Welcome To My Life...

Saturday, April 20, 2013

Fabulous Friday


Semalam hari Jumaat. Penghulu segala hari. Tapi 19 April 2013 memang hari yang panjang dalam hidup aku. Sangat panjang. Dari pagi ke petang, membawa ke malam. Fuhh, penuh dengan peristiwa.

Pagi, seperti dalam entri lepas, aku ceritakan jamuan potluck sebagai jamuan perpisahan kerana minggu ni adalah minggu terakhir kelas. Selepas ini kami bercuti sementara menanti bermulanya peperiksaan A-Level tanggal 8 Mei nanti, selepas hari mengundi pada 5 Mei 2013.

Semalam juga sebenarnya ada peperiksaan akhir semester untuk subjek agama, ALIS40. Selepas berakhir jamuan potluck, fokus aku terus tertumpu kepada peperiksaan agama. Walaupun tak berapa penting macam A-Level, aku dah terbiasa untuk bertarung dengan sehabis daya. Sudah sebati dalam diri.

Bermula jam 4 petang, debaran tamat. Peperangan berlangsung. Setengah jam berlalu, dan aku telah siap 80%. Aku memperlahankan permainan, menggunakan gear rendah. Hanya mahu lihat 'permainan' yang lain. Sedang aku cuba untuk terus rileks, 45 minit adalah tempoh sejak peperiksaan bermula ketika manusia pertama menghantar kertas untuk keluar.

Masa peperiksaan adalah dua jam. Tidak sampai separuh perjalanan lagi, dia (seorang wanita) berjalan dengan tenang. Apabila seorang telah memulakan arus, yang lena pasti bangkit. Ya, aku rasa tercabar. Aku melajukan pergerakan dan menyempurnakan jawapan. Selesai. 50 minit, aku sudah berada di luar dewan. 4.50pm, masa untuk solat Asar berjemaah bersama perwira lain yang turut keluar awal. 

Tabik spring, diorang memang genius. Orang lain masih bertarung, diorang dah simpan pedang. Haha. Pendekkan cerita, balik tu aku beli nasi di kedai mamak. Penting ke? Ada kaitan dengan jalan cerita. Jam 6 petang, aku beraksi di gelanggang futsal. Rakan sepasukan aku semalam memang hebat-hebat.. Antara heavyweights setiap petang.

Penjaga gol pulak memang natural goalkeeper. Kadang-kadang setiap petang, aku dapat pasukan dengan penjaga gol bidan terjun. Memang keluar awal. Sebab ramai nak main, kitorang main peraturan satu gol. Semalam pasukan aku memang mantap. Cuma aku jadi liabiliti. Lambat sikit, haha.

Tengah aku syok main, sorang kawan datang naik motor ajak aku pergi dengar kuliah Ustaz Nazmi Karim. Aduh, dilema aku. Bukan senang nak dengar kuliah UNK. Aku dah lama tunggu dia balik dari Syria. Jatuh hati dengan penyampaiannya yang serasi dengan jiwa muda. Pada masa yang sama, aku tengah bermain dengan satu pasukan yang ketika aku bersembang, telah menyingkirkan pasukan lawan dengan gol yang dikehendaki peraturan.

Maghrib begitu hampir. Pada mulanya, aku memutuskan untuk terus bermain. Tapi, hati berdetik dengan izin Allah untuk ke majlis ilmu. Pantas aku menukar keputusan dan berlari untuk bersiap. Mandi pun lima minit saja. Peluh tak sempat kering. Kenapa korang suruh aku bergegas??

Alhamdulillah, malam semalam aku berada dalam majlis ilmu, dipayungi para malaikat. Mendengar kisah sahabat Rasulullah bernama Ubai bin Ka'ab. Subhanallah, penyampaian UNK memang sempoi. Sentiasa menggeletek hati dengan jenaka spontan yang tidak pernah dibuat-buat. Sekelip mata, suasana bertukar riuh-rendah dengan gelak tawa apabila Ustaz Nazmi Karim berjenaka. 

Apa yang aku suka pada beliau, UNK tidak pernah berhenti mengajak kepada Allah. Sepanjang ceritanya, dia sentiasa memuji Allah dan Rasulullah. Diiringi dengan doa-doa yang kami aminkan. Allahuakbar! Melihat beliau membawa hati aku mengingati Allah dengan kalimah-kalimah yang mentauhidkan Allah. Sentiasa lidahnya menuturkan kalam Allah dan dalil dari kitab Allah, al-Quran mukjizat Rasulullah. Bersama Ustaz Azhar Idrus, beliau antara orang alim yang aku kagumi.

Apabila sampai ke kolej, barulah aku dapat makan nasi yang aku beli petang tadi. Ingat tak? Haha. Itulah peranan nasi dalam cerita ni. Oh ya, sebaik saja selesai makan nasi, aku terus main futsal. Memang gila. Sehingga peluh membasahi badan, baru aku balik untuk berehat. Kepala memang sakit sangat. Setengah jam melepasi pukul 12 malam, aku tewas kepada kesakitan. Hanyut dalam kegelapan.

Jumaat yang indah, dalam kenangan.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif