Welcome To My Life...

Thursday, May 9, 2013

Goodbye Legend


Akhirnya, dia bersara. Seorang lagenda yang begitu hebat dalam memimpin tenteranya.

Aku tak dapat bayangkan untuk melihat tepi padang Old Trafford tanpa kelibat figura berkaca mata yang sering dilihat mengunyah sesuatu. Dialah Alex Ferguson, pengurus Manchester United selama 26 tahun yang mengumumkan akan bersara selepas tamat musim ini.

Aku kira keputusan Ferguson ini bersesuaian dengan kehendak sesiapa saja. Apabila kita berhenti, kita mahu berada di atas. Kita tak mahu bersara dengan memori terakhir adalah kekalahan. Untuk rekod, Ferguson dan tentera Syaitan Merah baru saja memenangi Liga Perdana Inggeris musim 2012/2013.

Mungkin dia gagal untuk mencapai treble ataupun memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga dalam karier pengurusannya. Tapi dia telah mencapai satu sejarah yang luar biasa. Sebelum dia mula mengurus United, Liverpool adalah pendahulu dalam carta jumlah kejuaraan liga dengan 18 gelaran. 

Kemenangan liga musim ini memberikan United kejuaraan liga ke-20 dan kali ke-13 sejak Liga Perdana Inggeris diperkenalkan pada 1992. Pemain veteran, Ryan Giggs, juga memenangi kejuaraan liga ke-13 musim ini kerana bersama Ferguson sejak zaman remajanya. Giggs memenangi kejuaraan liga lebih banyak daripada kelab Arsenal.

Ferguson mungkin memikirkan faktor usia yang semakin bertambah dan dia sudah pasti tidak mahu bersara dengan kekalahan. Kejayaan membawa Robin van Persie menyertai United pada awal musim ini juga mungkin dikira satu kejayaan peribadi.

Aku? Aku pasti rasa janggal musim depan melihat kelibat pengurus baru. Aku membesar dengan melihat Ferguson membentuk Manchester United menjadi salah satu kelab yang terbesar di dunia, seiring nama gergasi Barcelona, AC Milan, Bayern Munich, dan Real Madrid. Aku membesar menyokong Manchester United, kalah atau menang.

Memori yang indah untuk dikenang.

Terima kasih, Alex Ferguson. Selamat bersara dan menikmati usia emas. :')



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif