Welcome To My Life...

Thursday, August 18, 2011

Dekat Tetapi Jauh


Assalamualaikum...

Seperti yang peminat dunia bola sepak telah pun ketahui, awal pagi semalam sekali lagi raja bola sepak dunia ketika ini berkuasa di atas padang.. kelincahan serta kelicikannya gagal disekat mahupun digugat.. Real Madrid yang berjaya mengikat Barcelona 2-2 di tempat sendiri beberapa hari lalu akhirnya terpaksa akur.. Real menggigit jari selepas kecundang pada minit-minit akhir perlawanan.. beraksi di gelanggang lawan, Real sekali lagi berjaya mengikat Barca 2-2, tetapi kali ini skrip penamatnya tidak sama.. raja bola membuktikan kehebatannya..

Lionel Messi mempamerkan kualiti kebijaksaan yang dimilikinya dengan mencipta gol pertama hasil lorongan yang memecahkan benteng pertahanan.. berlari bersama bola di tengah padang, Messi berjaya menghidu larian pintar Andres Iniesta lalu melorongkan bola di celah barisan pertahanan Real.. Iniesta menyudahkan hantaran Messi dengan sungkitan menarik dengan hanya berdepan Iker Casillas di gawang Real Madrid.. namun Real berjaya menyamakan kedudukan apabila Cristiano Ronaldo - pencabar takhta raja bola - menampan masuk rembatan jarak jauh Karim Benzema dari jarak 8 ela untuk gol penyamaan..

Sebelum babak pertama tamat, Messi sekali menunjukkan belangnya.. hasil satu sepakan sudut, Gerard Pique melakukan backheel yang disambut pantas oleh Messi.. walaupun Casillas meluru untuk menutup ruang, Messi berjaya menyungkit melepasinya untuk sekali lagi mendahului agregat.. tetapi Real Madrid sekali lagi menyamakan kedudukan pada awal babak kedua.. juga hasil satu sepakan sudut.. Karim Benzema memanfaatkan kekalutan di depan gawang Barca dengan melakukan penyudah yang tenang dalam situasi genting.. kedudukan 2-2 di Nou Camp dan 4-4 secara agregat kekal menuju ke penghujung perlawanan dan kelihatannya masa tambahan adalah destinasi kedua-dua pasukan..

Sehinggalah minit terakhir masa sebenar perlawanan.. Messi mempunyai idea berbeza dengan apa yang dijangka oleh para penonton.. Messi menyudahkan hantaran silang Adriano dengan voli kaki kiri yang terlalu deras untuk ditepis Casillas.. sekali lagi Real terpaksa akur untuk tumbang kepada maharaja bola sepak dunia ketika ini.. pencabar terhebat Pele untuk status raja bola sepak sepanjang zaman.. ketiga-tiga gol Barcelona melibatkan kreativiti Messi yang gagal ditandingi.. Real Madrid begitu hampir untuk mengatasi Barcelona dalam pertentangan El Classico.. malangnya, mereka masih terlalu jauh daripada menyempurnakan misi mereka..














p/s : Menanti kejatuhan Barcelona..

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif