Assalamualaikum.
Semalam adalah hari yang sangat penting bagi aku. Semalam aku menghadapi peperangan dengan bahagian Speaking untuk International English Language Testing System (IELTS) yang perlu aku hadapi memandangkan aku akan ke English-speaking country (dengan izin Allah). Sejujurnya, bahagian ni memang aku sangat lemah dan mempunyai masalah. Aku tak berkeyakinan kerana tidak fasih bertutur dalam bahasa omputeh.
Speaking IELTS ni ada tiga bahagian. Bahagian pertama adalah untuk memanaskan badan dengan menjawab soalan tentang diri sendiri. Bahagian kedua, diberikan satu topik, perlu bersedia dalam satu minit untuk bercakap selama dua minit. Bahagian ketiga paling susah. Perlu menjawab soalan umum dengan kreatif dan kritis dalam masa yang singkat. Aku tak ada masalah dengan dua bahagian pertama. Tapi bahagian ketiga, aku tak konpiden.
Malam sebelum ujian, aku berlatih tiga pusingan dengan tiga orang rakan. Masih jugak aku tak dapat menjawab dengan yakin untuk bahagian ketiga. Sudah tentu itu sangat merisaukan aku kerna ujian ini sangat penting. Memberi kesan kepada tiga lagi bahagian lain. Aku tak nak ulang, aku tak nak susahkan ibu bapa aku. Mahal harganya kalau nak ulang semula. Aku nak berjaya dengan sekali percubaan. Aku tak mahu gagal.
Kali terakhir aku berlatih sebelum detik 12 malam 5 Oktober 2012 (Jumaat), aku ditegur oleh rakan baik berbangsa India yang mendapat band maksimum 9 semasa ujian percubaan. Dia kata dia risau dengan aku. Aku mempunyai idea yang bernas tapi aku sangat gemuruh. Memang jelas dari gerak-geri dan perlakuan aku semasa menjawab. Itu mengurangkan lagi keyakinan aku untuk menghadapi hari esok (semalam).
Giliran aku jam 10.40 pagi. Tapi aku pergi awal kerana giliran rakan sebilik pada jam 9 pagi. Aku menumpang keretanya. Selepas mendaftar, aku sangat resah. Takut dengan kemungkinan yang belum terjadi. Ujian itu sangat penting. Sehingga aku tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen ibunda tercinta yang mendapat ijazah doktor falsafah di Universiti Utara Malaysia.
Ketika menanti giliran di luar bilik, aku sangat berdebar. Adrenalin mengalir, kadar jantung berdenyut seperti berlari. Aku menarik nafas dalam-dalam. Masih juga tidak mahu berkurang. Mujurlah ada sahabat yang memberikan nasihat berguna. Aku berselawat banyak-banyak sambil terus menarik nafas sedalam mungkin. Syukur kepada Allah, aku mula rasa normal. Aku menadah tangan dan berdoa kepada Allah. Aku bertawakal dan berserah hanya kepada-Nya. Tiada siapa pun dapat menyelamatkan aku. Hanya Allah yang Maha Tinggi. Ramai sahabat yang baik hati mengucapkan semoga berjaya. Melihat diorang, aku semakin yakin. Terima kasih kalian. Aku hargai itu.
Sebaik saja duduk di hadapan pemeriksa, Asha Kapoor, aku lupa segala gemuruh. Aku rasa itulah persembahan terbaik yang pernah aku lakukan. Aku tak dapat bayangkan untuk memberikan lebih daripada itu. Itu sudah cukup. Alhamdulillah, Allah meniupkan keyakinan ke dalam jiwa aku untuk bertutur dengan yakin. Walaupun tidak berapa fasih, aku puas hati. Bahagian ketiga juga aku lepasi dengan sangat baik.
Kini aku ada tiga lagi bahagian IELTS yang perlu diselesaikan. Reading, Writing dan Listening selama tiga jam berturut-turut pada hujung minggu depan. Selepas itu, Malaysian University English Test pula menanti. Aku serahkan untung nasib aku kepada Allah. Aku sangat bersyukur kerana urusan aku semalam dipermudahkan. Tidak terucap kenikmatan dan kemanisan rasa tawakal dan berserah sepenuhnya kepada Allah yang Maha Berkuasa. Dan Dia memberi pertolongan kepada hamba-Nya yang berusaha.
p sepak s : Tak tergambar...
No comments:
Post a Comment