Welcome To My Life...

Sunday, November 4, 2012

T.O.P

Assalamualaikum.

Entri bola lagi. Sila berpindah entri jika tak berminat.

Kegembiraan berganda untuk penyokong Syaitan Merah malam tadi. Pasukan kesayangan aku menang perlawanan penting menentang Arsenal. Malah Chelsea terikat 1-1 dengan Swansea dan Manchester City terikat tanpa jaringan dengan West Ham kini meletakkan Manchester United di puncak liga dengan kelebihan satu mata berbanding The Blues.

Kepada penyokong Arsenal, sila mengakui pasukan Gunners tak mampu melawan Manchester United malam tadi. Keputusannya mungkin tipis tapi itu tak menggambarkan perlawanan semalam. Jangan tipu aku. United memiliki deretan peluang keemasan yang disia-siakan. Hasilnya?

Manchester United 2-1 Arsenal.

Sir Alex Ferguson menukar 10 pemain daripada skuad Piala Liga yang tumpas kepada Chelsea dan menurunkan 100% skuad yang menewaskan Chelsea dalam aksi liga hujung minggu lepas. David De Gea diberi kepercayaan mengawal gawang. Rafael yang kekal di bek kanan membentuk tembok utuh bersama Rio Ferdinand, Jonny Evans dan kapten, Patrice Evra. Tom Cleverley dan Michael Carrick mengawal tengah padang ketika Antonio Valencia, Wayne Rooney, dan Ashley Young membina jentera serangan.

Robin Van Persie selaku penyerang tunggal berhadapan bekas majikannya. Dan tiga minit adalah masa yang diperlukan oleh mesin gol RVP untuk meledak.


Hantaran backheel cantik dari Valencia melepaskan larian overlapping Rafael dari bek kanan. Hantaran silang Rafael yang rendah gagal dikeluarkan dengan kemas oleh Thomas Vermaelen. RVP melakukan rembatan first time dengan kaki kanan untuk mengecewakan penyokong kelab lamanya.

Selepas lapan tahun menabur bakti di Arsenal, RVP tidak meraikan gol itu. RVP telah menjalankan tugasnya selaku penyerang untuk menyumbat gol. Selaku pemain profesional, kelab lama atau tidak bukan persoalan. Tiada kompromi. Menjaringkan gol dan tidak meraikan, adil untuk kelab lama dan kelab barunya.


Permulaan yang sempurna. Permulaan baik sangat penting dalam perlawanan besar menentang musuh tradisi. Seawal tiga minit, Itu yang membuatkan Wayne Rooney begitu girang.


Sebelum separuh masa pertama berakhir, United mendapat peluang terbaik untuk menggandakan jaringan. Menyusuli sepakan sudut, Young cuba melakukan hantaran lintang yang hampir terkena muka Santi Cazorla. Pemain tengah Arsenal itu cuba melindungi mukanya dengan tangan. Bola terkena tangan dan pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti. Malangnya, Rooney gagal.

Babak kedua baru bermula ketika United melepaskan satu lagi peluang keemasan. Kawalan bola tidak kemas menyebabkan Vermaelen terlepas bola kepada RVP di luar kotak penalti Arsenal. Hantaran silang RVP kepada Valencia meletakkan sayap kanan itu menghadapi gawang terbuka. Namun, Valencia gagal menyudahkan peluang tersebut.

Melihat satu demi satu peluang dilepaskan, aku percaya hanya masa yang memisahkan United dan gol kedua yang akan memberikan kelegaan dan ruang untuk bernafas.


Selepas satu lagi sepakan penjuru, Rooney melakukan hantaran silang dari sayap kiri dan Evra melakukan tandukan bebas. Kapten yang boleh diharap. Rendah dan pemain yang tak dijangka untuk menjaringkan gol. Who cares? United mendahului 2-0.


Keadaan bertambah selesa buat United apabila Jack Wilshere dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua. Sepanjang perlawanan, aku menyedari pertembungan dua pemain England, Wilshere dan Cleverley. Saling mengasari satu sama lain. Malah Wilshere beberapa kali dikasari pemain United. Teori konspirasi? Wilshere berada di kem Jphn Terry dan Cleverley menyebelahi Ferdinand dalam isu perkauman.

Cleverley turut menerima kad kuning dalam separuh masa pertama. Sebelum Wilshere, Cleverley juga hampir menerima kad merah dan kelihatan seperti tidak dapat mengawal emosi. Amaran terakhir dari pengadil telah diberikan. Fergie membuat keputusan tepat dengan memasukkan Anderson untuk menggantikan Cleverley. Sedikit lucu apabila Anderson turut menerima kad kuning. Sekurangnya tidak sepantas pemain gantian Arsenal, Andrey Arshavin yang mendapat kad kuning selepas 30 saat dimasukkan.


Walaupun beraksi dengan sepuluh orang pemain, Arsenal tidak mengalah. Cazorla menjaringkan gol saguhati dengan sepakan terakhir perlawanan dalam masa kecederaan menyusuli sepakan penjuru yang gagal dikeluarkan pertahanan United. Namun pada akhirnya, gol awal RVP sudah mencukupi.

Legenda Arsenal kini dalam laluan menjadi legenda Manchester United. 10 gol dan 4 assists dalam 13 aksi pertama di kelab baru sudah tentu merupakan statistik idaman mana-mana penyerang. Mungkin penyokong Arsenal semakin benci dengan RVP. Tetapi, siapa boleh menyalahkannya mengkhianati kesetiaan yang diharapkan untuk kejayaan yang sudah lama diidamkannya?













p sepak s : Salute RVP..


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif