Welcome To My Life...

Saturday, May 18, 2013

Kisah Laut


Yaaaaa... akhirnya aku nak kongsi jua puisi yang aku dah cipta punya lama. Puisi yang aku cipta ketika mandi di Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor. Seingat aku, waktunya hujung tahun lepas. Aku pulang bercuti bersama keluarga di rumah nenek sebelah ayah. 

Selepas penat bertarung dengan ombak yang tak berapa ganas, main pasir dengan tentera-tentera kecil (sepupu), dan melihat aneka ragam manusia, aku pun mendapat ilham untuk mencipta satu puisi. Memanglah aku tak bawak kertas dan pen untuk mencatat. 

Aku pun hairan, bagaimana aku boleh mengingati semua rangkap yang aku cuma bayangkan. Aku tulis semula secepat mungkin dalam perjalanan pulang dengan menggunakan ruang menaip SMS dan menyimpannya. Telefon bimbit ummi aku jadi mangsa. 

Sebenarnya aku biarkan terperap di bahagian Drafts itu sangat lama. Beberapa bulan kemudian baru aku teringat yakni sebulan lepas. Aku pun salin semula dan hari ni sedia untuk menyampaikan ceritera 'Kisah Laut'. ^_^

Ombak yang menderu
seperti hati bergelora
entah bila 'kan tenang,
jiwa yang berlagu
membawa sejuta cerita
mendamba setulus sayang.

Dalam arus yang deras
ada kisah terungkai
jika kau melihat,
dengan cinta yang ikhlas
bahagia 'kan dituai
luka 'kan terubat.

Begitulah sukma
ibarat butiran pasir
ingin dibelai gelombang,
saat cinta menjelma
ingin kekasih hadir
bila rindu mendatang.

Seperti langit dan laut
tampak bersatu
di hujung mata,
tika hati terpaut
kau dan aku
bersama selamanya.

Rangkap terakhir. Yeah. Kalau kita tengok dari tepi pantai, kita akan lihat nun jauh di hujung mata, langit dan laut bersatu di horizon.

Pasir, pantai, dan ombak mengajar kita sesuatu tentang kasih sayang. Jika, dan hanya jika, kita mahu melihat dengan mata hati.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif