Welcome To My Life...

Sunday, May 8, 2016

Madrid di Milan

Assalamualaikum.

Pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2015/2016 diadakan secara timbal balas. Empat kelab berebut dua tiket ke final yang akan dilangsungkan di Milan, Itali. Dua kelab Sepanyol, satu kelab Jerman, dan satu kelab England beradu kekuatan. Selepas perlawanan pertama yang diadakan pada 26 dan 27 April, Bayern Munich ketinggalan 1-0 selepas tewas di gelanggang Atletico Madrid, manakala Real Madrid dan Manchester City mempunyai peluang sama rata selepas seri tanpa jaringan di England.

Memasuki perlawanan kedua, Bayern ada 90 minit dengan misi mesti menang. Bayern tidak boleh membenarkan Atletico menjaringkan gol yang akan menyukarkan peluang mereka. Manchester City pula perlu menjaringkan gol, sekurang-kurangnya seri di Sepanyol untuk melangkah ke perlawanan akhir. Berikut adalah ringkasan perlawanan kedua pusingan separuh akhir:

----------------------

BAYERN MUNICH 2-1 ATLETICO MADRID (Agg: 2-2)

 Seperti perlawanan pertama, para pemain Bayern Munich mengasak kubu Atletico bertubi-tubi dari sepak mula. Serangan bertali arus dipatahkan benteng yang mantap dengan penjaga gawang, Jan Oblak, cemerlang menafikan peluang demi peluang yang dicipta oleh Bayern. Gol yang dinanti-nantikan akhirnya dijaringkan oleh Xabi Alonso menerusi sepakan percuma yang tertampan pertahanan lawan dan mengelirukan Oblak. Agregat terikat 1-1. Thomas Muller mensia-siakan peuang rerbaik untuk meletakkan Bayern mendahului secara agregat apabila sepakan penaltinya mudah dibaca dan ditepis oleh Oblak. Kegagalan itu memusnahkan peluang Bayern.

Antoine Griezmann meledak di awal separuh masa kedua untuk menyulitkan perjuangan Bayern yang memerlukan kemenangan dengan perbezaan gol kerana Atletico memiliki kelebihan. Robert Lewandowski menanduk masuk gol yang meletakkan Bayern mendahului dalam perlawanan tetapi masih terikat secara agregat. Akhirnya, Bayern memenangi perlawanan 2-1 tetapi kedudukan agregat yang terikat mengizinkan Atletico mara dengan peraturan gol di tempat lawan.

Ini adalah kegagalan kali ketiga berturut-turut Bayern di pusingan separuh akhir, dan Atletico melangkah ke final buat kali kedua dalam tiga tahun. Bayern kecewa lagi.

-----------------------------------

REAL MADRID 1-0 MANCHESTER CITY (Agg: 1-0)

Selepas terikat di Manchester, Real Madrid perlu menafikan peluang Man City menjaringkan gol kerana sebarang jaringan akan menjadi 'gol di tempat lawan' dan Real tidak boleh seri jika itu berlaku. Real mengasak dari awal permainan untuk memburu satu gol berharga. Gol yang diidamkan dijaringkan oleh Gareth Bale apabila hantaran lintangnya menewaskan Joe Hart di gawang.

Manchester City cuba mencari gol penyamaan tetapi gagal dan terpaksa melupakan hasrat beraksi dalam final pentas benua. Kemenangan ini juga mengekalkan rekod bersih 100% Real di tempat sendiri musim ini, dengan menjaringkan 19 gol tanpa dibolosi.

Manchester City tewas pusingan separuh akhir mereka yang pertama, ketika Real Madrid mara ke perlawanan akhir buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun. 

-----------------------------------

28 Mei nanti, dua kelab yang berpusat di ibu kota Sepanyol akan berentap untuk merebut gelaran juara Eropah. Final ini seperti pertembungan setempat (derby) Madrid. Real dan Atletico juga mengulangi final Liga Juara-Juara Eropah musim 2013/2014 yang menyaksikan Real menjuarai benua Eropah buat kali ke-10 (La Decima). 

Atletico yang bertahan habis-habisan menangani gempuran Bayern akan mengharapkan ketangkasan Oblak dan kekuatan tembok pertahanan bagi menangkis jentera serangan Real yang diketuai Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo. Dua kelab Madrid bertembung, hanya satu yang layak dinobatkan juara Eropah.

Real atau Atletico, sama-sama nantikan final di Milan.
 

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif