Welcome To My Life...

Thursday, March 19, 2015

Lengkap Lapan

Assalamualaikum.

Telah sempurna


------------------------------

Atletico 1-0 Leverkusen
Agregat: 1-1 (selepas masa tambahan)

Atletico Madrid menjadi tuan rumah kepada wakil Jerman selepas tewas di gelanggang lawan. Satu gol yang diperlukan Atletico untuk mengikat agregat dan mengheret permainan ke masa tambahan dijaringkan oleh Mario Suarez pada separuh masa pertama. Tiada gol ditambah dalam separuh masa kedua, dan dalam aksi masa tambahan selama setengah jam. Sepakan penalti akan memisahkan kedua-dua pasukan secara kejamnya.

Selepas empat sepakan penalti diambil, kedua-dua pasukan terikat 2-2. Antoine Griezmann dan Mario Suarez menyempurnakan sepakan penalti untuk Atletico, manakala Raul Garcia dan Koke gagal. Simon Rolfes dan Gonzalo Castro menjaringkan sepakan masing-masing, tetapi Hakan Calhanoglu dan Omer Toprak gagal. Sepakan Fernando Torres menewaskan penjaga gol Leverkusen dan kegagalan sepakan penalti terakhir Leverkusen oleh Stefan Kiessling menceriakan penyokong tuan rumah.

Monaco 0-2 Arsenal
Agregat: 3-3

Kalah 3-1 di tempat sendiri, Arsenal bertandang ke gelanggang lawan di Perancis dengan misi menjaringkan tiga gol atau pulang tersingkir dari kejuaraan. Jalan yang berliku ini ternyata terlalu sukar untuk ditempuhi oleh barisan pemain Gunners yang mencuba sedaya upaya.

Jaringan Olivier Giroud dalam babak pertama tidak diraikan kerana mereka sedar mereka perlukan dua lagi gol. Jaringan Aaron Ramsey membangkitkan harapan tetapi impian untuk terus mara berkubur sebaik wisel penamat dibunyikan dan Arsenal tersingkir dengan peraturan gol di tempat lawan.

Barcelona 1-0 Manchester City
Agregat: 3-1 

Manchester City bertandang ke Sepanyol dengan misi mesti menang selepas dibolosi dua gol di tempat sendiri. Malangnya, Barca yang diketuai Lionel Messi terlalu sukar untuk ditentang. Hantaran tepat Messi kepada Ivan Rakitic disudahkan dengan baik untuk memaksa City menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol untuk membawa permainan ke masa tambahan.

Malangnya, gawang City terus digempur oleh jentera serangan Barca dan hanya aksi pemain terbaik perlawanan, Joe Hart (penjaga gol City) menyekat Barca dari berpesta gol. Jika bukan kerana kecemerlangan Hart, sudah pasti City teruk dibelasah.

Dortmund 0-3 Juventus
Agregat: 1-5

Tewas di tempat lawan, Dortmund menyambut kehadiran pelawat dari Itali. Namun hasrat untuk melakukan kebangkitan tak kesampaian. Dua jaringan Carlos Tevez dan satu gol dari Alvaro Morata menghancurkan terus harapan tuan rumah. Jurang agregat dilebarkan kepada defisit empat gol dan Dortmund tiada alasan untuk menafikan kelayakan Juventus untuk mara ke pusingan lapan terbaik.

------------------------------------

Senarai lapan pasukan telah lengkap.

Real Madrid (Sepanyol)
FC Porto (Portugal)
 Bayern Munich (Jerman)
Paris Saint-Germain (Perancis)

Atletico Madrid (Sepanyol)
AS Monaco (Perancis)
Barcelona (Sepanyol)
Juventus (Itali)

La Liga akan memiliki wakil terbanyak (tiga) diikuti Ligue 1 (dua) dan masing-masing satu wakil dari Bundesliga, Serie A, dan Primeira Liga. Undian pusingan suku akhir akan berlangsung pada 20 Mac. Tiada lagi peraturan. Gergasi seperti Real, Bayern, dan Barca boleh berentap sesama sendiri.

Jika mahu menjadi juara, pasukan mana pun ditentang mesti ditewaskan untuk mara ke pusingan seterusnya. Itu adat pertandingan.
   



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif