Ketika Liverpool hanya berbangga dengan sejarah silam dan Manchester United masih mencari resepi kehebatan pasca era Alex Ferguson, Leicester City mengambil kesempatan atas kelemahan semua kelab lain dengan semangat juang dan kesungguhan walaupun sumber sangat terhad. Mereka selayaknya menjadi juara musim ini dan nama Leicester City akan terus mekar dalam sejarah bola sepak Inggeris.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif