Welcome To My Life...

Monday, October 8, 2012

Terlalu Bergaya

Assalamualaikum.

Betapa gumbira rasa hati ini menyaksikan kemenangan pasukan kesayangan aku yang terlalu bergaya. Oh, sebelum tu. Barcelona dan Real Madrid terikat 2-2 dalam pertembungan El Classico. Ekceli bukan Barca vs Madrid. Tapi Lionel Messi vs Cristiano Ronaldo. Messi dan Ronaldo menjaringkan dua gol untuk pasukan masing-masing. Memang legenda. Sementara itu, pasukan kesayangan Lelaki Dari Marikh, Manchester United membenam Newcastle United 3-0 di Sports Direct Arena, gelanggang musuh. Kehadiran Wayne Rooney di tengah padang begitu terasa.


Sebelum sepak mula, terdengar kecoh suara penyokong pasukan lain dalam bilik TV. Sengaja mencabar kesabaran penyokong United. Diorang mengatakan United memiliki kelebihan kerana pengadil malam tadi adalah Howard Webb. Dan ada bunyi-bunyi yang tak sedap didengar mengatakan United akan mendapat banyak sepakan penalti kerana ada pemain ke-12. Aku malas nak layan suara sumbang tu. Hakikatnya, malam tadi, ketika detik setengah jam pertama, dua orang pemain United telah diadili dengan sama rata dan dihukum menerima kad kuning kerana melakukan kekasaran.

Sehingga satu ketika aku risau. Resah kerana diorang ada satu jam lagi untuk beraksi ketika Van Persie, Kagawa dan Ferdinand dilayangkan kad kuning. Sangat bahaya untuk bermain dengan kurang seorang pemain walaupun mendahului dua gol. Mujurlah selepas itu, hanya pemain gantian yang menambah kutipan kad kuning. Tidak lain dan tidak bukan, bintang legenda yang tidak pandai melakukan terjahan bersih, PAUL SCHOLES. Seringkali menerima kad kuning kerana melakukan kekasaran.

Sir Alex Ferguson memilih formasi 4-4-2 dan meneruskan sistem 'berlian' di tengah padang untuk kelancaran serangan. Sistem 'berlian' itu menjadi eksperimen lagi selepas dua kemenangan berturut-turut menentang Newcastle United dalam Capital One Cup dan CFR Cluj (Romania) dalam Liga Juara-Juara Eropah. David De Gea dipilih mengawal gawang di depan Rafael, Rio Ferdinand, Jonny Evans dan Patrice Evra. Michael Carrick berada di tapak sistem berlian ketika Wayne Rooney berada di puncak. Tom Cleverley dan Shinji Kagawa menyempurnakan bentuk berlian di tengah padang. Robin van Persie mengetuai bahagian serangan dengan dibantu oleh Danny Welbeck.


Bangku simpanan United tidak kurang bisanya dengan dipanaskan oleh Anders Lindegaard, Scott Wootton, Antonio Valencia, Paul Scholes, Anderson, Javier Hernandez, dan Ryan Giggs. Cukup rencah pengalaman dan tenaga (experience & energy). Tidak seperti ketika menentang Tottenham minggu lalu, United bermula garang dan tidak menoleh ke belakang. Evans menanduk masuk sepakan sudut Van Persie sebelum Evra pula menanduk sepakan sudut Rooney untuk Red Devils mendahului 2-0 dalam suku jam pertama. United mendominasi penguasaan bola dengan sangat ketara.



Selepas itu, Newcastle mula mendapat rentak. Serangan demi serangan dilancarkan tetapi tembok pertahanan United tetap utuh. United begitu berbahaya apabila melakukan serangan balas. United memiliki banyak peluang tetapi dipersia-siakan sehingga Cleverley menjaringkan gol yang sangat cantik ketika permainan berbaki 20 minit untuk memberikan keselesaan kepada United. Gol itu berkualiti tinggi dan berkelas dunia. Satu sepakan lambung dari luar kotak penalti yang tepat ke penjuru atas sebelah kiri gawang Steve Harper.


Pemain-pemain United begitu cekap bermain hantaran pendek. Sangat teratur permainan tiki-taka. Barisan belakang sangat bagus. Evra dan Rafael membantu serangan di sayap. Evans dan Ferdinand mengekang ancaman Demba Ba dan Papiss Cisse yang menggerunkan. Malah tandukan Cisse pada babak kedua telah melepasi garisan gol walaupun tidak sepenuhnya. Aku akui mungkin bola itu boleh dikira gol pada pandangan aku. Tapi penjaga garisan tidak memutuskan gol. Perkara macam ni selalu berlaku.

United beraksi cemerlang semalam. Baru kelihatan seperti aksi diorang yang biasa. Jika aksi diorang dalam babak pertama menentang Spurs tempoh hari sebagus ni, Spurs tidak akan menang 3-2. Yang berlalu takkan berulang. Kekalahan 3-0 kepada Newcastle musim lalu telah dibayar. Aksi Rooney di tengah padang dalam formasi 'berlian' sangat hebat. United sukar digugat jika meneruskan aksi seperti malam tadi selepas aksi antarabangsa. Stoke mangsa seterusnya. Aku yakin United juara musim ini. Glory glory Manchester United...











p sepak s : Puas hati...


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif