Welcome To My Life...

Wednesday, November 21, 2012

Hard To Forget

Assalamualaikum.

Maaf. Entri bola sepak.

Juara bertahan kejohanan, Chelsea, tumbang lagi dalam Liga Juara-Juara Eropah. Barcelona, Shahktar Donetsk, Valencia, dan Bayern Munich pula mara ke pusingan kalah mati.

Keputusan sensasi? Juventus membenam Chelsea 3-0 walaupun di tempat sendiri. Shakhtar Donetsk membelasah Nordsjaelland 5-2 dalam kumpulan yang sama di tempat lawan. Barcelona terus unggul menundukkan Spartak Moscow 3-0 dan Manchester United tumbang 1-0 kepada Galatasaray di gelanggang musuh.

Tanpa membuang masa, mari ketahui apa yang sebenarnya berlaku.

KUMPULAN E

 
 Di Parken, tuan rumah, Nordsjælland (Denmark) mendahului dua kali tetapi tetap tewas 2-5 kepada Shakhtar Donetsk (Ukraine). Penguasaan bola seimbang tetapi pelawat lebih dominan dari segi percubaan. 10 percubaan tepat berbalas dua. Gol Morten Nordstrand dan Kasper Lorentzen tidak mencukupi untuk mengatasi hatrik Luiz Adriano dan dua gol Willian. Shakhtar sudah sah layak walaupun perebutan juara kumpulan masih terbuka.

Di Juventus stadium, tuan rumah mencalarkan ego juara bertahan Eropah. Juventus (Itali) mengatasi Chelsea (England) 3-0. Permainan seimbang tetapi Juventus melakukan 15 percubaan tepat dengan Chelsea hanya membalas enam. Sudah terang lagi bersuluh Juventus lebih layak menang. Jaringan Fabio Quagliarella, Arturo Vidal, dan Sebastian Giovinco cukup untuk meletakkan pelawat di ambang penyingkiran dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

KUMPULAN F

 Di Dinamo Stadion, tuan rumah, BATE Borisov (Belarus), tewas 2-0 kepada Lille (Perancis). Walaupun menguasai 60% permainan dan melakukan 6 percubaan tepat berbalas 4, Borisov akur apabila pelawat menjaringkan gol menerusi Djibril Sidibé dan Gianni Bruno. Walaupun menang, Lille masih di tangga tercorot, tiga mata di belakang Borisov.

Di Estadi de Mestalla, tuan rumah, Valencia (Sepanyol) terikat 1-1 dengan Bayern Munich (Jerman) meskipun beraksi dengan 10 orang pemain hampir satu jam. Memiliki kelebihan seorang pemain selepas Antonio Barragán, tidak menghairankan Bayern mendominasi 64% permainan dan percubaan tepat memihak Bayern dengan 8-5. Tetapi Valencia terlebih dulu di depan menerusi larian solo dan percubaan berani Sofiane Feghouli. Jaringan penyamaan Thomas Müller membenarkan kedua-dua pasukan melepasi peringkat kumpulan walaupun berbaki satu perlawanan.

KUMPULAN G


Di Stadion Luzhniki, tuan rumah, Spartak Moscow (Rusia) terpaksa akur kepada kehebatan Barcelona (Sepanyol) dan ketajaman Lionel Messi. Barcelona selayaknya menang dengan menguasai 64% permainan dan melakukan 10 percubaan tepat berbalas 2. Dua gol Messi dan rembatan kaki kiri Dani Alves memberikan kemenangan selesa kepada jaguh Eropah yang telah sah mara selaku juara kumpulan. Messi kini hanya kurang lima gol untuk menyamai rekod 85 jaringan Gerd Muller dalam satu kalendar.

Di Estádio do Sport Lisboa e Benfica, tuan rumah mengatasi pelawat untuk memastikan slot tempat kedua masih terbuka luas menuju perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Benfica (Portugal) menewaskan Celtic (Scotland) 2-1. Kedua-dua pasukan kini terikat dengan 7 mata di belakang juara kumpulan yang telah muktamad, Barcelona. Benfica begitu dominan dengan 61% penguasaan bola dan 18 percubaan tepat berbalas 5. Walaupun Giorgos Samaras menyamakan kedudukan untuk Celtic selepas jaringan Ola John, Ezequiel Garay menghidupkan peluang pasukannya untuk mara.

KUMPULAN H


Di Ali Sami Yen Spor Kompleksi, Galatasaray (Turki) selaku tuan rumah menewaskan Manchester United (England) 1-0. Kini kelab Turki berpeluang cerah walaupun terikat bersama CFR Cluj di tempat kedua dengan tujuh mata kerana Cluj akan menghadapi United dalam perlawanan terakhir kumpulan. Beraksi tanpa sebarang tekanan, United yang sudah sah menjadi juara kumpulan, menurunkan skuad kedua yang masih ampuh dibarisi Javier Hernandez dan Danny Welbeck. Tidak mengejutkan apabila tuan rumah menguasai hampir 60% permainan dan melakukan 13 percubaan tepat berbalas 5. Malah jaringan tunggal Burak Yilmaz tidak meresahkan United sedikit pun.


Di Stadionul Dr. Constantin Rădulescu, CFR Cluj (Romania) berjaya menewaskan pelawat, Braga (Portugal) 3-1 untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya. Kekalahan malam tadi bermakna Braga telah tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah dengan berada di tempat terakhir. Pelawat mendominasi permainan dengan 64% penguasaan bola dan percubaan tepat juga memihak Braga dengan 9-7. Tetapi hatrik Rui Pedro cukup untuk memadam jaringan penyamaan kapten Braga, Alan.


Empat lagi pasukan telah mara ke pusingan kalah mati. Juara bertahan kini diancam penyingkiran. Satu lagi perlawanan sebelum peringkat kumpulan berakhir. Masih banyak pasukan yang bertarung untuk selamat. Keuntungan bagi satu pasukan bermakna kerugian bagi satu lagi pasukan. Satu mesti tersingkir antara dua.

Dua hatrik dijaringkan oleh Rui Pedro (Cluj-Kumpulan H) dan Luiz Adriano (Shakhtar Donetsk-Kumpulan E). Lionel Messi terus memburu kemasyhuran dengan rekod baru bakal dilakar. Pembikin sejarah akan terus menggegar dunia. Malam ini Kumpulan A, B, C, dan D menyambung cerita.













p sepak s : Glory glory MU..


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif