Welcome To My Life...

Tuesday, November 22, 2011

Raja Asia Tenggara



Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. tiada kata yang mampu menggambarkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya, pasukan bola sepak kebanggan kita menggondol 'ibu' segala pingat emas dengan menumbangkan Indonesia di bumi mereka sendiri.. terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan, Malaysia akhirnya ditabalkan sebagai juara kali kedua berturut-turut apabila menang penentuan sepakan penalti 4-3.. sorakan gamat 100,000 penyokong skuad Garuda, aksi keras dan lakonan memualkan pemain tuan rumah, keputusan pengadil yang agak berat sebelah, aksi menyerang bertali arus daripada kedua-dua pasukan dan peluang keemasan yang dilepaskan.. perlawanan semalam memang cukup rencah dan final semalam sangat menarik untuk disaksikan.. debaran 120 minit boleh membuatkan jantung anda luruh daripada tangkainya..

Indonesia mungkin mengamuk dengan merangkul hampir 170 pingat emas di tanah air mereka, tetapi kehilangan emas bola sepak pasti dirasai.. inilah pingat emas yang paling utama dalam setiap temasya.. walaupun kita hanya merangkul 59 pingat emas, inilah pingat emas yang menjadi kunci untuk kita berasa gembira.. Harimau Muda membaham Garuda Muda di depan penyokong setia mereka sendiri yang membanjiri Stadium Gelora Bung Karno.. Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar, Asraruddin Putra Omar, dan semua barisan pemain negara akan kekal dalam lipatan sejarah bola sepak negara apabila memalukan Indonesia dan para penyokongnya yang biadap dan tidak bertamadun.. kejayaan yang sungguh manis.. status Facebook rakyat Malaysia semalam dihujani laporan perlawanan dan ucapan tahniah atas kemengan paling bermakna ini..

Mendapat tiupan harapan 100,000 lautan merah dan 200 juta rakyat patriotik, Indonesia ternyata bermula garang dan mengasak sejak sepak mula.. Gunawan Dwi Cahyo membuatkan peminat Malaysia gelisah seketika apabila menanduk masuk sepakan sudut seawal minit kelima.. tetapi penguasaan selepas itu jelas milik Malaysia.. pemain Malaysia mula mendapat rentak dan mengasak untuk memburu gol penyamaan dan menyekat Indonesia daripada terus mendapat keyakinan.. kala barisan hadapan negara ditunjangi Ahmad Fakri Saarani mensia-siakan peluang, barisan pertahanan negara diketuai Fadhli Shas terpaksa mengekang kelincahan trio tiga serangkai Papua dalam skuad Indonesia iaitu Titus Bonai, Patrich Wanggai dan Oktovianus Maniani..

Selepas deretan peluang dihampakan ketumpulan penyudah barisan serangan, mujurlah pertahanan tulen muncul wira negara.. Asraruddin Putra Omar, biasanya bek kiri yang kental, merebahkan badan untuk menanduk masuk hantaran lintang.. bola bergolek perlahan menembusi gawang kawalan Kurnia Meiga dan membisukan Istora Senayan.. seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah menjerit kepuasan.. harapan kembali bernyala.. impian kembali membara.. doa dipanjatkan setinggi-tingginya kepada Allah memohon skuad Harimau berjaya mempertahankan pingat emas.. tetapi perlawanan itu tidak hanya memihak kepada Malaysia.. Indonesia turut menyumbang kepada perlawanan akhir yang seimbang dengan kapten mereka, Egi Melgiansyah melakukan beberapa percubaan jarak jauh dan sepakan percuma yang cukup untuk mencemaskan penyokong Harimau Muda dan menaikkan adrenalin semua rakyat Malaysia..

Ditambah pula perisa kontroversi pengadilan dan permainan kasar ditunjukkan Indonesia.. pengadil cemerlang sepanjang perlawanan tetapi dalam beberapa keadaan, beliau gagal untuk melayangkan kad kuning kepada terjahan pemain Indonesia yang kasar.. sedangkan kesalahan pertama dan lembut pemain Malaysia diberikan kad kuning.. mujurlah penjaga garisan menyelamatkan Malaysia apabila tidak berat sebelah dan tidak mengesahkan jaringan pemain Indonesia yang berada dalam posisi ofsaid.. Titus Bonai menjadi punca kemarahan peminat Malaysia kerana beberapa kali lakonannya sangat menjengkelkan.. jatuh berguling, muka menahan kesakitan tetapi bangkit meneruskan permainan.. Tibo, anda boleh menjadi aktor dalam sinetron beratus-ratus episod di negara anda..

Debaran terasa sepanjang perlawanan.. babak pertama berkesudahan 1-1, babak kedua tiada tambahan jaringan.. masa tambahan dihiasi jaringan kedua-dua pasukan, tetapi dalam kedua-dua situasi, bola telah pun berada dalam posisi ofsaid.. resah gelisah, gemuruh jiwa, semuanya dirasai rakyat Malaysia yang menonton di kaca televisyen.. apatah lagi barisan perwira negara yang bertempur gagah berani tiada gentar menentang sorakan lautan merah.. pemain Malaysia bermain dengan penuh disiplin, dedikasi, konsentrasi penuh dan aksi bertenaga walaupun dikerah sehingga tamat 120 minit masa permainan membawa ke penentuan sepakan penalti yang bergantung kepada tuah..

Ledakan Titus Bonai yang berjaya disentuh Khairul Fahmi tetap menyentuh jaring, dibalas rembatan tinggi dan berani daripada Mahali Jasuli.. 1-1.. penjaring gol pertama, Gunawan Dwi Cahyo, merembat ke tiang dan Fandi Othman tenang memperdaya Kurnia Meiga.. Malaysia mendahului 2-1.. ledakan kencang Egi Melgiansyah diikuti rembatan lemah Ahmad Fakri Saarani yang diselamatkan penjaga gawang tuan rumah.. kembali terikat 2-2.. Abdul Rahman tenang menyempurnakan tugasnya dibalas oleh sepakan penalti Fadhli Shas yang tinggi mencari sudut atas gawang.. 3-3.. debaran memuncak.. sepakan penalti kelima dan terakhir.. Khairul Fahmi Che Mat muncul wira apabila menepis rembatan Ferdinan Sinaga.. malang buat Kurnia Meiga yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan apabila bola sepakan penalti Baddrol Bakhtiar bergolek masuk walaupun telah terkena kakinya.. tangisan Garuda dan larian kepuasan Harimau..

Tahniah Harimau Malaya! Kalian memang membanggakan kami semua.. Malaysia selayaknya dijulang sebagai juara sekali lagi.. permainan bersih dan aksi tenang menghadapi provokasi penyokong tuan rumah ternyata membutirkan kejayaan.. mentaliti yang kuat untuk mengalahkan Indonesia dua kali di stadium keramat mereka.. inilah kejayaan ketiga berturut-turut di peringkat tertinggi Asia Tenggara.. dua pingat emas Sukan Sea 2009 dan 2011, serta Piala AFF Suzuki 2010 membuktikan apa yang menjadi persoalan sebelum perlawanan akhir semalam.. keraguan mengenai status Malaysia selaku kuasa baru bola sepak Asia Tenggara dilenyapkan menerusi aksi berdisiplin tinggi daripada barisan pemain negara yang dibelenggu krisis kecederaan.. tidak mempunyai banyak pilihan, skuad yang dipertaruhkan Ong Kim Swee mengekalkan reputasi Malaysia selaku raja bola sepak Asia Tenggara masa kini.. insya-Allah akan bertahan untuk beberapa tahun lagi.. Malaysia Boleh!!












p palang s : Tak pernah tulis panjang nie..


2 comments:

nuyui a.k.a miss YUI said...

tahniah pasukan Malaysia!!

M Fizan said...

@nuyui a.k.a miss YUI tahniah2, dari perlis sampai ke sabah ^_^

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif