Welcome To My Life...

Monday, October 29, 2012

Menang Tetap Menang

Assalamualaikum.

Kalau penyokong The Blues baca entri aku, diorang mesti tau aku sedang melakukan provokasi terhadap diorang. Harharhar. Menang tetap menang. Aku tak kisah apa diorang nak cakap, Manchester United sudah mengalahkan Chelsea malam tadi. Kali pertama dalam tempoh sedekad di kubu lawan, Stamford Bridge. Keputusan akhir?

Chelsea 2-3 Manchester United

Walau apa pun tuduhan penyokong Chelsea yang berang dan terluka, perlawanan semalam telah menjadi sejarah. Orang tak akan ingat secara detail apa yang terjadi dalam satu-satu perlawanan. Orang hanya akan ingat siapa yang keluar sebagai pemenang. Lazimnya, orang tak akan ingat siapa yang dapat kad merah ataupun gol ofsaid ataupun tidak. Mungkin hanya penyokong Chelsea yang akan menjadikan perlawanan malam tadi sebagai modal alasan.

Dan pemenang malam tadi adalah Manchester United. Itu adalah satu-satunya hakikat yang bukan kepalsuan. Keputusan pengadil mungkin memihak Manchester United. Bagi aku, tiada konspirasi. Sepanjang dekad yang lepas, banyak keputusan pengadil memihak Chelsea selaku tuan rumah. Jadi itu bergantung kepada tuah. Bukannya membeli pengadil atau rasuah atau macam-macam lagi kata-kata yang tidak masuk akal.

Kedua-dua pengurus menurunkan barisan terkuatnya malam tadi membayangkan betapa pentingnya perlawanan tersebut. Roberto di Matteo meletakkan Petr Cech di pintu gol. Branislav Ivanovic - David Luiz - Gary Cahill - Ashley Cole membentuk kubu di hadapan Cech. Ramires - John Obi Mikel membentengi pertahanan. Eden Hazard - Juan Mata - Oscar membentuk trio kreatif dan inovatif di belakang penyerang tunggal, Fernando Torres.

Sir Alex Ferguson membayangi formasi Chelsea dengan formasi yang sama, 4-2-3-1, walaupun di atas kertas, barisan United membentuk formasi 4-4-2. David De Gea diberi kepercayaan mengawal gawang di hadapan Rafael - Rio Ferdinand - Jonny Evans - Patrice Evra. Michael Carrick - Tom Cleverley pula mengawal tengah padang ketika Antonio Valencia - Wayne Rooney - Ashley Young menjadi tiga serangkai di belakang Robin van Persie. Hasilnya?


United mendahului 1-0 seawal minit keempat. Syaitan Merah bermula pantas selepas beberapa perlawanan terpaksa bangkit. Rooney menyerang dari sayap kanan dan menolak bola kepada Van Persie yang menemui ruang di tengah kotak penalti, antara beberapa orang pertahanan Chelsea. Sepakannya terkena tiang, melantun dan terkena badan Luiz lalu masuk ke gawang. Gol sendiri. Tetapi serangan berkualiti United musim ini terus terbukti berkesan.


Minit ke-12, United di depan 2-0. Lihatlah betapa gembiranya Rafael yang melompat. Dan reaksi Cleverley di belakang Van Persie. Perlawanan ini sangat penting dan mendahului adalah kunci kemenangan. Satu lagi ancaman dari sebelah kanan menyaksikan hantaran silang Valencia disudahkan Van Persie. Gol yang sangat lazim bagi legenda baru United.


Harus diakui, selepas itu Chelsea mendapat rentak dan mengasak bertubi-tubi. Diorang mendominasi bola dan mengancam kubu United tanpa henti. Kepintaran Oscar, Hazard, dan Mata menimbulkan kekacauan. Jika bukan kerana De Gea yang beraksi cemerlang, beberapa gol mungkin telah dijaringkan sebelum gol pertama Chelsea benar-benar tiba. De Gea melakukan beberapa aksi menyelamat yang spontan dan refleks. 

Seminit sebelum separuh masa tamat, akhirnya penguasaan Chelsea membuahkan hasil. Hazard bersedia untuk merembat, sedikit di luar kotak penalti United, ketika Rooney mengasarinya. Pada pengamatan aku, terjahan Rooney tidak perlu kerana Hazard belum tentu dapat meledakkan rembatan padu. Akibatnya, Rooney menerima kad kuning. Dan lebih teruk lagi, gol pertama Chelsea mengurangkan defisit. Sepakan percuma Mata melepasi benteng dan tepat ke sasaran.

Chelsea memulakan babak kedua sepertimana diorang mengakhiri babak pertama. Menguasai bola dan terus mara mengasak tembok pertahanan United. Kubu United akhirnya runtuh jua buat kali kedua. Hantaran lambung Hazard kelihatan gagal dikawal Mata yang hampir memberikan sepakan gol, Tetapi Mata melarikan bola ke sayap kanan sebelum melintangkan bola. Oscar menerima bola di sebelah kiri kotak penalti dan hantaran silangnya ditanduk Ramires yang mengatasi Cleverley. 2-2, game on!

Musim ini, United sering bangkit daripada ketinggalan. Dan dalam pertemuan sama di sini musim lepas, United bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk seri 3-3. Kelihatan situasi akan terbalik. Chelsea akan bangkit dan membunuh Syaitan Merah. Sehinggalah detik penting perlawanan tiba...


Ivanovic terpaksa mengasari Young yang sedang berlari selesa untuk menjaringkan gol. Selaku pertahanan terakhir atau last man, kekasaran itu adalah kesalahan kad merah. Clattenburg tidak teragak-agak melayangkan kad merah untuk menyingkirkan Ivanovic. United memiliki kelebihan seorang pemain. Di Matteo mengorbankan Oscar untuk memberi ruang kepada Cesar Izpilicueta.

Penguasaan bola mula berubah. United mula mengasak ketika Chelsea tetap berbahaya menerusi serangan balas yang diketuai Mata dan Hazard.


Dua orang pakar taktikal. Sir Alex Ferguson yang sudah mengalahkan satu ensiklopedia pengurus yang cuba mengatasi kepintarannya. Roberto Di Matteo yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lepas setelah menggantikan Andre Villas-Boas. Kedudukan sedang terikat 2-2, dengan 11 pemain United menentang hanya 10 pemain Chelsea.

Sehingga peristiwa di bawah berlaku...


Torres jatuh ketika sedang selesa berlari untuk merembat. Situasi Evans sama seperti Ivanovic, last man challenge. Bezanya, Torres dilayangkan kad kuning kedua dan dibuang padang kerana dituduh melakukan diving. Ulang tayang menunjukkan Torres lewat menjatuhkan badannya. Sentuhan Evans begitu tipis atau mungkin tidak kena sedikit pun. 11 vs 9. United mesti menang. Fergie memasukkan Javier Hernandez menggantikan Cleverley yang kelihatan hilang punca.


Inilah dia, wira kemenangan sekali lagi beraksi. Chicarito meneruskan reputasi gemilang selaku pemusnah Chelsea. Selepas menjaringkan gol penyamaan dalam keputusan seri 3-3 musim lepas, dan menanduk masuk gol kemenangan ketika menentang Braga minggu lepas, Hernandez sekali lagi menjaringkan gol kemenangan. Naluri pemusnah Hernandez sekali lagi meletakkannya di tempat yang tepat pada masa yang tepat.

Rembatan kaki kiri Van Persie ditepis Cech ke tiang. Keadaan menjadi kelam kabut dan clearance Cech sampai tepat ke kaki Rafael yang merembat. Chicharito, dari posisi ofsaid, menampan bola ke gawang. Harus diakui, Chicharito memang ofsaid. Tuah menyebelahinya malam ni. Situasi seperti ini selalu berlaku. Awal malam semalam, gol kemenangan Luis Suarez dibatalkan sedangkan dia berada dalam posisi onsaid. Akibatnya, Liverpool seri 2-2 dengan Everton walaupun mendahului 2-0.

Selepas gol itu, United mula bermain dengan waspada. Chelsea tetap mengasak walaupun beraksi kurang dua orang pemain. Tetapi United boleh menambah dua lagi gol jika voli kaki kiri Hernandez tidak tinggi melepasi palang gol dan rembatan kaki kanan Valencia yang berlari selesa tidak meliar. Keputusan mungkin lebih teruk buat Chelsea.

Aku malas nak layan apa pun kata-kata kurang enak dari penyokong Chelsea yang kecewa. United kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Chelsea dengan pertemuan menentang Arsenal hujung minggu ini menanti. Hanya ada satu hakikat malam tadi, Manchester United membenam Chelsea 3-2 di tempat lawan.












p peluk s : Gumbira...


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif