Welcome To My Life...

Thursday, November 29, 2012

Mengaum Garang

Assalamualaikum.

Seperti yang korang dah tahu, malam semalam Harimau Malaya mengaum garang. Bagaikan begitu parah terluka, harimau bangkit merobek mangsanya. Selepas terkulai di tangan singa, Datuk K. Rajagobal menunaikan janji. Bala tentera dirombak, kemenangan dicari.

Aksi hambar perlawanan pertama memaksa sang jurulatih bertindak. Pemain yang beraksi kurang baik harus dihukum. Maruah negara tidak harus menjadi taruhan dengan kurangnya konsentrasi pemain untuk mewakili negara tercinta.

Farizal Marlias mengambil alih posisi Khairul Fahmi Che Mat di antara dua tiang. Mahali Jasuli kembali merampas posisi bek kanan daripada Bunyamin Umar. Shakir Shaari diberikan kepercayaan menggantikan Amar Rohidan. Wan Zack Haikal mendapat peluang mempamerkan aksi dengan menyingkirkan Khyril Muhymeen.


Aku percaya inilah barisan terbaik yang Malaysia miliki ketika ini. Kecuali Khairul Fahmi Che Mat kembali fokus. Aku lebih suka dia di gawang sebenarnya. Gandingan Shakir dan kapten, Safiq Rahim, lebih menjadi untuk mengawal jentera tengah. Kepantasan Wan Zack Haikal dan S. Kunanlan di bahagian sayap memberi banyak masalah kepada lawan.

Menang 4-1, sepatutnya keputusan lebih teruk buat Laos. Aku kira Safee memiliki tujuh atau lapan peluang yang disia-siakan, begitu juga empat untuk Norshahrul Idlan Talaha a.k.a Mat Yo. 11-1 atau 13-1 aku kira tidak mengejutkan jika ia berlaku. 

Malaysia menguasai perlawanan sejak wisel pertama dibunyikan. Dan selayaknya Harimau Malaya mendahului 1-0 melalui situasi bola mati, sepakan percuma. Siapa lagi? Kepakaran Safiq pernah memukau Arsenal dan Liverpool, dan penjaga gol Laos bukan lawannya. Sepakan melencong Safiq melepasi benteng dan menuju tepat ke sasaran, penjuru atas gawang. Very deadly.

Kegagalan Safee menyudahkan peluang yang dihidangkan oleh rakan sepasukan dihukum pemain Laos. Gol penyamaan dijaringkan menentang arus perlawanan di mana Malaysia menyerang habis-habisan. Sebaliknya serangan balas pantas menghadirkan gol apabila rembatan Khonesavanh Sihavong yang tidak dikawal di sebelah kiri ditampan Aidil Zafuan dan melambung melepasi Farizal.

Amat mengecewakan untuk terikat 1-1 selepas berakhir babak pertama kerana kita menguasai perlawanan yang berat sebelah. Kedudukan itu berbahaya sehingga Safee memanfaatkan peluang. Selepas beberapa kali menghampakan dengan penyudah tumpul, termasuk satu tandukan bebas, Safee menjaringkan gol pendahuluan dan melemahkan moral pasukan lawan. Kredit kepada Wan Zack Haikal dengan larian lipas kudung.


Gol ketiga membunuh terus semangat juang pemain Laos yang semakin keletihan. Hantaran silang Kunanlan dari sayap kiri terlalu cantik. Terlalu tepat untuk disia-siakan. Wan Zack Haikal tidak menghampakan dengan tandukan tepat ke sasaran. Kepuasan terbayang jelas di wajahnya. Perlawanan telah berakhir buat pasukan Laos. Tetapi Malaysia masih perlu melebarkan perbezaan gol selepas kalah 0-3 kepada Singapura dalam perlawanan pembukaan.

Pemain gantian, Khyril Muhymeen melengkapkan kemenangan skuad negara dengan jaringan keempat. Satu larian solo dari tengah kawasan lawan untuk serangan kilat. Terlalu pantas untuk pertahanan lawan yang semakin penat. Tiada tambahan jaringan selepas itu. 

Walaupun hanya 4-1, aku terima kemenangan itu. Permainan menyerang sangat menarik. Sayap kiri dan kanan begitu pantas. Hanya penyudah perlu diperkemaskan, dan kita akan menjadi juara sekali lagi. Watch that man. Jika Wan Zack Haikal konsisten, dia akan menjadi pemain penting Harimau Malaya.

Aku harap kemenangan semalam akan mendiamkan lalang yang mengeji K. Rajagobal sebelum ini. Indonesia next. Our noisy neighbour. Mari sama-sama doakan kemenangan skuad kebanggan kita.













p palang s : Malaysia pasti boleh..


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif