Welcome To My Life...

Friday, June 28, 2013

Dream Finale


Awal pagi tadi, Sepanyol terus mara. Generasi emas armada Andalusia membenam Itali untuk mara ke perlawanan akhir Piala Konfederasi 2013. Sekali lagi, badi penentuan sepakan penalti menghantui Gli Azzurri.

Menguasai waktu permainan biasa (90 minit), Itali gagal menterjemahkan dominasi kepada jaringan untuk melangkah ke final. Brazil menanti pemenang perlawanan yang bermula jam 3 pagi waktu Malaysia. Aku memang menantikan perlawanan ini kerna reputasi kedua-dua pasukan yang pernah bertemu dalam final EURO 2012.

Syukurlah sekarang ni cuti. Dapat lar aku tengok. Kalau kat kolej, memang takkan lar. 

Keputusan? 0-0. Tanpa jaringan selepas 120 minit masa permainan. Itali pasti menangisi kegagalan memanfaatkan beberapa peluang terhidang. Pada satu ketika, Sepanyol kelihatan hilang punca. Benteng begitu rapuh, terlalu mudah dibocori. Walaupun menguasai bola, serangan balas Itali mengancam kubu La Furia Roja.

Namun, Sepanyol utuh bertahan. Dalam masa tambahan, Sepanyol menunjukkan sebab mereka menjuarai EURO dan Piala Dunia. Serangan bertali arus di akhir-akhir masa tambahan hampir menumbangkan Itali. Tetapi palang dan ketumpulan penyudah menjadi penghalang.

Penentuan sepakan penalti terpaksa memisahkan. Penyudah yang sentiasa kejam untuk mencari pemenang.

Itali memulakan penentuan selepas lambungan syiling di depan mata kapten. Kedua-duanya merupakan penjaga gol. Iker Casillas bagi Sepanyol dan Gianluigi Buffon untuk Itali. Antonio Candreva menjadi pemain pertama berada di titik yang memerlukan tumpuan dan ketenangan. Penentuan bermula dengan satu sepakan ala Panenka oleh Candreva yang memperdaya Casillas.

Sebelas lagi sepakan turut berjaya. Itali 6-6 Sepanyol. Xavi, Alberto Aquilani, Andres Iniesta, Danielle De Rossi, Gerard Pique, Giovinco, Sergio Ramos, Andrea Pirlo, Juan Mata, Riccardo Montolivo, dan Sergio Busquets. Semuanya terlalu mudah. Bagaikan gawang terbuka dan tiada penjaga gol. 

Leonardo Bonucci bersedia untuk sepakan ke-13. Dan.... sepakannya tinggi melepasi palang gol. Harapan Itali di ambang kehancuran. Masih lagi bukan penjaga gol yang menjadi penyelamat. Bukan jua Casillas, yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan. Jesus Navas mengekalkan ketenangan untuk menyudahkan sepakan penalti yang membawa Sepanyol mara ke final satu lagi kejohanan besar.

Sepanyol vs Brazil. It cannot be bigger than this. Two powerhouses of all time. Brazil dengan kejuaraan Piala Dunia terbanyak dan Sepanyol dengan tiga kejuaraan utama berturut-turut (EURO 2008, Piala Dunia 2010, EURO 2012). Mampukah Brazil kembali gemilang dan menamatkan dominasi armada perang Sepanyol?

Mampukah Brazil di bawah pimpinan Luiz Felipe Scolari mengatasi dominasi bola Sepanyol? Pilihan aku? Brazil. Aku mahu samba Brazil memusnahkan rondo Sepanyol. Maaf ya, penyokong Barcelona dan Sepanyol. Aku tak suka dominasi ala China dalam sukan badminton dan ping pong. Bosan.

Neymar, Paulinho, Oscar dan Fred vs Xavi, Andres Iniesta, Juan Mata, David Silva, dan Fernando Torres. Ramalan aku: Neymar akan terus menunjukkan belangnya. Prestasi Neymar pada hari perlawanan akan menjadi penentu kejayaan Brazil. Brazil 2-1 Sepanyol.

1 Julai 2013, 6 pagi waktu Malaysia. Lepas solat Subuh, kita tengok siapa yang kena. ^_^




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif