Assalamualaikum.
Awal pagi semalam, pasukan kegemaran aku, Manchester United menang tipis di tempat sendiri. Walaupun benteng pertahanan terus rapuh dan membuatkan United terdedah kepada ancaman bahaya, jentera serangan yang mantap terus garang meruntuhkan setiap kubu yang cuba menyekat arus ketajaman diorang. Malangnya, aku terlepas perlawanan tu. Dem!
Aku dah kunci jam sebelum aku tidur jam 12 malam. Aku dah terjaga akibat deringan amaran pertama jam 2 pagi dan tidur semula. Hoyeah, bila aku terjaga untuk kali yang seterusnya, dah tamat perlawanan, jam lima pagi. Pagi tu aku menaiki bas untuk bertolak ke kampung sebelah umi, Kelantan Darul Naim.
David De Gea mengawal gawang kerana ibu jari Anders Lindegaard tercedera. Rafael - Michael Carrick - Jonny Evans - Alexander Buttner membentuk tembok pertahanan. Carrick menggantikan Rio Ferdinand, dan Buttner menggantikan Patrice Evra yang direhatkan sebagai persediaan menentang Chelsea. Darren Fletcher dan Tom Cleverley mengawal tengah padang ketika tiga serangkai Shinji Kagawa - Wayne Rooney - Robin van Persie menyokong penyerang tunggal, Javier Hernandez.
Hasilnya, Manchester United 3-2 SC Braga.
Buat kesekian kalinya, United melepaskan gol awal dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan. Kapten Braga, Alan, menghukum kelalaian pertahanan United untuk menghempapkan beban ketinggalan dua gol kepada United. Manchester United perlu bangkit dan diorang melakukannya sekali lagi. Bangkit seperti dalam skrip biasa. Sudah sebati menjadi tradisi Syaitan Merah.
Shinji Kagawa melambungkan bola dari sebelah kiri kotak penalti untuk Chicharito melakukan tandukan menjunam yang berjaya disentuh penjaga gol Braga, Beto, tetapi terlalu kuat untuk diselamatkan. Chicharito berada pada masa dan tempat yang tepat untuk melakukan tandukan bebas tanpa cabaran.
Dua minit selepas detik satu jam perlawanan, bek tengah, Jonny Evans, menyamakan kedudukan untuk United. Pertahanan Braga gagal mengeluarkan bola hasil sepakan sudut yang disambung oleh tandukan Carrick. Sepakan pertama Evans tidak kena, tetapi bola kembali kepadanya untuk kali kedua. Evans tidak mensia-siakan peluang untuk menolak masuk.
Kemampuan Evans meledak gol memberikan kelebihan kepada United. Setiap kali sepakan sudut milik United, pertahanan lawan perlu berwaspada.
Barisan yang tetap mantap tanpa beberapa pemain utama. Kagawa yang tercedera pada babak pertama. Ferdinand dan Evra yang direhatkan. Danny Welbeck di bangku simpanan. Melepaskan gol awal. Masih keluar sebagai pemenang.
Suku jam sebelum tamat perlawanan, penyerang yang sering disisihkan musim ini muncul wira. Setelah menjaringkan gol pertama United untuk mengurangkan defisit, Chicharito menggegar lagi.
Chicharito dan ayam tambatan United, Rooney, begitu ceria setelah bangkit dari ketinggalan. Hantaran silang Cleverley dari sayap kanan begitu cantik. Terlalu cantik untuk dibiarkan oleh seorang penyerang berkaliber seperti Chicharito.
Sekali lagi menempatkan dirinya di tempat yang sempurna, Chicharito yang tidak terlalu tinggi melonjak untuk menanduk tanpa cabaran. Ketepatan tandukannya membuatkan layangan Beto untuk menepis tidak berjaya.
Wira malam semalam. Penyerang licik dan lincah dari Mexico.
Kini Sir Alex Ferguson dalam dilema. Empat penyerang seniornya di kemuncak prestasi. Wayne Rooney, Robin van Persie, dan Danny Welbeck membenam Stoke. Dan dua gol Chicharito membunuh harapan Braga. Pertemuan penting menentang Chelsea hujung minggu ini menanti.
Siapakah yang akan dipilih oleh Fergie untuk menggalas kepercayaannya? Semua persoalan akan terjawab hujung minggu ni. Glory glory Manchester United. ^_^
p sepak s : Gumbira...
No comments:
Post a Comment