Welcome To My Life...

Thursday, November 22, 2012

Champions League Update

Assalamualaikum.

Satu malam. Enam pasukan mara. Saingan peringkat kumpulan kian menuju penghujung. Manchester City tersingkir dari pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah. Borussia Dortmund menang bergaya. Arsenal melepasi peringkat kumpulan untuk musim ke-13 berturut-turut. Dua pasukan sah menjadi juara kumpulan. Dua pasukan sudah muktamad memasuki Liga Europa dan dua lagi pasukan tersingkir.

Malaga (Sepanyol) dan Borussia Dortmund (Jerman) memenangi kumpulan masing-masing. Dynamo Kyiv (Ukraine) dan Olympiacos (Greece) akan menyambung aksi dalam Liga Europa. Dinamo Zagreb (Croatia) dan Montpellier (Perancis) hanya akan menamatkan aksi terakhir dengan sah di tempat tercorot.

Mari ketahui apa yang berlaku..

KUMPULAN A


Di NSK Olimpiyskyi, Dynamo Kyiv (Ukraine) tumbang 0-2 kepada pelawat, Paris Saint-Germain (Perancis). Kedua-dua gol dijaringkan oleh Ezequiel Lavezzi. Permainan seimbang namun percubaan tepat berpihak kepada tuan rumah dengan 9-3. PSG lebih klinikal walaupun memiliki kurang percubaan. Jumlah percubaan juga memihak Dynamo Kyiv dengan 17-5.

Di Estádio do Dragão, Porto (Portugal) menewaskan Dinamo Zagreb (Croatia) dengan 3-0. Tuan rumah begitu dominan dengan menguasai hampir 60% perlawanan dan melakukan percubaan tepat 12-3. Gol-gol Porto diledakkan oleh Lucho González, João Moutinho, dan Silvestre Varela. Malah Moutinho juga mencipta dua gol yang dijaringkan oleh rakan sepasukannya. Zagreb tidak mempunyai jawapan untuk menghadapi pemain antarabangsa Portugal itu.

KUMPULAN B

 
Di Arsenal Stadium, Arsenal (England) menundukkan Montpellier (Perancis) untuk mara ke pusingan kalah mati buat kesekian kalinya. Arsenal mendominasi 54% permainan dan memiliki lebih banyak percubaan tepat (7-5) walaupun jumlah percubaan (11) kedua-dua pasukan adalah sama. Peledak baru Gunners, Lukas Podolski, dan bintang muda, Jack Wilshere.

Di Stadion Gelsenkirchen, Schalke 04 (Jerman) mengecewakan Olympiacos (Greece) dengan kemenangan 1-0. Schalke berhak menang selepas mendominasi 56% penguasaan bola dan melakukan 17 percubaan tepat berbalas lima. Tetapi jumlah percubaan 27-6 gagal disempurnakan jentera penggempur Schalke sehingga Christian Fuchs meledak rembatan rendah dari jarak jauh.

KUMPULAN C

Di Stadion Petrovski, Zenit St. Petersburg (Rusia) seri 2-2 dengan Malaga (Sepanyol). Tuan rumah bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk mengikat pelawat yang bermula rancak. Zenit menguasai 64% perlawanan dan memiliki lebih banyak percubaan tepat, 9-6. Malaga membuka jurang dua gol sebelum permainan berusia 10 minit. Malangnya, jaringan Diego Buonanotte dan Seba berjaya dipadamkan oleh Danny dan Viktor Fayzulin. Pemain tuan rumah, Vladimir Bystrov masih sempat dibuang padang. 

 
Di Constant Vanden Stock Stadium, pelawat, AC Milan (Itali) menang bergaya 3-1 mengalahkan Anderlecht (Belgium). Tuan rumah menguasai 61% permainan tetapi tidak banyak percubaan dilancarkan kedua-dua pasukan dengan percubaan tepat memihak pelawat (4-2). Aksi cemerlang Stephan El Shaarawy yang meledak satu gol dan mencipta gol ketiga pasukannya yang dijaringkan oleh Alexandre Pato, dan jaringan hebat Philippe Mexès. Kad merah Bram Nuytinck mungkin membantu Milan. Jaringan Tom De Sutter hanya saguhati bagi Anderlecht. 

KUMPULAN D

Di City of Manchester Stadium, Manchester City (England) terpaksa akur untuk terikat 1-1 dengan Real Madrid (Sepanyol). Perlu menang untuk menghidupkan peluang melangkah ke pusingan seterusnya, City menguasai 60% perlawanan tetapi percubaan tepat memihak pelawat dengan 10-7. Pelawat lebih dulu di depan menerusi jaringan Karim Benzema sebelum sepakan penalti Sergio Aguero menyelamatkan City daripada kekalahan. City gagal memanfaatkan kelebihan seorang pemain selepas Alvaro Arbeloa dibuang padang.


Di Amsterdam ArenA, Borussia Dortmund (Jerman) membelasah Ajax Amsterdam (Belanda) 4-1 walaupun Ajax begitu dominan dengan 65% penguasaan bola. Percubaan tepat juga memihak tuan rumah dengan 10-5. Malangnya, ketajaman barisan penggempur Dortmund membunuh Ajax. Kehebatan aksi Mario Gotze gagal dikekang benteng Ajax apabil Gotze menjaringkan satu gol dan mencipta tiga lagi gol pasukannya, jaringan Marco Reus dan Robert Lewandowski (2). Ketinggalan 4-0,  jaringan lewat Daniel Hoesen sememangnya sekadar saguhati. 


Perebutan takhta Kumpulan A masih terbuka antara PSG dan Porto. Dinamo Zagreb tidak memiliki apa-apa peluang lagi untuk mencabar slot Liga Europa yang dimiliki Dynamo Kyiv. Kelab Croatia itu kini di tangga terakhir tanpa sebarang mata.  

Schalke dan Arsenal telah layak dari Kumpulan B meskipun perebutan pemenang kumpulan masih terbuka. Olympiacos tidak tercabar untuk memenangi slot Liga Europa dengan Montpellier sah tersingkir dari meneruskan aksi di peringkat benua Eropah. 

Dalam Kumpulan C, Malaga dan AC Milan sah layak. Malaga sah menjadi juara kumpulan. Perebutan slot Liga Europa masih terbuka antara Zenit dan Anderlecht. 

Kecemerlangan individu seharusnya dinikmati. Joao Moutinho (Porto), Mario Gotze (Borussia Dortmund) dan Stephan El Shaarawy (AC Milan) yang menggerakkan kemenangan pasukan masing-masing. Jangan dilupakan gol cantik Lukas Podolski (Arsenal) dan rembatan ala Ibrahimovic oleh bek tengah AC Milan, Philippe Mexès. 

Borussia Dortmund sah memenangi Kumpulan D dan akan diiringi Real Madrid. Manchester City tidak akan mara ke pusingan seterusnya tetapi masih berpeluang merebut tempat ketiga dan slot ke Liga Europa. City tidak akan menerima laluan mudah, perlu mengatasi Ajax, satu mata di hadapan City yang menduduki tempat tercorot. 

Aksi terakhir peringkat kumpulan akan bersambung awal bulan depan. Aku tak sabar untuk melihat hiburan.












p palang s : Menghiburkan..

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif