Welcome To My Life...

Saturday, March 21, 2015

Sama Hebat

Assalamualaikum.

Undian pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2014/2015 berlangsung semalam.

Paris Saint-Germain (Perancis) vs FC Barcelona (Sepanyol)
Atletico Madrid (Sepanyol) vs Real Madrid CF (Sepanyol)
FC Porto (Portugal) vs Bayern Munich (Jerman)
AS Monaco (Perancis) vs Juventus (Itali)

Monaco adalah pasukan yang dikira paling lemah antara lapan pasukan terakhir ini. Juventus bertuah untuk diundi menentang pasukan yang tidak mempunyai bintang yang sangat menggerunkan melainkan kekayaan yang setaraf PSG dan Chelsea. Juve yang diketuai Carlos Tevez dan Paul Pogba dijangka mudah melangkah ke separuh akhir seperti mereka membelasah Borussia Dortmund 5-1 dalam pusingan kedua.

Bayern juga mendapat undian mudah antara tiga pasukan pilihan (termasuk Barca dan Real) yang diramalkan akan memenangi kejuaraan musim ini. Porto adalah pasukan berpengalaman dalam kejuaraan ini tetapi Bayern memiliki senjata yang cukup ampuh untuk meranapkan impian pasukan dari Portugal itu. Hanya tuah yang mampu membawa Porto melangkah jauh.

Atletico vs Real, ulangan final musim lepas. Atletico berpeluang membalas dendam kali ini tetapi Atletico sebenarnya sudah menjadi musuh ketat Real sejak perlawanan itu. Atletico sukar ditewaskan dalam beberapa perlawanan kedua-dua pasukan berentap. Diego Simeone (pengurus Atletico) dilihat mempunyai rahsia untuk menghadapi Real Madrid dan pasti gembira untuk berdepan pasukan Carlo Ancelotti dalam dua perlawanan lagi.

Satu lagi pasukan kaya dari Perancis, PSG, akan berdepan Barca dalam satu lagi perlawanan yang dijangka sengit. Namun, PSG akan beraksi tanpa penyerang sensasi mereka, Zlatan Ibrahimovic yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Chelsea. Barcelona pula sedang berada di tahap prestasi terbaik diketuai Lionel Messi yang kini sukar disekat dengan menjaringkan serta mencipta gol-gol Barca. Bisa gandingan Messi bersama Neymar dan Luis Suarez juga cukup untuk menggentarkan mana-mana pasukan.

Selepas analisis, empat pasukan yang aku jangka akan merebut trofi berprestij ini adalah Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich, dan Juventus. Perlawanan pertama akan berlangsung pada 14/15 April diikuti perlawanan kedua pada 21/22 April.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif