Welcome To My Life...

Tuesday, November 22, 2011

2011 Final Heroes

Assalamualaikum..

Inilah kata-kata semangat yang membangkitkan semangat perwira negara :
"They don't respect you, they don't respect our flag, they don't respect our King and they don't respect your parents. If you allow this to happen, then you are cowards. You must teach them what being Malaysian is all about."
-Ong Kim Swee-

Mari kita lihat rebiu aksi para pemain yang beraksi di pentas akhir semalam.. mereka bertarung habis-habisan selama lebih 120 minit dan kedudukan terikat 1-1.. akhirnya menang penentuan sepakan penalti 4-3 untuk muncul juara..

Gold of the gold

1) Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol)
Aksi tangkasnya sangat mengagumkan.. tidak hairanlah dia dijulang selaku wira pujaan para peminat dan digilai wanita.. penjaga gol paling konsisten Malaysia dalam beberapa tahun, kredibilitinya tidak diragui.. memiliki pengalaman yang sangat luas dalam usia yang masih muda.. antara sumbangan pentingnya semalam termasuklah menyekat peluang Titus Bonai menjaringkan gol.. mendakap kemas percubaan jarak jauh lawan dan mengatur barisan pertahanannya dengan sangat baik.. tidak mengecewakan setiap kali khidmatnya diperlukan.. menyentuh bola sepakan penalti Titus Bonai yang tetap menembusi gawangnya tetapi berjaya menepis sepakan penalti kelima Indonesia daripada Ferdinan Sinaga untuk menjadi hero.. tidak dapat berbuat apa-apa dengan jaringan awal Gunawan Dwi Cahyo..

2) Mahali Jasuli (bek kanan)
Pencarian bek kanan yang mantap sejak beberapa tahun akhirnya menemui penghujung dengan kemunculan Mahali.. tidak kenal penat, Mahali sering membantu barisan serangan melalui sebelah kanan.. tetapi dalam final ini, Mahali mempamerkan kekentalannya bertahan menentang kelincahan sayap kiri Indonesia, Oktovianus Maniani.. tidak teragak-agak setiap kali memegang bola, Mahali juga mempersembahkan skil individu yang menarik untuk melepasi kawalan pemain lawan.. pengalaman ternyata mematangkan permainannya.. Mahali begitu tenang dalam sorakan gamat ratusan ribu penyokong lawan dan terbukti ketenangannya sangat penting apabila sepakan penaltinya diambil dengan begitu berani, tinggi ke penjuru atas gawang..

3) Fadhli Shas (bek tengah)
Antara pemain termuda dalam skuad Harimau Muda, Fadhli telah beraksi di peringkat senior sejak berusia 19 tahun.. kematangannya sangat terserlah sepanjang perlawanan.. bertahan begitu hebat dalam hujan serangan bola udara daripada pihak lawan.. safety first, Fadhli tidak mengambil risiko setiap kali diasak jentera serangan Indonesia.. keberanian dalam perjuangannya turut dibuktikan dalam penentuan sepakan penalti.. mengambil sepakan keempat, Fadhli tidak gentar dalam situasi mendebarkan.. seperti juga Mahali Jasuli, Fadhli tenang menyempurnakan tugasnya, mencari sudut atas gawang kawalan Kurnia Meiga..

4) Zubir Azmi (bek tengah)
Mendapat tempatnya dalam final setelah krisis kecederaan melanda bahagian serangan.. di atas kertas, beliau mengambil tempat Muslim Ahmad yang dipindahkan ke posisi pemain tengah.... tetapi di atas padang, beliau bergerak ke posisi bek kiri kerana Asraruddin mengambil alih posisi Muslim.. seorang lagi pemain muda berbakat dari Terengganu, Zubir menampilkan aksi terpuji menentang sayap kanan lincah dan mengelirukan, Titus Bonai kelahiran Papua.. walaupun Tibo beberapa kali mengatasinya untuk memasuki kotak penalti Malaysia, Zubir terlibat dalam beberapa aksi menyelamat.. juga tidak mengambil risiko dalam mengeluarkan bola jauh daripada kawasan berbahaya.. pemain terbaik mengikut ulasan di televisyen.. Zubir pasti berpuas hati dengan penampilannya..

5) Asraruddin Putra Omar (bek kiri)
Bek kiri utama skuad senior ini memiliki pengalaman yang begitu luas.. ternyata kematangannya penting dalam kejayaan skuad 2011.. bek kiri di atas kertas, pemain tengah di atas padang dalam final semalam.. kecederaan Wan Zaharulnizam membawa pemain versatil ini ke posisi sayap kiri.. Asra sebenarnya sering dilihat membina serangan mengiringi Ahmad Fakri Saarani.. selepas terlepas peluang dengan dua tandukan, akhirnya tandukan ketiga Asra tidak mengecewakan.. beliau merebahkan badan dengan bijak untuk menyudahkan hantaran lintang Baddrol Bakhtiar.. bola itu perlahan tetapi bergolek menewaskan Kurnia Meiga.. juga pencabar untuk status pemain terbaik perlawanan..

Syahrul Azwari (18 y-o) & Nazmi Faiz (17 y-o)

6) Irfan Fazail (pemain tengah)
Sepanjang kejohanan, Irfan melepaskan begitu banyak peluang menjaringkan gol.. tetapi tidak dapat dinafikan Irfan merupakan figura penting dalam menjana serangan.. beliau mampu untuk menjaringkan gol seperti terbukti menentang Lebanon dalam kelayakan Sukan Olimpik tetapi tidak begitu bernasib baik dalam Sukan Sea 2011.. dalam perlawanan semalam, satu peluang terhidang kepadanya apabila bola ditanduk pertahanan lawan jatuh ke laluan lariannya tetapi rembatannya tepat ke dakapan Kurnia Meiga buat melegakan penyokong Garuda.. dengan setiap peluang yang ada, Irfan tidak teragak-agak menggerakkan jentera serangan sambil menguasai bahagian tengah..

7) Muslim Ahmad (pemain tengah bertahan)
Gandingan mantapnya bersama Fadhli Shas di benteng ampuh begitu terkenal.. tetapi beliau pernah bermain selaku penyerang dan kelebihan itu meletakkannya sebagai pemain tengah di atas kertas akibat kecederaan Wan Zaharulnizam dan Fandi Othman pula tidak cergas.. namun di pentas final semalam, Muslim berpindah ke barisan pertahanan untuk berpasangan dengan Fadhli, membenarkan Asra mengambil tempatnya di barisan tengah.. Muslim beraksi cemerlang menentang asakan penyerang utama Indonesia kelahiran Papua, Patrich Wanggai sepanjang perlawanan.. beliau menyekat Patrich sehingga penyerang itu gagal menghadirkan sebarang jaringan.. kombinasinya bersama Fadhli dalam saingan peringkat senior membantunya mendapat pengalaman yang dimanfaatkan sepenuhnya..

8) K. Gurusamy (pemain tengah bertahan)
Pada peringkat awal, tempat Gurusamy sering diisi pemain muda, Nazmi Faiz.. tetapi dalam final yang penuh dengan tekanan dan provokasi penyokong lawan, pengalaman adalah kunci yang penting dan pengalaman luas Gurusamy mewakili skuad senior membantunya tersenarai dalam perancangan Ong Kim Swee.. tidak bernasib baik apabila mendapat kad kuning pada awal permainan, tetapi mengekalkan ketenangannya dalam merampas bola selepas itu untuk mengelak dibuang padang.. memainkan peranannya dengan sangat cemerlang, Gurusamy gigih membantu benteng pertahanan menyekat jentera tengah Indonesia diketuai kapten mereka, Egi Melgiansyah.. selepas tugas sempurnanya mengurangkan tenaganya, Nazmi Faiz masuk mengambil alih posisi itu semula..

9) Baddrol Bakhtiar (kapten - pemain tengah menyerang)
Captain Marvels.. pilihan tepat Ong Kim Swee untuk menggalas tugas jeneral padang sepanjang temasya.. menjaringkan beberapa gol penting dalam peringkat kumpulan.. dalam final, kematangan Baddrol membantunya menenangkan barisan pemain negara selepas tersentak dibolosi gol seawal minit kelima.. membantu Malaysia menguasai bola dan mencorak serangan skuad Harimau Muda.. kelincahannya sukar untuk dikekang menyebabkan beliau menjadi mangsa kekasaran pemain lawan.. beberapa kali diterjah dan dikasari, Baddrol terus gagah beraksi.. beliaulah yang melintangkan bola untuk gol penyamaan Malaysia yang ditanduk Asraruddin.. sepakan penalti kelima dan terakhir untuk menentukan kemenangan memang menggerunkan.. Baddrol tampil berani untuk menyudahkan malam indah buat Malaysia walaupun sepakan penaltinya terkena kaki Kurnia Meiga.. bola bergolek masuk membawa keceriaan buat 27 juta rakyat Malaysia.

10) A. Thamil Arasu (penyerang)
Ramai yang mempersoalkan penyenaraian penyerang ini.. tetapi kecederaan melanda Syahrul Azwari dan Izzaq Faris membuatkan Ong Kim Swee tiada pilihan.. tetapi Thamil tidak mengecewakan.. meninggalkan Ahmad Fakri bersendirian di atas disokong oleh Asraruddin, Thamil membantu Mahali di sebelah kanan untuk menghalang Okto.. beberapa kali Thamil berjaya melakukan menyekat gerakan pemain lawan.. walaupun di atas kertas fungsinya adalah penyerang, tetapi khidmat Thamil lebih diperlukan membantu bahagian pertahanan.. dan kerajinannya wajar mendapat pujian..

Happy Tigers!

11) Ahmad Fakri Saarani (penyerang)
Ramai yang kurang gemar dengan penyenaraian Ahmad Fakri.. prestasinya dalam final semalam mungkin menguatkan lagi keraguan para peminat terhadap kemampuan beliau.. beliau sendiri dilihat begitu berazam untuk membuktikan kebolehannya.. dari raut wajah beliau, kelihatan betapa beliau bersungguh-sungguh ingin membuktikan keputusan Ong Kim Swee meletakkannya dalam final penting itu bukan satu kesilapan.. malangnya, semalam bukan hari beliau.. banyak peluang keemasan dilepaskan.. dalam satu serangan balas, Fakri tergelincir semasa cuba menyudahkan lorongan cantik Baddrol Bakhtiar.. melengkapkan hari kurang bertuah beliau, Fakri gagal menyempurnakan bahagiannya dalam penentuan sepakan penalti apabila sepakannya terlalu lemah, mudah untuk diselamatkan Kurnia Meiga.. inilah final yang pasti ingin dilupakannya.. tetapi jangan dilupakan jaringan tunggalnya menewaskan Myanmar 1-0 di semi final membawa Malaysia ke pentas akhir walapun Fakri tetap Fakri..

12) Nazmi Faiz (pemain tengah bertahan)
Baru berusia 17 tahun dan menangguhkan SPM demi berjuang menjulang maruah negara, Nazmi begitu signifikan dalam temasya 2011.. pemain termuda dalam pasukan dengan kecomelan yang menjadi pujaan wanita, kebolehan Nazmi tiada kurangnya.. digelar 'Fabregas Malaysia', hantaran tepat Nazmi dan lorongan cantiknya menjadikan beliau permata baru bola sepak negara yang perlu digilap sebaiknya.. menjelang sepuluh minit terakhir masa sebenar permainan, Nazmi masuk menggantikan Gurusamy di posisi lazimnya, menambah cengkaman di bahagian tengah sambil melakukan hantaran-hantaran tepat untuk jentera serangan.. walaupun masih 'hijau', Nazmi tidak goyah beraksi sehingga tamat masa tambahan..

13) Yong Kuong Yong (penyerang)
Diingati kerana hantaran lintangnya ditanduk masuk Izzaq Faris semasa menentang Kemboja dalam peringkat kumpulan.. hanya tinggal sepuluh minit sebelum masa permainan sebenar berakhir, Yong dimasukkan untuk mengambil tempat A. Thamil Arasu yang keletihan.. maka Yong bertanggungjawab membantu Mahali mengawal kelincahan Okto.. di setiap kesempatan yang ada, Yong tidak melepaskan peluang untuk menyerang dan melakukan hantaran lintang.. beberapa kali Yong menghantar bola ke dalam kotak penalti tetapi tiada pemain Malaysia yang berjaya menyambut..

14) Fandi Othman (sayap kanan)
Tidak disenaraikan dari awal permainan kerana kurang cergas.. karakter penting dalam kemaraan Malaysia dari peringkat kumpulan.. lincah di sayap kanan, Fandi antara pemain negara yang memiliki skil individu paling berkualiti.. dan beliau terlibat dalam pertukaran pemain terakhir yang dipertaruhkan Ong Kim Swee, satu-satunya dilakukan dalam masa tambahan.. kemasukan Fandi menggantikan Asra menambah sengat dalam serangan Malaysia.. kemahiran Fandi beberapa kali mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.. akhirnya, Fandi menyudahkan tugasnya yang pasti dikenang ke akhir hayatnya, menyempurnakan sepakan penalti kedua dalam penentuan sepakan penalti.. tenang dan bersahaja, itulah wira bola sepak negara..


Sing "Negaraku" in peaceful environment

Special Mention
Izzaq Faris Ramlan, penjaring gol kemenangan menewaskan Thailand (cedera).. Syahrul Azwari Ibrahim, penjaring gol tunggal mengalahkan Indonesia (cedera).. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, menyumbat gol keempat Malaysia menentang Kemboja (cedera).. Ong Kim Swee, jurulatih yang membawa skuad Harimau Muda mempertahankan pingat emas tanpa sebarang kekalahan dan dua kali memalukan Indonesia disaksikan ratusan ribu peminat fanatik mereka..

Man of The Match
Khairul Fahmi Che Mat.. jersi nombor satu.. Malaysia menghadapi kemelut mencari penjaga gawang yang konsisten sejak beberapa tahun lepas.. Helmi Eliza Elias, Sharbinee Allawee, Farizal Marlias dan ramai lagi pernah tersenarai dalam skuad senior kendalian K. Rajagobal tetapi Khairul Fahmi menjadi penjaga gol yang paling boleh diharap.. walaupun dibadai kemelut peribadi dan dilanda kontroversi, Khairul Fahmi mempamerkan sikap profesionalnya dengan aksi bermutu tinggi di antara dua tiang.. memimpin barisan pertahanan dengan hebat, aksi tangkasnya menyelamatkan gawang negara menjulang beliau selaku pemain terbaik final semalam.. baru berusia 22 tahun, diharapkan konsistensi Khairul Fahmi Che Mat akan berterusan kerana pengalaman luasnya amat ditagih skuad Harimau Muda dan pasukan senior Harimau Malaya..










p usik s : Generasi emas bola sepak..


6 comments:

sobri yaacob said...

khairi fahmi..

pyelmat malaysia!!! :)

M Fizan said...

@sobri yaacob khairul lar bang.. hero malaya tu.. hoho

Anonymous said...

Wahh..bro...one word 4 you..'hebat!!'
ko bijak mengulas..
Detail lak tu..
N x borin bile bce..
Keep it up!
Ikhlas ni bro bkn bodek..
Keh3...

Syikin Yajid said...

Khairul Fahmi tu, I Like

M Fizan said...

@EZAD AMIR keh2.. harap2 ikhlas lar yer.. thanks a lot so very2 much.. aku menulis bukan kerna nama..lol

M Fizan said...

@♥ Syikin_My ♥ hehe..my favourite :))

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif